![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 20 Aug 1931, p.6
General Article.
Darihal Syarikat Pejabat-Pejabat.
Adalah suatu perkara yang akan mendatangkan faedah yang besar kepada segala negeri-negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini daripada fasal hasil perolehan masing-masing ialah hasil cukai barang-barang dagangan. Maka perkara ini telah disyorkan oleh wakil-wakil negeri Johor di Majlis Mesyuarat Durbar pada tahun yang lalu di Singapura. Maka Tanah Melayu ini telah dijadikan banyak negeri masing-masing dengan peraturannya berkenaan dengan hasil kastam serta adalah perenggannya dan kesekatan perniagaan antara satu dengan lain pada halnya bolehlah dikatakan dagangannya yang datang daripada negeri luar semuanya datang dengan mengikut dua tiga pintu sahaja, iaitu perlabuhan kapal besar di Singapura, Pulau Pinang dan Port Swettenham.
Maka apakala barang-barang itu sampai dipunggahkannya lalu disimpan ke dalam gudang-gudang kemudian dihantar kepada negeri-negeri yang berkehendakannya. Maka pada fikiran saya barangkali tiada negeri-negeri Melayu berhajat pada meletakkan cukai di atas dagangan yang keluar daripada negeri Melayu yang lain tetapi dengan peraturan yang ada sekarang ini tiada boleh dibezakan antara dagangan Tanah Melayu dalam dagangan negeri luar.
Dan lagi, adalah pada masa ini ditakdirkan Allah jatuhlah kesusahan dan kesempitan bagi hasil negeri oleh kerana turun harga getah dan timah dan lain-lain barang perniagaan yang lazim dibawa keluar daripada negeri hingga tiada mencukupi perbelanjaan bagi menjalankan pekerjaan yang fardhu; tambahan pula tiada kita ketahui bilakah harga barang-barang itu akan naik semula. Oleh yang demikian, terpaksalah kerajaan masing-masing merundingkan fasal meletakkan hasil di atas dagangan yang datang dari negeri luar.
Maka sekiranya masing-masing negeri dengan tiada pakatan meletakkan hasil di atas dagangan negeri luar itu, tentulah dagangan itu kena cukai dua tiga kali jadi mendatangkan perkeliruan dan kesusahan segala isi negeri dan mereka-mereka yang berniaga itu.
Maka adalah suatu jalan yang menolak kepayahan seperti yang tersebut itu dan mendatangkan kesenangan dan faedah pada isi negeri iaitu biarlah segala negeri-negeri Melayu dan Selat muafakat supaya mengadakan suatu Pejabat Kastam bagi seluruh Tanah Melayu bagi mengutip hasil kastam di tempat perlabuhan kapal besar.
Maka perhimpunan hasil yang dikutip itu dibahagi mengikut apa-apa jalan yang dipersetujukan oleh segala negeri. Mudah-mudahan didapati himpunan hasil lebih daripada yang boleh dikutip oleh masing-masing negeri sendiri serta dengan perbelanjaan yang sehabis-habis murah.
Maka pada fikiran saya tiada susah hendak dijalankan peraturan semacam ini; akan tetapi ada dua syarat yang mustahak iaitu yang pertama: sekalian perniagaan hendak dibebaskan keluar masuk di antara tiap-tiap negeri Melayu dan tiap-tiap negeri Selat dengan tiada kena cukai kastam.
Yang kedua, hendaklah segala kerajaan negeri-negeri yang tersebut menyamakan aturan cukai yang akan diletakkan di atas dagangan negeri luar. Sekiranya didapati persetujuan atas dua syarat ini saya harap perkara yang lain-lain boleh diaturkan dengan tiada berapa kepayahan.
Lain daripada tempat perlabuhan kapal besar ada juga pintu di darat yang lazim perniagaan keluar masuk sedikit-sedikit dengan mengikut keretapi atau jalan raya daripada Siam iaitu di Padang Besar, Sungai Golok, Kroh, dan Bukit Kayu Hitam. Maka di pintu-pintu ini hendak juga di taruh kastam dan jagaan.
Sekiranya disyarikatkan Pejabat Kastam dengan persetujuan sekalian kerajaan negeri-negeri yang tersebut pada rundingan saya besarlah faedah dan kesenangan bagi segala isi negeri oleh sebab perniagaannya boleh dibawa daripada setempat ke setempat di dalam tanah Melayu dengan tiada bercukai atau apa-apa sekatan.
Dan lagi, bertambah hasil kastam bagi masing-masing negeri oleh sebab pungutan yang sempurna dan belanja yang murah.
Maka perlabuhan kapal di Pulau Pinang dan di Singapura itu ialah pintu-pintu perniagaan yang besar. Oleh itu eloklah kerajaan negeri Selat masuk bersyarikat di dalam peraturan yang tersebut di atas ini, jika kerajaan negeri-negeri Melayu semuanya berkehendakan peraturan itu haruslah negeri Selat bersetuju juga. Maka cadangan ini semata-mata hal perniagaan dan tidak sekali-kali mengganggui perintah kerajaan masing-masing.
top |