![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 22 Aug 1931, p.8
General Article.
Tambahan Melayu dengan Cina.
Di dalam Saudara Bilangan 147.
Maka Tuan Penulis itu tampaknya memperhatikan hal penghulu-penghulu dan ketua-ketua sahaja. Oleh yang demikian sukalah pula sahaya berkhabar apa-apa yang telah sahaya perhatikan pada sebelah lagi iaitu anak-anak buah bangsa Melayu daripada tahun 1908 sampai sekarang.
Kampung Melayu: Maka pada suatu masa, sahaya sudah maklumkan pada seorang ahli mesyuarat kerajaan bagaimana tanah kampung orang-orang Melayu yang di dalam kawasan pekan-pekan sudah berjual kepada bangsa Cina dan lain-lain dan ikhtiar hendak menyelamatkannya.
Maka tiada beberapa lama daripada itu, kedengaranlah khabar yang kerajaan mengadakan kawasan Kampung Melayu yang tidak boleh berjual kepada bangsa yang lain. Maka kemudian daripada tahun 1920, sahaya telah berjumpa orang-orang Melayu bersama-sama orang-orang Cina di dalam Office Lawyer membuat Surat Kuasa besar iaitu orang Melayu itu memberi kuasa yang cukup kepada orang Cina itu boleh berjual -- bergadai dan lain, kebun getahnya yang dalam kawasan Kampung Melayu, dan dibuatnya pula suatu surat yang lain yang ia mengaku sudah jual tanah itu kepada Cina yang memegang kuasa itu.
Syarikat-Syarikat Bangsa Melayu: sahaya telah membeli share-share syarikat yang dijadikan oleh orang-orang Melayu yang di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Maka segala syarikat itu mati muda belaka oleh kekurangan setia setengah daripada penjaganya dan ahli-ahli syarikat dan pembelinya. Kecuali Pekan Rabu Estate Batu Gajah dan Syarikat Taprik Tuli di Medan, Deli. Sahaya berasa dukacita tidak mendengar khabar Syarikat Silang Kitang yang dijadikan orang di Sumatera Barat dikepalai oleh orang-orang hartawan di Medan, Deli.
Derma: jikalau sahaya tidak lupa pada masa bah besar di negeri Melayu dahulu, tiadalah beberapa orang bangsa Melayu yang memberi derma kerana pertolongan kepada orang-orang yang kesusahan oleh bah itu. Maka pada tahun 1931 ini, khabarnya telah diadakan pula suatu kutipan derma kerana menolong orang-orang yang berkebun kecil yang kesusahan makan. Itupun konon tiada berapa jua orang-orang Melayu yang memberi derma. Tetapi sahaya mendengar khabar orang-orang yang susah pencariannya dan kanak-kanak bangsa Melayu di mukim Papan sebanyak 100 orang telah beryuran sebanyak $12.95 sebulan.
Perusahaan: maka sahaya telah mencuba memberi nasihat orang-orang Melayu di kampung di dalam perusahaan tanah dan perniagaannya. Tetapi sahaya dapati di dalam perusahaan tanah beransur-ansurlah mereka. Maka di dalam perniagaan tidaklah boleh jua percayai akan jayanya terutama sekali kepada pembeli bangsa-bangsa Melayu kerana disebabkan beberapa hal, kecuali dalam negeri Kelantan dan Terengganu adanya.
top |