Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 29 Aug 1932, p.8

General Article.

Semenanjung dan Kebangsaannya.

Oleh Abhi.

Apakah orang Melayu buat guna menjaga kepentingan bangsa dan tanahairnya? Pada hal orang Melayu mengaku dengan secukupnya akan Semenanjung ini negeri Orang Melayu.

Apa bolehkah Orang Melayu menahankan hak kebangsaannya dengan pergerakan sebagaimana yang ada berjalan pada hari ini?

Wahai insaflah akan nasib bangsa dan tanahairmu!

Dengan keyakinan yang tetap selagi orang-orang Melayu masih tidak mengenal perusahaan dan perniagaan selama-lamanya orang-orang Melayu akan terbenam. Dan akan berhasil jua bagaimana cita-cita bangsa Timur asing itu hendak menjadikan Semenanjung ((Malaya)) untuk Malayan, iaitu daripada percampuran berjenis-jenis bangsa Timur. Malayanlah gelapnya akan mencungkih akar tunjangnya Melayu menanamkan akar tunjangnya pula.

Apa bolehkah kekal kedudukan turus-turus dan pembesar-pembesar Melayu yang ada di masa ini kalau Malaya ini untuk Malayan?

Pembesar-pembesar kaumku wajib berjaga dengan sehabis-habis upaya. Walaupun pada hari keadaan bangsa-bangsa kita sedang sangat miskin dan papa; pada masa inilah pula dipersatukan perpecahan kaum itu mengadap kepada yang satu menuju arah kesopanan hidup kaum kita mengembalikan kekuatan tenaga kebangsaan kita. Marilah berpegang pada satu susunan kata yang berbunyi demikian: walaupun manusia itu di dalam kebodohan dan diikat dengan rantai kesengsaraan. Tetapi hajatnya tak akan lepas daripada bercita-cita menuntut kemuliaan dan kemenangan.

Dengan memperingatkan keburukan nasibnya kaum kita tidak jua berasa putus asa daripada menuntut kemajuan menahan hak-hak kebangsaan serta mengembalikan yang telah lenyap; iaitu kepada pemoga-pemoga kebangsaan yang tak putus-putusnya kita harapkan.

Adalah pada masa ini kita dapat perhatikan dengan terang adalah kekusutan hak-hak di Semenanjung ini makin sehari makin bertambah-tambah keliru di antara anak negeri dengan bangsa dagang Timur asing yang boleh dikatakan masa ini pergaulan di antara keduanya sebagai madu berisi upas yang bisa.

Wahai apakah nasib kaum-kaum Melayu yang telah hidup menjadi kaum yang terhajat ((hamba)) yang sehabis-habis melarat selang bangsa-bangsa Timur asing itu masuk bilangan kaum modal.

Sekali lagi saya berkata susunlah barisan persatuan bangsa kita dengan secepat-cepat untuk menuju pada menyelamatkan hak-hak kebangsaan kita serta memajukan perusahaan perniagaan kaum kita.

Selagi kita berdiam diri selagilah jua lajunya pergerakan bangsa-bangsa asing itu mereka itu merapatkan barisan persatuannya mengumpulkan modalnya dan tenaga mendalamkan politik-politiknya bertolong bantu mereka itu sama sendiri untuk melanjutkan persatuannya mengikut kadar pendapatannya setitik air yang keluar dari satu lubang itu dikumpulkan lama-lama nanti jadi banyak. Begitulah caranya mereka itu mendirikan persatuannya.

Wahai haruskah kita berdiam diri dengan menghidapkan sahaja penyakit kebangsaan; sukakah akan kaum kita terhina buat selama-lamanya?

Gemarkah kita menyerahkan tanahair kita ini kepada bangsa Malayan?

Relakah kebangsaan kita jadi kaum tertindas sepanjang masa?

Buat menjauhkan bahaya-bahaya itu aturlah barisan persatuan kita supaya di mana-mana tempat ada perhimpunan perkumpulan bersyarah dan bekerja buat hari ini.

Sekianlah sahaja maaf dan salam kebangsaan dari diPerhamba Pahang Barat.

24 August 1932.