Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 Aug 1931, p.8

General Article.

Bangsa Kita Melayu Dengan Suratkhabar-Suratkhabarnya.

Di zaman kita ini bolehlah dikatakan serata-rata negeri tanah Semenanjung yang dikasihi ini ada penduduk-penduduknya telah menaburkan buah fikiran di suratkhabar-suratkhabar, majalah-majalah dan buku-buku bacaan buat dibacai oleh saudara-saudaranya ((bangsa Melayu)), siapa yang singkat perjalanan masing-masing di dalam alam bahasanya sendiri.

Di mana wajib suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah tadi terkandung berbagai-bagai seruan dan syarahan tentang kemajuan yang sempurna hidup di dunia tumpangan ini.

Tetapi dukacita sedikit memperlihatkan sebab setengah daripada bangsa kita Melayu Semenanjung tersangatlah renggangnya daripada menapak suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalahnya, hingga dipandangnya akhbar-akhbar tadi bersamaan jualah dengan semut-semut melata di muka bumi.

Enggan pula separuhnya membaca dan berlangganan padanya. Tetapi kepada akhbar Orang Putih tidak demikian, bukan bahasanya mempermaklumkan diganggui pada membaca akhbar-akhbar Inggeris itu, tidak sekali-kali demikian menegahkan.

Jangan disangkakan apakala tiap-tiap seorang membaca suratkhabar-suratkhabar bangsanya sendiri dengan serta-merta maju kehidupan hidup yang sempurna, tidak begitu. Selalu didapati bangsa kita Melayu apabila mengembara dengan menaiki kereta-kereta api baik apa pun terlebih afdal kepadanya membeli suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah bangsa lain dari bangsanya.

Terkadang-kadang tidak berapa pula disukai membaca sekadar membuat perhiasan serta dikepit-kepit di celah ketiaknya, menyatakan pada si-rahi ialah sahaja tahu bahasa Inggeris, kerana apa ada kalanya di mana ayat-ayat dan perkataan akhbar orang putih selalu ada juga yang tiada faham kepadanya.

Apakah gunanya barang yang kita tiada mengetahui dengan cukup terang diperolehi, seolah-olah kita mencampakkan duit ke laut yang dalam.

Jikalau dibelikan pada suratkhabar-suratkhabar bangsa kita, nescaya dapat kita mendengar perkataan-perkataan pengarang-pengarang dan penulis-penulis yang bijaksana yang telah mula melangkah di medan kemajuan hidup yang sempurna dan dengan jalan ini dapat kita majukan perniagaannya ((suratkhabar-suratkhabar)) buat membantu bangsa. Lagi banyak juga penduduk-penduduk di bandar-bandar dan di kampung-kampung dikatakannya sekalian suratkhabar-suratkhabar itu hanyalah pembohong.

Hingga tiada mahu ianya masing-masing memegang bersamaan jualah seperti memegang benda-benda yang kotor ((najis-najis)) kepadanya. Jikalau pembohong suratkhabar-suratkhabar itu bukankah terpaksa pengarang-pengarangnya melangkah kakinya di dalam penjara?

Tiap-tiap akhbar-akhbar ((suratkhabar)) yang hendak diterbitkan itu telah dibenarkan oleh kerajaan, barulah digunakan pada ramai.

Penghabisan kalam, iaitu bangsa-bangsa kita Melayu ini, tidak berapa jauh antaranya dengan bangsa-bangsa Cina dengan suratkhabar-suratkhabarnya. Lihat hingga dibelakangi olehnya ((Cina)) suratkhabar-suratkhabar itu kepada siapa-siapa yang pandai bahasa orang putih menjadi lupalah ianya masing-masing daripada bangsa apa asalnya, bahasanya, tulisannya, tutur katanya, adat resamnya dan ugamanya juga lain-lain perbuatan dan kelakuan.

Jika demikian mudah-mudahan dijauhkan oleh Allah s.a.w. bangsa kita Melayu supaya jangan kelak melukis dengan segera pada meniru bangsa-bangsa tadi ((Cina)) berkenaan suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah yang ada tersiar di mana-mana tempat yang tidak dipandang endah sedikit pada bahasa dan bangsa sendiri, dipohonkan masa yang akan datang diharapkan majukanlah bangsa sendiri, bahasa sendiri, perniagaan sendiri, sampai akhir kalam dunia tumpangan ini adanya -- Penulis.