Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 Aug 1931, p.5

General Article.

Orang Cina Beraya, Orang Melayu Merbahaya! Bil-Qalam

M. Ali Kalam M.M.A.

Tiap-tiap sesuatu perkara yang membawa kepada kemerbahayaan itu tidak sekali-kali kita sangka akan dia yang ia akan memperbuat demikian kerana pada permulaannya ia datang dengan tiada satu pun yang mengubati akan dia, dan tidak baginya tempat supaya berlindung ia dengan senangnya dari kesejukan dan kehangatan dan tidak pula ia menunjukkan kebesaran dan kemegahan dirinya. Tetapi lagi perkara-perkara yang bukan haknya itu berjauhlah ia dengannya supaya jangan dihinai orang akan dia, masakan boleh ia mengangkat kepalanya!

Tetapi manakala diketahui dirinya itu tiada diendahkan orang, pergilah ia mencari lubang cacing supaya dapat ia bersembunyi dalamnya. Yang demikian tidaklah apa-apa kemerbahayaan yang boleh berjangkit dengan orang itu, pada masa itu selamatlah perkara-perkara yang hendak dikemukakan, kerana tiada sesiapa pun yang mengacau akan dia selain yang ampunya sahaja, maka berjalanlah tiap-tiap sesuatu benda itu dengan terus terang dikepalai oleh puncaknya, dan tidaklah datang kegusaran dan ketakutan lagi.

Tetapi tiap-tiap perkara ini baik kecil ataupun besar apakala sudah jemu ia di dalam sesuatu hal yang ia bertekun dengannya, tentu sekali ia hendak berubah kepada lain perkara yang terlebih besar dan mulia daripadanya, padahal diketahui oleh dirinya itu tidak patut sekali-kali rejuwatan dengannya hingga menyebut namanya sekalipun, apa lagi bersentuh dan berkira-kira dengannya.

Ya, zaman pun berubah dan hal-hal kemajuan begitu juga, dengan serta merta disembunyikanlah perkara-perkara dahulu, yang menyebabkan hal keadaannya di dalam kepapaan dan kehinaan, maka ditimbulkanyalah pula perkara-perkara yang sudah diketahuinya tak boleh sekali-kali ia bersangkut paut dengannya, tetapi pura-pura ia tak mengetahui apa yang telah jadi pada dirinya, adakah patut demikian atau tidak? Ya, walau kenampakan tak patutnya sekalipun, tetapi pada masa itu dizahirkanlah kebesarannya dan kemuliaannya sedikit, lama-kelamaan kepala-kepala mereka tadi hendak dipijakkannya, dan dilupakannyalah apa yang telah jadi pada dirinya macam manakah asalnya, sebab berani mereka membuatnya dan menuntut yang bukan haknya, ialah kerana mereka di dalam kekayaan, kemakmuran, kesenangan dan kemegahan pula.

Satu lagi di dalam kekejutan dan ketakutan, walau haknya itu sedengik sekalipun, tetapi oleh sebab kesingkatan pengetahuan dan kemalasan anak negerinya kepada serba aneka tertampaklah kemerbahayaan itu kepada anak-anak negeri dan kelihatanlah kesenangan dan kerayaan itu kepada mereka-mereka yang datang ke mari buat memperusahakan diri kerana mencari kehidupan dan kekayaan.

Ayuhai Tuan Pembaca yang budiman, betapakah sedihnya kita kenangkan mereka-mereka yang bersuka-cita sudah bertukar menjadi dukacita diarwah oleh orang-orang asing yang lupa akan dirinya, siapakah mereka yang sempit itu, tiada lain ialah kaum kita Melayu ini, betapakah sesaknya kita dihimpit oleh pengaruh-pengaruh itu. Kita mesti usaha buat menolak tuntutan mereka itu supaya jangan kita terkecewa, siaplah olehmu akan payung sebelum hujan turun: dan jagailah olehmu sebelum kena, kita sekarang seumpama seketulan intan yang terletak di atas kuncup gunung, tiap-tiap seorang mestilah bersungguh-sungguh mengambil akan dia, tak dapat tidak intan itu di dalam kemerbahayaan, itulah sebabnya saya namakan tulisan ini "Orang Cina Beraya, Orang Melayu Merbahaya".

Lain kali saya akan tulis di sini jikalau dibenarkan oleh Pengarang ini menceritakan bagaimanakah perasaan dan penglihatan orang-orang Cina itu kepada anak-anak Melayu kita ini dan dengannya kita ambil iktibar dan berjaga diri.