Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Aug 1931, p.1

Leader Article.

Kebebasan Manusia dan Perjalanan Suratkhabar-Suratkhabar.

Kejadian manusia ini kehidupannya bebas, senantiasa berjalan kepada menuntut kelebihan, maka oleh sebab akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada perhimpunan manusia ini ialah senjata yang maha besar kepada mereka itu bagi menjalankan kehendak hawa nafsunya dengan kebebasannya menuntut kelebihan kehidupannya yang tiada berharga itu jadi sangat-sangatlah berhajat mereka itu kepada ugama yang diturunkan oleh Tuhan bagi mengaturkan perjalanan mereka itu kepada apa-apa yang boleh diperbuat dan apa-apa yang tiada boleh diperbuatnya. Maka dengan sebab kebebasan kehidupan manusia inilah juga berhajat tiap-tiap negeri itu kepada kanun undang-undang yang melingkungkan kebebasan segala rakyatnya itu di dalam sempadan tiap-tiap suatunya.

Ugama Islam ini sangat-sangatlah menyuruhkan sekalian orang-orang yang berugama akan dia menuntut ilmu di mana-mana tempat juga yang boleh didapatinya dan di dalam apa-apa masa juga, bagaimana tiap-tiap negeri yang bermoden yang mengetahui akan harga kehidupan manusia itu berlumba-lumba membuka tempat-tempat pelajaran bagi sekalian rakyatnya, kerana dengan ilmu pengetahuan itulah juga boleh dapat tiap-tiap manusia itu menjalankan kebebasan kejadiannya itu kepada tiap-tiap perkara yang berguna dan tidak memberi bahaya bagi diri dan ke atas orang-orang yang lain.

Sungguh pun demikian, maka oleh kerana sekalian manusia ini senantiasa boleh terlupa dan tersalah faham pada sesuatu ketika yang dipalu oleh hawa-nafsu tamaknya pada menuntut kelebihan yang ialah tentuan kejadian semulajadinya itu. Maka berhajatlah sangat-sangat perhimpunan manusia ini kepada peringatan yang senantiasa daripada ahli-ahli pengetahuan dalam perhimpunan kaumnya. Maka dengan sebab inilah beringat ingatan dan bertegur teguran sama sendiri ini diwajibkan di dalam ugama Islam.

Oleh sebab beberapa banyak suruh-suruhan yang di dalam ugama Islam ini telah ditinggalkan oleh sekalian ahli-ahli yang berugama akan dia, dan digunakan oleh sekalian bangsa-bangsa yang bermoden, maka kemudian daripada disusun dan diatur oleh mereka itu menurut kehendak-kehendak dan waktu di dalam peraturan yang munasabah terpaksalah pula sekalian orang-orang yang berugama Islam ini mengambil balik dan meniru perbuatan mereka itu.

Maka satu daripadanya ialah pekerjaan menyeru kepada perkara yang kebajikan dan menegah daripada perkara yang kejahatan yang telah dijalankan oleh bangsa-bangsa yang berugama lain itu dengan peraturan mengadakan suratkhabar-suratkhabar ini. Suratkhabar ini sungguh pun telah ditiru oleh orang-orang Islam daripada bangsa-bangsa yang bukan berugama Islam dengan bermacam-macam kehendak dan tujuan, tetapi kehendaknya yang asli bagi membangunkan di itu ialah menyeru kaum bangsa kepada kebajikan dan mengingatkan mereka itu daripada kebinasaan, maka tidaklah boleh berubah tujuan kehendaknya yang asal ini jikalau pun berubah kehendak dan hawa-nafsu orang-orang yang mengeluarkan dia itu.

Dengan sebab ini, bolehlah kita dapat ketahui bahwa sesuatu akhbar itu ialah suatu daripada pekerjaan yang dituntut di dalam ugama Islam bagi menjalankan pekerjaan "al-amarul makruf wal-nahi al-munkar" yang terlebih luas daripada apa yang dijalankan oleh orang-orang yang menamakan dirinya penyeru yang disuruh di dalam ugama Islam: "Al-amarul makruf wal-nahi al-munkar" yang dikehendaki oleh ugama Islam ini bukanlah khas menyeru orang yang tiada berugama Islam masuk kepada ugama Islam sahaja, tetapi ialah seruan yang mengambil yang menjadikan kehidupan seseorang itu elok dan bagus di dalam serba-serbinya bagaimana yang dikehendaki oleh perhimpunannya di dalam kehidupan alam ini dan apa-apa yang dikehendakinya bagi keredhaan Tuhannya di dalam kehidupan akhirat.

Bermula suratkhabar-suratkhabar atau majalah-majalah ini ialah suatu daripada pekerjaan yang setiap-tiap waktu berubah menurut peredaran masa, kerana jikalau kita perhatikan suratkhabar-suratkhabar yang keluar daripada dahulu hingga sekarang ini, nescaya dapatlah kita ketahui bahwa perubahannya ini tidak berhenti daripada elok kepada terlebih elok dan daripada kecil kepada besar dan daripada sempit kepada luas dan daripada fikiran sesat dua orang hingga jadi tempat akal fikiran orang ramai dan tempat perhimpunan pengetahuan atau tanda-tanda yang menunjukkan kemajuan sesuatu bangsa yang mempunyai bahasa suratkhabar itu.

Maka dengan sebab inilah tiap-tiap kerajaan yang bermoden sangat-sangat memperhargakan suratkhabar-suratkhabar dan membukakan segala pintu-pintu tempat-tempat pekerjaan mereka itu kepada penulis-penulis suratkhabar-suratkhabarnya dan bersegera memberi kepada ahli-ahli suratkhabar itu apa-apa perkhabaran yang patut diketahui oleh mengambil atau memberi faedah bagi ramai, kerana suratkhabar-suratkhabar ini telah jadi kepada mereka itu roh kehidupan kaum yang hidup dan dengan ketiadaannya di dalam sesuatu kaum itu dikatakan kaum itu bukan kepada yang hidup.

Kita boleh dapat ketahui dihadapan mata kita sekarang ini setiap-tiap masa suratkhabar-suratkhabar orang putih itu menulis beberapa perkataan yang keras-keras dan teguran yang sangat-sangat bebas terhadap kepada kepala-kepala pemerintah negeri dan pegawai-pegawai yang berpangkat. Maka tiadalah menjadi sesuatu apa, hanyalah bersegera sekalian orang yang kena tegur itu membetulkan kesilapannya atau menyatakan apa-apa yang ada di dalam kesilapan teguran suratkhabar-suratkhabar itu.

Adapun kepada kaum kita ini belum ada lagi perasaan yang demikian itu. Maka dengan sebab inilah kegunaan suratkhabar-suratkhabar itu belum dirasa oleh mereka itu, kerana tiap-tiap suratkhabar itu mesti memuji akan dia sahaja, dan jikalau ada sesuatu apa teguran yang di dalam suratkhabar-suratkhabar itu yang berkenaan dengan hal-ehwal yang ada kepadanya jikalau pun bukan terhadap kepadanya terus, maka diperseterukannyalah suratkhabar itu dan diperseterukannya siapa-siapa yang membaca suratkhabar itu juga, apalagi jikalau ada di dalam suratkhabar itu tulisan di dalam perkara agama yang menyalahi daripada fahamnya yang didapatinya daripada datuk neneknya atau daripada guru-gurunya.

Maka dengan buta tuli dan dengan tiada usual periksa lagi bersegeralah dikafirkannya orang suratkhabar itu dan dikafirkannya sesiapa yang membaca akan dia, seolah-olahnya mereka itu berkehendakan tiap-tiap suratkhabar yang di dalam kaumnya ini senantiasa memuji akan dia siang dan malam dan memuji akan guru-gurunya jikalau pun pada iktiqad ahli suratkhabar-suratkhabar itu yang dia dan sekalian guru-gurunya itu di dalam kesilapan atau dalal-mubin.

Padahal, diketahuinya adalah suratkhabar-suratkhabar ini ialah medan fikiran ramai, maka apa-apa yang telah tertulis di dalamnya sekali-kali Tuan-Tuan Punya atau Pengarang-Pengarang suratkhabar itu tidak menutup pintu suratkhabar daripada siapa-siapa juga yang hendak menegurkan apa-apa kesilapan faham di dalam apa-apa tujuan juga.

Bermula menegurkan apa-apa yang diiktiqadkannya salah pada fahamnya itu tiadalah sekali-kali berarti ia masuk ke medannya, wallahualam, apakah sebabnya dilarang oleh ugamanyakah menegurkan yang salah itu bagi faedah-faedah alam ataupun kerana ...

Maka dengan sebab inilah dijalankannya kuat-kuasanya di luar daripada kanun kemanusiaan hingga jikalau boleh hendak ditutupnya post office di dalam negerinya daripada menerima suratkhabar itu, kemudian daripada dilarangnya siapa-siapa yang taat akan dia daripada membaca suratkhabar yang tiada memuji-muji akan dia itu.

Ilahi Rabbi, kurniakanlah pertunjukMu kepada sekalian pembesar-pembesar negeri dan ketua-ketua ugama kami ini, mudah-mudahan dengan sebab pertunjukanMu ini dapatlah kelepasan hambamu kaum yang sangat-sangat berkehendak kepada pertolonganMu ini.