Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Aug 1931, p.9

Editorial.

Kongress Melayu Dengan Warta Malaya.

Beberapa lama Tuan Pengarang Warta Malaya al-mutahrim ini mendiam akan dirinya tiada pernah menyampuk fikiran orang-orang atas mengadakan Kongress Melayu di dalam Semenanjung ini.

Maka barulah di dalam Warta Malaya bilangan 135 tahun yang kedua dikeluarkannya fikirannya dan dinyatakannya sebab-sebab yang pada fikirannya tidak berguna ataupun tidak baik atau pun tidak boleh mendatangkan muslihat daripada Kongress itu.

Agaknya yang mengeluarkan suaranya ataupun yang memaksa ia bersuara di dalam suratkhabarnya itu ialah kerana pada kali ini di dalam Saudara yang akhir ini ada menyebut nama Johor terlebih dahulu daripada lain-lain negeri-negeri Melayu.

Maka oleh sebab perkara ini pada fikiran kita bukannya perkara yang kecil dan bukan pula perkara yang khas bagi faedah-faedah seseorang, jadi patutlah sangat kita berlaga fikiran dengan tujuan semata-mata menuntut kebajikan kerana dengan berlaga fikiran di antara seseorang dengan lainnya itulah yang boleh menerbitkan cahaya kebenaran yang dituntut.

Oleh kerana meringkaskan karangan di dalam perkara ini, maka kita himpunkan alangan yang disebutkan oleh Warta Malaya di dalam rencana pengarangnya yang panjang itu atas beberapa perkara yang tertentu sahaja iaitu:

1. Kongress ini hendak menurut orang-orang India.

2. Tidak boleh mendapatkan persetujuan kerana orang-orang yang datang khas di dalam mesyuarat ini tiada kelak mendapat kekuasaan yang cukup daripada orang-orang negerinya.

3. Mengapa Kongress ini hendak dijadikan di lain-lain negeri, tidak dijadikan di dalam Pulau Pinang terlebih dahulu daripada kita menerangkan satu persatu daripada perkataan Warta Malaya ini.

Maka kita peringatkan sekalian pembaca-pembaca yang telah membaca Saudara daripada mula-mula dikeluarkannya fikiran fasal mengadakan Kongress ini iaitulah kehendaknya semata-mata bagi muslihat perikatan perhimpunan kehidupan kaum Melayu ini di dalam watan tanahairnya yang tiada bercampur sama sekali sedikit jua pun di dalamnya perkara politik yang tiada digemari oleh kerajaan.

Bermula kehendak yang sangat-sangat dituntut daripada Kongress ini ialah menetapkan satu tujuan semua persekutuan-persekutuan Melayu yang akan dibangunkan di dalam seluruh Tanah Melayu ini dan dengan berikat di antara satu dengan lainnya.

1. Adapun perkataan Warta Malaya mengatakan membuat Kongress ini kerana hendak meniru orang-orang India itu ada baginya makna yang sangat-sangat tidak elok padahal ianya mengetahui adalah Kongress ini ialah makna suatu perhimpunan yang bukan sekali-kali orang-orang India itulah yang mula-mula mengadakan dia dan bukan pula adanya kerana orang-orang India itu, maka jikalau orang-orang India itu telah banyak kali mengadakan dia di dalam perkara politik, maka bukanlah perhimpunan itu mesti berdasar dengan politik yang tiada digemari oleh kerajaan pada tiap-tiap kali dijadikan dia.

Bermula, kaum Melayu ini sangat-sangat insaf hal kehidupan perhimpunannya di dalam watan tanahairnya sendiri daripada segala jenis bangsa yang lain-lain yang telah datang menyelenggara ke dalam negerinya.

Maka sebab yang asal sekali bagi kedaifan mereka itu ialah kerana tiada bermuafakat dan tiada mempunyai tujuan bangsa di dalam perhimpunan kehidupan kebangsaan mereka itu.

Sungguhpun baru-baru ini telah diadakan persekutuan kebangsaan, maka persekutuan itupun tiada bersetuju di antara satu dengan lainnya.

2. jikalau kita benar perkataan Warta Malaya di dalam perkara yang kedua, iaitu jikalau datang pun orang-orang Melayu di dalam perhimpunan Kongress yang akan dijadikan ini, maka orang-orang yang datang itu tiada mendapat kekuasaan yang penuh daripada semua ahli-ahli negerinya.

Artinya, suara perhimpunan itu tiada dapat kekuasaan daripada semua bangsa-bangsa Melayu yang di bawah langit negerinya.

Subhanallah, jikalau demikian ini fikiran seseorang pengarang yang muda lagi bijaksana, maka sangatlah hairan kita bagaimana boleh terpakai suara kesatuan Melayu Singapura dan persatuan Melayu Pulau Pinang dengan nama Melayu kerana kita tiada dapat tahu bilakah kesatuan dan persatuan ini mendapat persetujuan semua Melayu yang di bawah langit negerinya atau Semenanjung ini atas apa-apa undang-undang atau tujuannya.

4. Adapun sebab kita menyeru negeri-negeri Melayu bagi menjadikan perhimpunan Melayu ini kerana perkara yang demikian ini jikalau jadinya di dalam negeri Melayu dan di bawah naungan Raja-Rajanya dan dengan kebenaran kerajaan, nescaya melaratlah perikatan di antara kaum Melayu ini kelak daripada hamba rakyatnya hingga kepada Raja-Rajanya, adapun di dalam negeri-negeri Selat yang Tuan Pengarang sendiri terlebih maklum usahlah kita panjangkan ceritanya!

Bermula, pekerjaan ini pada fikiran kita sangat-sangat besar dan payah kerjanya dan sangat-sangat panjang masa mesti bekerja bagi mendapatkan faedah kaum yang am, tetapi bukanlah tiap-tiap perkara yang besar dan payah itu mesti ditinggalkan dia.

Bermula kaum Melayu ini ialah suatu kaum yang mulia yang sangat-sangat taat akan Raja-Raja dan pemerintah negerinya bagaimana yang telah diketahui di dalam tarikh kehidupan mereka itu.

Maka tiadalah sekali-kali ditakutkan boleh terbit daripada perhimpunan mereka itu apa-apa yang tiada di gemari oleh kerajaan, tetapi kita sangat-sangat percaya adalah sekalian pembesar-pembesar negeri Melayu ini daripada sekalian jenis bangsanya suka dan sangat-sangat muafakat bersekutu bagi memelihara perhimpunan kehidupan dan watan mereka itu kerana kebangunan dan kesuburan kehidupan kaum Melayu ini boleh memberi sebesar-besar pertolongan kepada kerajaan tiada di dalamnya bahaya bagaimana kesuburan bangsa-bangsa lain di dalam negerinya ini.

Maka sebab pun kita menyebut nama Johor di dalam seruan kita yang telah lalu itu ialah dengan sehabis-habis ikhlas hati kita mencita-cita jikalau boleh jadi perhimpunan ini di dalam Johor, kerana tentulah sekali kejadiannya di Johor itu cukup nazam peraturan yang memuaskan hati sekalian ahli-ahli pengetahuan yang akan hadir di dalamnya kelak.

Maka janganlah Tuan Pengarang naik marah atau salah sangka atas tulisan kita ini kerana tiada di dalamnya melainkan ikhlas dan kepercayaan yang cukup penuh atas peraturan kemodenan Johor dan ahli-ahlinya.