Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Aug 1931, p.1

Leader Article.

Melayu Dengan Cina: Pertandingan Hidup di Semenanjung.

Dalam Warta Malaya bertarikh 23 Julai 1931, kita boleh dapat memerhatikan keramaian bangsa-bangsa yang menduduki tanah Semenanjung dan Brunei; dan dari situ kita boleh termenung memerhatikan kehebatan pertandingan hidup yang akan dihadap oleh bangsa kita Melayu sekiranya kita hendak mendapat nama yang kemenangan.

Jumlah itu apabila dihitung didapati berselisih sedikit daripada jumlah yang telah disalinkan oleh Warta Malaya kerana jikalau mengikut jumlah disalinkannya itu, adalah bangsa-bangsa Eropah 17,767, Melayu 1, 959, 032, Indian 627, 720 dan lain-lain bangsa 50,545.

Dalam negeri-negeri Selat, bilangan orang-orang Cina itu telah berlipat-ganda dari Melayu. Dalam negeri-negeri Persekutuan mereka itu telah berlebih 122,228 orang daripada Melayu, dalam Johor telah hampir-hampir sama dalam Kedah, semakin bertambah bahkan Cuma dalam Kelantan sahaja yang didapati orang-orang Melayu di situlah ramai sekali daripada orang-orang Cina.

Yang demikian ini kita tidak hairan kerana kereta api dan jalan-jalan raya yang menerusi masuk Kelantan itu dari Singapura belum siap dan apabila siap kelak tidak dapat tiada bilangan orang-orang Cina itu akan bertambah-tambah jua masuk menumpu ke negeri Kelantan itu.

Dalam perbandingan ini, kita sengaja telah meninggalkan bangsa Indian kerana bilangan mereka itu yang ramai sekali ialah daripada kaum kuli di dalam kebun-kebun getah. Bilangan-bilangan yang terpelajarnya kebanyakan pula didapati di dalam jawatan-jawatan kerajaan di Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, dan sekarang ini mereka itu sedang didesak dan dihasut oleh anak-anak muda Melayu yang berpelajaran itu. Kaum Chetty itu sedang terhasut jua oleh himpitan dari nasihat-nasihat dari pejabat syarikat yang mengadakan mesyuarat, meeting dan syarikat pada merata-rata kampung.

Tetapi kaum Cina itu ialah kaum yang berniaga, berkebun, kuat sekali bekerja dengan tidak memilih apa pun pekerjaan yang dibuatnya. Di antara segala bangsa dagang, mereka itulah yang berniat betul hendak tinggal kekal berumah tangga di Semenanjung ini.

Mereka itulah kaum yang ada mempunyai capital ((modal)) dan dengan usaha mereka itulah lebih ramai lagi kaum-kaum kuli yang akan datang dari negeri Cina ke negeri ini.

Apa yang akan jadi?

Jikalau mahu tahu apa yang akan jadi, kita boleh lihat dahulu apa yang telah jadi dalam masa yang telah lalu. Kita perhatikan penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung Melayu itu terlampau suka memberi tanah kepada bangsa-bangsa Cina dan pada hari ini kita boleh tunjukkan beberapa orang penghulu yang hidup dengan beranak-buahkan Cina, kerana bangsanya sendiri Melayu telah habis terhalau, bukannya tidak biasa kita lihat penghulu-penghulu Melayu yang bergaji tiga empat puluh ringgit atau enam tujuh puluh ringgit itu hidup seperti seorang milyuner dengan bermotokar dan berumah besar dan berkebun lebar dan berhutang berselekeh kepada Cina-Cina dan Chetty-Chetty mereka itulah bapak dan kepala sekali yang telah menjualkan tanahairnya kepada kaum dagang yang sangat rajin dan kuat berusaha. Ada jua penghulu-penghulu yang baik dan lurus dan betul menjalankan pekerjaan tetapi bilangan mereka itu dalam sepuluh tahun dicari satu.

Sekarang orang-orang Melayu yang ramai patut berfikir adapun peraturan masing-masing negeri Melayu mengangkatkan dan memilih penghulu dalam masa yang telah lalu itu telah didapati tidak memberi puashati. Peraturan itulah yang patut sekali diubah dan dipinda jikalau sekiranya anak Melayu yang akan datang berharapkan naungan dan keselamatan daripada rempuhan bangsa-bangsa asing itu. Kebanyakan penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung dalam masa yang telah lalu bukannya daripada orang yang sukakan suratkhabar dan bukannya daripada orang-orang yang tahu kasihkan bangsanya, Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai kerajaan Inggeris yang sangat kasihkan bangsanya Melayu patutlah berfikir bagaimana mereka itu boleh mendapat penghulu yang terpelajar, sukakan suratkhabar-suratkhabar sayangkan bangsanya orang-orang Melayu dan sedia hendak menahankan keselamatan orang-orang Melayu daripada terlucut kepada bangsa-bangsa asing terutama Cina dan Chetty.

Patutlah orang-orang yang hendak dipilih dijadikan penghulu itu dihantar dahulu belajar di dalam pejabat syarikat bekerja-kerjasama ataupun sekolah-sekolah tanam-tanaman di Serdang, atau pun di Kolej Tanjung Malim, selama dua tiga tahun. Bukannnya seminggu dua minggu seperti bagaimana memilih pegawai-pegawai Melayu jawatan memerintah begitulah jua diadakan peperiksaan dan amatan yang kuat. Dan lagi, patut penghulu-penghulu itu selalu ditukar-tukarkan sungguh pun pegawai-pegawai Melayu yang lain jua supaya segala sangkut-paut dan jerat perangkapnya di dalam sesuatu mukim itu boleh senang didapati dan disiasat oleh orang-orang yang datang kemudian daripadanya.

Dalam masa yang telah lalu apabila seseorang daripada mereka itu didapati tiada betul maka selalulah mereka itu lari meminta tolong kepada Raja dan oleh sebab Raja itu selalu mementingkan dan menaungkan mereka itu, maka sangatlah susah kerajaan Inggeris yang senantiasa lurus dan betul aturannya itu hendak membuang atau menukarkan dia melainkan apabila telah jadi sesuatu perkara yang amat besar. Penghulu-penghulu itu dipilih dan dijadikan oleh State-State Council.

Patutlah ahli-ahli Melayu di dalam State Council itu lebih keras dan jimat menjalankan pekerjaan tentang penghulu-penghulu itu dengan tidak mengirakan adakah penghulu itu anak saudara atau anak datuk atau lainnya.

Jikalau tidak diperbuat demikian, janganlah hairan jika dua tiga puluh tahun lagi bangsa Melayu kita di Semenanjung ini akan bertambah-tambah ke bawah dihimpit dan dibenamkan oleh orang-orang Cina yang rajin dan usaha dan ramai itu.

Sekarang ini mereka itu sudah hendak membuat kerja sawah padi dan berkampung halaman. Dua tiga puluh tahun lagi jikalau penghulu-penghulu Melayu itu tiada berubah daripada yang telah lalu. Maka bolehlah kita jumpai orang-orang Cina itu pula menjadi Datuk, Penghulu, A.D.O. Magistrate, dan sebagainya kerana sekarang ini pun mereka itu telah mendesak meminta hak-hak itu.

Jikalau banyak orang-orang Cina yang berkampung halaman dan bersawah padi, tentu lambat launnya mereka itu akan meminta ketua kampung dan penghulunya daripada bangsa mereka jua.

Cuba Tuan-Tuan Pembaca perhatikan balik angka-angka bilangan penduduk di atas itu. Rupanya selama tiga empat puluh tahun yang lalu semasa segala tok-tok alim dan lebai-lebai kita sibuk bertekak sama sendiri, sibuk menyuruhkan orang meninggalkan dunia dan sibuk mengatakan orang-orang yang menuntut pelajaran Inggeris itu salah dan sesat. Maka sementara itulah pula bangsa-bangsa asing terutama Cina itu telah menghisut-hisut dan menunda-nunda bangsa Melayu dari tempatnya.

Tak usahkan orang-orang Melayu yang dikatakan pandai dan alim itu hendak mengembangkan ugamanya dengan memasukkan Cina-Cina dan Keling itu kepada ugama Islam, tetapi mereka itu semakin bertambah lari ke bukit-bukit dibuat oleh orang-orang menyembah Tua Pekong itu!

Orang yang menyembah Allah Ta`ala telah kalah oleh orang yang menyembah batu dan gambar dan berhala di atas muka bumi Semenanjung ini!!!

Orang yang dua tiga puluh tahun belajar hukum air dan bersuci sudah dikalahkan oleh orang yang pakai kesat dengan kertas sahaja!!!

Orang yang mengatakan riba dan bunga itu haram telah habis anak cucunya dibelit dan diikat oleh Cina dan Chetty! Kasihan! Agaknya oleh sebab mereka itu ada mata tetapi tidak memandang-mandang ada telinga tetapi tidak mendengar dan ada fikiran tidak dijalankannya.

Pertandingan hidup di antara Melayu dengan Cina itu bukannya semakin kurang, malahan bertambah-tambah lebih dan kuat dari sehari ke sehari. Siapakah yang akan menang? Buat sekarang Cinalah sudah banyak menang. Cubalah lihat bandingan di bawah ini.

Cina : Melayu :

Cinalah yang kaya : Melayulah yang miskin : yang pandai dan rajin : yang bodoh dan malas : yang berumah besar : berumah buruk : membeli tanah-tanah dan kebun-kebun Melayu : yang menjualkan tanah-tanahnya dan lari ke hutan rimba : yang berniaga dan berusaha : yang menguap dan memakan lalat : yang menumbuk dengan buku lalinya : yang patah-patah tulang rusuknya : yang bersuka-suka : yang jadi barua dan perempuan sundalnya : yang tersandar dalam motokar : yang jadi drebarnya :

Cina kata ini negeri anggotaku : Melayu kata ini Negeri aku : Cina kata aku peranakan negeri : Melayu kata ini Negeri aku : Cina kata Melayu malas aku rajin : Melayu kata ini Negeri aku : Cina kata Melayu tidak boleh diharap buat apa-apa : Melayu kata ini Negeri aku : Cina kata Nah! Duit pergi engkau berambus : Melayu lari masuk ke dalam hutan.

Referee pun bunyi wisel -- half time! Permainan ini dibenarkan masanya 200 tahun. Seratus tahun sudah lalu. Lagi seratus tahun jikalau goal-keeper ((perempuan Melayu)), full-back ((guru-guru ugama dan kadhi-kadhi)), half-back ((orang-orang kampung yang ramai)), forward ((orang-orang Melayu yang pandai Inggeris)), tidak berusaha betul-betul menahankan kubunya dan merempuh kubu musuhnya, referee akan membunyikan wisel yang akhir -- Melayu nanti kalah 30 juta goal!!!

Forward.