Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 29 Aug 1931, p.8

Editorial.

Ucapan Yang Terutama Tuan Gabenur Bagi Perubahan Peraturan Pemerintahan Kerajaan Negeri-Negeri Melayu.

Barangsiapa yang membaca dengan perhatian akan ucapan Tuan Yang Terutama Tuan Gabenur Negeri-Negeri Selat dan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu yang di dalam Saudara ini tiadalah menjadi suatu apa pun yang pelik kepadanya kerana perubahan yang demikian ini memang dinanti-nanti beberapa lama sudah dengan tiada terlintas boleh ada suatu apa alangan bagi melakukan dia.

Perubahan yang tersebut ini menjadikan negeri-negeri Melayu ini bagaimana selamanya juga di bawah kekuasaan Tuan Gabenur atau High Commissionernya dan peraturannya menurut teraju daripada Negeri Selat bagaimana dahulunya juga, hanyalah segala pejabat-pejabat yang tersebut di dalam ucapan Tuan Yang Terutama itu telah berubah peraturannya pada zahirnya dengan perikatan yang terlebih sempurna lagi.

Bermula yang tinggal lagi kekuasaan di dalam semua negeri-negeri Melayu ini ialah di dalam State Council masing-masing negeri sahaja, maka dengan sebab inilah kita dapati daripada ucapan Tuan Yang Terutama itu sangat-sangat berkehendak kepada ahli-ahli pelajaran yang luas dalam State-State Council bagi menimbangkan apa-apa yang dibawa kepadanya daripada Federal Council dan apa-apa yang dibawa oleh segala Penguasa Pejabat-Pejabat yang tersebut di dalam ucapan Tuan Gabenur itu.

Di sini terasa seram bulu tengkuk kita membaca perkataan Tuan Yang Terutama menasihatkan Tuanku-Tuanku yang hadir dihadapannya itu jangan dipadakan Member-Member State Council itu dengan orang-orang Melayu sahaja, maka tidak dapat tiada daripada mengambil bangsa-bangsa lain yang berpengetahuan sebab State Council ini telah menanggung kebenaran dengan sebab perubahan ini terlebih daripada yang sedia adanya pada masa ini.

Di sini kita sangat-sangat percaya bahwa kehendak Tuan Yang Terutama dengan perkataannya bangsa-bangsa lain itu bukannya sekali-kali tujuannya kepada bangsa Inggeris, sebab diketahuinya bangsa Inggeris ini mesti ada bersama-sama bangsa-bangsa Melayu ini atas apa-apa macam hal sekalipun, tetapi yang dikehendakinya dengan bangsa-bangsa lain itu ialah bangsa Cina dan Indian, kerana diketahuinya kedua-dua bangsa inilah yang ada berpengetahuan dan mereka itulah yang ada mempunyai harta dan muslihat kehidupan di dalam negeri-negeri Melayu ini serta sangat-sangat diketahuinya pula yang bangsa Melayu ini kekurangan sangat daripada ahli-ahli pengetahuan dan kekurangan keadaan mereka itu bagi muslihat kemakmuran negeri-negerinya.

Kita tiada dapat sekali-kali hendak berkata apa-apa atas ucapan Tuan Yang Terutama ini kerana ia telah menjalankan kewajipannya dengan sifat ia seorang kepala pemerintahan yang tiada memandang melainkan apa jua muslihat bagi meelokkan peraturan negeri-negeri yang di bawah kuat kuasanya.

Tetapi yang kita terasa sangat-sangat syak di dalam hati kita bahwa bangsa mulia-mulia Tuanku-Tuanku yang hadir mendengar ucapan Tuan Yang Terutama itu mustahil sekali tiada terlintas di dalam hati masing-masing akan bahaya yang akan diterima olehnya dan oleh hamba rakyat bangsanya di dalam negerinya apakala State-State Council negerinya dipenuhi oleh bangsa-bangsa apa itu!

Maka dengan sebab ini percaya sangatlah kita bahwa perkara ini tentulah sekali ada di dalam fikiran Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku itu kerana diketahui oleh sekalian Yang Maha Mulia itu apabila State Council ini telah dipenuhi oleh bangsa-bangsa ya lain dan kepala-kepala pejabat yang lain-lain pun bangsa-bangsa lain juga. Maka apakah yang tertinggal lagi kepada bangsa-bangsa Melayu ini di dalam negerinya?

Adakah boleh aman lagi Raja-Raja di dalam lingkau bangsa-bangsa asing yang menjalankan kuat-kuasa pengetahuan masing-masing di dalam perjalanan pemerintahan negerinya?

Dan adakah boleh siapa-siapa berkata lagi negeri Melayu ini bagi Melayu?

Bahaya yang sangat-sangat besar ke atas bangsa Melayu dan Raja-Rajanya pun sama juga tiada Duli Yang Maha Mulia-Mulia Tuanku-Tuanku dan sekalian ahli-ahli akal daripada kaum Melayu ini berfikir dan menjalankan ikhtiar bagi memasukan ke dalam pengetahuan Tuan Yang Terutama apa-apa fikiran yang memeliharakan hak Melayu di dalam watan tanahair turun-menurun datuk neneknya yang telah terserah kepada kerajaan yang maha besar bagi memelihara dan mengatur keamanan dan kemakmuran dan mengajar anak-anaknya, bukannya bagi membahagikan kepada sekalian bangsa-bangsa dagang yang datang bersemenda mencari rezeki kehidupannya.

Wahai sekalian saudara Kaum Melayu! Bermula perubahan yang akan datang ke atas watan tanahair saudaraku sekalian ini berbetulan sangat jadinya dengan perkhabaran perubahan dasar kebangsaan ke atas pemerintahan kerajaan Inggeris bagaimana yang tersiar di dalam saudara pada bilangan ini juga, maka ambillah ibarat kiasan bagaimana ketua-ketua dan orang-orang besar-besar yang kita dengar masing-masing itu senantiasa di dalam perselisihan tujuan di dalam perkara menuntut kebajikan bagi watan dan perhimpunan kaum bangsanya.

Maka sekarang boleh jadi bersetuju dan bersatu semuanya apabila diseru kepada perubahan pemerintahan negerinya kepada berdasar dengan dasar kebangsaan, maka bukankah perkara yang berlaku itu menunjukkan bahwa memelihara dasar kebangsaan itu ialah yang dituntut oleh tiap-tiap bangsa yang kemaraan hidup kemanusiaan di dalam dunia ini?

Bermula, penyakit bahaya besar sekali yang hendak menghilangkan nyawa kebangsaan kita di dalam tanahair kita ini ialah penyakit tidak ada pelajaran, maka tiadalah tahu kita melawan musuh itu dengan kita mengalakkan membela penyakit itu.

Dengan sebab ini, di dalam masa kita menahan seberapa yang dapat terupaya oleh kita akan rempuhan musuh itu, maka hendaklah kita mencari doktor yang boleh memberi ubat penyakit kita itu supaya setiap-tiap masa bertambah-tambah subur tubuh badan kita dan bertambah kuat sasa badan kita melawan akan segala musuh kita itu.

Penyakit kaum Melayu ini hanyalah satu itu sahaja, iaitu tidak ada pelajaran! Jadinya tiap-tiap anak itu bukanlah bapanya seorang sahaja yang menanggung kewajipan memberi anak itu pelajaran sebab mudaratnya tertanggung ke atas semua bangsanya dan watannya.

Maka dengan sebab itu perkara pelajaran ini wajib ke atas semua kaum Melayu berfikiran dan mengerjakan dia serta mengatur dan bertolong-tolong dengan bagi memberi anak-anak bangsanya pelajaran kerana seruan muslihat kaum bangsa dan watan tanahair sendiri.