Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Aug 1931, p.8

Editorial.

Hendak Hidup Atau Hendak Mati?

Inilah suatu pertanyaan yang dihadapkan kepada sekalian ahli-ahli aqal kaum Melayu di dalam serata negeri-negeri Melayu yang di dalam Semenanjung ini.

Pertanyaan ini bukanlah sekali-kali dikehendaki dengan kehidupan seseorang atau kematiannya yang khas, tetapi ialah kehidupan kaum dan kematian perhimpunannya.

Telah banyak sangat-sangat segala karangan Tuan-Tuan yang bijaksana yang tersiar di dalam Saudara dan di dalam lain-lain suratkhabar, istimewa pula di dalam Pengasuh yang keluar di Kelantan menyeru sekalian kaum Melayu ini kepada bermuafakat dan bersekutu melawan segala bahaya yang akan menghapuskan kehidupan bangsanya di dalam watannya.

Dan bersetuju sekaliannya terlebih dahulu daripada mengadakan sesuatu pergerakan yang mengambil itu hendaklah diadakan suatu perhimpunan yang besar ((Kongres)) daripada kaum Melayu yang di dalam Semenanjung ini kerana menyatukan tujuan dan perjalanan yang akan dijalankan apa-apa yang telah dipersetujukan oleh perhimpunan yang dijemput daripada tiap-tiap negeri-negeri Melayu yang mengirim wakilnya ke dalam Kongress itu.

Maka daripada mula terbit fikiran ini, mintalah masing-masing akan jadi perhimpunan yang sangat-sangat dikehendaki ini di dalam negeri Melayu yang bersekutu iaitu di Kuala Lumpur, kerana telah difikirkan di sanalah pusat negeri-negeri Melayu dan di dalamnyalah banyak sangat-sangat anak-anak Melayu yang berpelajaran dan berperasaan kasih akan bangsa dan watan terlebih daripada lain-lain negeri Melayu.

Maka di situlah yang layak dan lebih kepercayaan jikalau dibangunkan Kongress yang ialah mula pertama akan jadinya di dalam Semenanjung ini.

Tetapi telah lamalah kaum Melayu yang dikasihi ini menunggu kedatangan seruan daripada Tuan-Tuan yang diharapi dalam Kuala Lumpur sana, maka belum juga ada perkhabaran apa-apa hingga hampir-hampir sejuk dan hilang lenyap tuntutan yang telah muafakat sekalian ahli-ahli akal wajib diadakan bagi faedah-faedah perhimpunan kaum Melayu yang tengah sangat-sangat berkehendak memeliharakan kehidupan kehormatannya di dalam watannya ini.

Kita tentu sekali percaya dengan cukup ikhlas bahwa kediaman Tuan-Tuan yang dihormati di dalam Kuala Lumpur itu bukanlah sekali-kali kerana meringan-ringankan muslihat kaum bangsanya atau kerana kelemahan daya-upaya dan perasaan kasih akan kaum bangsanya tetapi tiadapat dapat tiada mesti ada kepada mereka itu sebab-sebab yang wajib dipelihara dan dijagai oleh Tuan-Tuan yang mulia bagi faedah-faedah nasihat watan dan kaum bangsanya juga.

Dengan sebab ini terasa hairan pula di hati kita jikalau di Kuala Lumpur tiada berbunyi apa-apa di dalam perkara ini. Maka mengapakah pula negeri-negeri Melayu yang lain tiada boleh zahir menyeru dan mengadakan perkumpulan yang diharapi sangat-sangat memberi kebajikan bagi perhimpunan Melayu yang mengambil ini?

Apakah yang menegahkan? Apakah salahnya jikalau Johor atau Kelantan atau lain-lain negeri menyeru dan menjadikan negerinya itu tempat perhimpunan awal mula pertama Kongress Melayu ini?

Bukankah negeri-negeri Melayu ini umpama segala anggota-anggota yang bertumpu kepada tubuh yang satu dan nyawa yang satu, jikalau pun di manakan tiap-tiap satu anggota itu dengan nama yang berlainan-lainan bunyinya: Kuala Lumpur Melayu, Johor Melayu, Kelantan Melayu, Terengganu Melayu, jikalau di mana-mana juga mengadakan perkara yang kebajikan bagi alam kaum Melayu ini. Maka dikatakan pekerjaan itu dilakukan oleh Melayu juga, bukan lainnya.

Dengan sebab ini, kita serulah sekalian kaum yang berakal di dalam mana-mana negeri juga, memadailah dengan percakapan surat selama ini, cubalah lakukan dengan perbuatan pula, jikalau berkehendakan hidup kaum bangsa sendiri, maka segeralah bekerja, dan jikalau tinggal diam masing-masing, hendak menjaga diri sendiri sahaja, maka kaum Melayu ini tentulah sekali akan hapus wujudnya dilenyak oleh bangsa-bangsa lain di dalam watan tanahairnya sendiri dengan tiada syak sekali-kali.

Lihatlah baru-baru ini beberapa banyak surat-surat yang ditampalkan oleh kaum Cina kepada segala tempat-tempat orang ramai kerana menyeru kepada membuat rusuh dan melawan akan pemerintahan negeri, padahal diketahui oleh mereka itu adalah pemerintah negeri ini bangsa Inggeris yang mempunyai kekuatan dunia di laut di darat di langit yang boleh mengalahkan negeri Cina itu dengan senangnya bila-bila dikehendakinya.

Maka tiada endah dan tiada takut mereka itu mengadakan kerusuhan di dalam negeri orang ini, apakah lagi bangsa Melayu yang dilihatnya berpecah-belah dengan fakir miskinnya pula.

Bolehkah diendahkan oleh mereka itu jikalau berkekalan kita dengan demikian hal!