Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Apr 1931, p.8

Editorial.

Orang-orang Melayu Dengan Tanahair Watan Datuk Nenek Moyangnya.

Menurut perkataan yang tersiar di muka nombor 4 dalam Saudara ini yang berkepalakan fikiran orang-orang Melayu di dalam suratkhabar-suratkhabar Melayu itu menunjukkan selama ini fikiran-fikiran dalam suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah Melayu itu ada diperhatikan dan diketahui oleh kerajaan, kita sangat-sangat berasa sukacita mendengarkan hal ini mudah-mudahan dengan selalu kerajaan membaca dan mengetahui isi-isi suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah Melayu itu dapatlah dengan sebenarnya kerajaan menimbangkan perasaan-perasaan dan fikiran-fikiran orang-orang Melayu terutama dalam perkara-perkara negeri yang terlalu sangat dibincangkan sekarang ini oleh suratkhabar-suratkhabar Inggeris, dalam suratkhabar Inggeris itu jarang ((sungguh pun ada jua)) keluar fikiran-fikiran Orang Melayu, dan dengan sebab itu janganlah pihak orang yang membaca suratkhabar-suratkhabar Inggeris sahaja memikirkan bahwa Melayu itu tiada mempunyai perasaan dan tiada mengambil tahu akan hal-hal negerinya dan tanahairnya.

Segala tuntutan-tuntutan dan permintaan-permintaan bangsa-bangsa asing terutama orang-orang Cina dan Indian di Tanah Melayu ada diperhatikan di bahaskan oleh anak-anak Melayu di dalam suratkhabar-suratkhabarnya, mengikut sepanjang pendapatan kita kemudian daripada telah membaca fikiran-fikiran yang telah diterbitkan dalam suratkhabar-suratkhabar dan majalah Melayu, anak-anak Melayu itu sekali-kali tiada bersetuju dengan ura-ura setengah orang.

1. Hendak membukakan Malayan Civil Service kepada bangsa yang lain daripada British dan Melayu.

2. Hendak meluaskan Majlis Mesyuarat Federal Council dan Legislative Council dengan ditambah wakil-wakil bangsa Cina dan Indian dan dan ....

3. Hendak memberikan beberapa ribu ekar tanah padi kepada bangsa Cina dan Indian.

4. Hendak mempersekutukan sekalian negeri-negeri dalam Semenanjung ini menjadi "United Malaya" sebelum orang-orang Melayu dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ((FMS)) ditetapkan dan ditegakkan kedudukannya baik dalam Majlis Mesyuarat atau dalam jawatan-jawatan kerajaan dan dan ....

Pada fikiran kita orang-orang Melayu itu sendiri sedia memang suka bersekutu tetapi ialah dengan syarat persekutuan itu bagi faedah Melayu. Jikalau persekutuan atau "United Malaya" itu akan membawakan kepada mereka lebih-lebih banyak lagi orang-orang Cina dan Indian kepada dalam negerinya, baik dalam jawatan kerajaan atau lain, dan bahaya-bahaya itu memang tidak dapat dielokkan jikalau persekutuan itu dijalankan sekarang; tentulah orang-orang Melayu itu memikirkan belum sampai masanya lagi.

Orang-orang Melayu itu memang tidak suka bertunggu dan berbahas hingga membangkitkan perasaan yang tiada baik dengan bangsa-bangsa Cina dan Indian dalam negeri ini. Oleh sebab itulah, jarang didapati anak-anak Melayu itu mengeluarkan fikirannya dalam suratkhabar-suratkhabar Inggeris, akhbar yang mana ada dibaca oleh beberapa banyak orang Cina dan Indian. Orang-orang Melayu itu terlalu taat kepada Rajanya dan kepada kerajaan Inggeris dan mereka itu masih percaya dan yakin bahwa kerajaan Inggeris tidak akan melupakan hak-hak mereka itu walau sekalipun bangsa-bangsa Cina dan Indian itu lebih riuh dan bising bunyi suaranya menunjukkan kelayakan dirinya dalam tiap-tiap perkara yang dituntutnya.

Sungguh pun setengah fikiran-fikiran yang dikeluarkan oleh anak-anak Melayu itu tersangat panas dan berang bunyinya, memarahkan bangsa-bangsa Cina dan Indian yang menuntut hak itu, tetapi patutlah difikirkan bahwa selagi keberangannya itu dikeluarkannya dalam suratkhabar-suratkhabar bahasanya, maka iaitu samalah jua seperti mereka itu menyimpan keberangannya di dalam hatinya jua.

Anak-anak Melayu itu tersangat sedar akan kekurangannya dalam serba-serbi baik tentang pelajaran atau perniagaan atau lain, dan oleh sebab kesedarannya itu sekarang mereka itu ada bergerak mencuba dengan seberapa bolehnya membetulkan mana-mana kekurangannya supaya jadilah mereka daripada kaum yang layak menerima pusaka daripada kerajaan British yang maha adil.