Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 28 Feb 1931, p.1

Leader Article.

Orang Cina Mengaku Semenanjung Negerinya.

Dan katanya Bukan Negeri Melayu!!

Towkay Lim Cheang Ean yang menjadi Ahli Mesyuarat Negeri-Negeri Selat itu dalam ucapannya kepada suatu persekutuan Cina yang dinamai "Ho Yew Siah" pada hari Jumaat malam, iaitu 6 haribulan Februari ini, ia telah berkata,

"Ini kita punya, kita punya negeri ... hujan mas di negeri orang ... cantik jua negeri kita".

Ia telah mengatakan dengan beria-ia betul bahwa sangat wajib bagi tiap-tiap anak Cina yang diperanakkan di sini memashyurkan dirinya menjadi rakyat Inggeris iaitu jika sebenarnya mereka itu berkehendakan kerajaan itu menerima dan menghargakan tuntutannya. Katanya, apabila sekali telah mengaku jadi rakyat British, hendaklah mereka berhenti daripada menjalankan segala perkara yang tidak bersetuju dengan nama British, dan patut mereka menjadikan kerajaan itu menaruh kepercayaan kepada mereka dan dengan jalan itu mereka boleh dapat peluang yang lebih baik dan padang yang terlebih luas.

Jikalau Cina-Cina Peranakan itu tidak boleh memperbuat seperti itu, kerajaan akan memandang kepada orang lain iaitu Melayu atau Indian, katanya ((seolah-olah sudah siang-siang ada hasadnya kepada Melayu dan Indian? Pengarang)).

Ini bukannya Negeri Melayu:

Katanya, ia telah kerapkali mendengar orang Inggeris berkata yang negeri ini negeri Melayu dan Orang Melayu itu lebih taat dan lebih dipercayai. "Siapa kata negeri ini negeri Melayu?", katanya, "Apabila Kapitan Light datang ke mari, adakah dijumpainya Orang Melayu atau Kampung Melayu? Nenek moyang kita telah datang ke negeri ini dan telah bekerja dengan kuat menjadi kuli -- tidak ada malu dengan sebab menjadi kuli -- dan mereka itu tidak menghantarkan wang-wangnya balik ke negeri Cina. Mereka itu kahwin dan membelanjakan wangnya di sini. Dan dengan jalan itu dapatlah kerajaan membuka negeri ini daripada hutan kepada negeri yang bertamadun.

Kita sudah menjadi sebati dengan negeri ini.

Ini kita punya. Ini kita punya negeri, boleh jadi ada orang-orang yang memang kerjanya mengembara dan bersungut, tetapi buat kita, kita menyanyi kepada telinga kita sendiri, "hujan emas di negeri orang, cantik jua negeri kita". Selagi ada nyawa di badan, tidak saya akan berhenti daripada menanamkan hal ini ke dalam hati Tuan-Tuan sekalian dan Tuan-Tuan sekalian mestilah tanamkan dalam hati tiap-tiap orang Cina Peranakan yang negeri ini negeri kita!

Akan sampai masanya yang kerajaan akan mengadakan suatu daftar orang-orang Cina supaya membezakan dan mengetahui yang mana rakyat British dan yang mana bukan rakyat British.

Jikalau ada yang hendak menjadi rakyat Cina, eloklah mereka menerangkan yang demikian supaya kerajaan tidak memikirkan mereka yang mengaku rakyat Inggeris itu cenderung hatinya arah ke Tongking!"

Pada akhir ucapannya, ia telah menerima tepuk yang gamat menunjukkan bersetuju benar hati segala Cina-Cina yang mendengarkan syarahnya itu.

Dalam makalah pengarang akhbar "Straits Echo", akhbar yang mana ada menzahirkan sekalian ucapan itu dengan penuh, orang-orang Cina Peranakan itu pula sudah dipanggilnya, "British Chinese", dan katanya sekalian British Chinese yang taat kepada kerajaan akan mengembangkan cita-cita ini. Dan jikalau sedikit sahaja lagi ketua-ketua bangsa Cina yang terkenal dalam Semenanjung ini bercakap mengiyakan maksud ucapan itu, tidaklah syak lagi melainkan jawatan-jawatan yang tinggi sekali yang diberi oleh kerajaan kepada orang-orang British itu akan terbuka kepada mereka itu ((amboi! Senang sungguh bunyinya hak-hak itu boleh dapat kepada orang Cina seolah-olah kerajaan itu boleh dipakatkannya dan seolah-olah Raja-Raja Melayu dan orang-orang Melayu itu disifatkannya tunggul sahaja! Pengarang)).

Dalam akhbar "Malayan Daily Express", yang terbit di Kuala Lumpur pada 10.2.31, ada pula sesuatu karangan yang siuman bunyinya iaitu oleh Mr. Chan Seow Lee, kita fikir karangannya itu adalah sebaik-baik jawab kepada ucapan Towkay Lim Cheang Ean itu. Katanya: "Apakah kewajipan menjadi rakyat Inggeris? Masa aman menjalankan kewajipan yang patut dan memperoleh hak-hak yang patut dan masa kesusahan atau peperangan seseorang mesti redha membuang nyawanya kerajaan negeri dan watannya, apakah yang sebenarnya Cina Peranakan Tanah Melayu ini? Rakyat Cina atau British? Masa yang akan datang itu akan menetapkan dan menentukan adakah Cina Peranakan itu lebih baik tinggal jadi rakyat British atau orang dagang? Undang-Undang Negeri ini tidak menyuruh anak-anak Eropah Peranakan Selat ((yang bukan British)) patut jadi rakyat British.["]

Cina Peranakan Selat itu bukannya bangsa Inggeris, atau Melayu, dan bukannya pula campuran dari Cina dengan Melayu atau Inggeris, tetapi ialah Cina totok, baik pada darah dan dagingnya atau pada bangsanya. Sekarang ini negeri asal dan negeri nenek moyang Cina Peranakan Selat ini sedang bergerak dan menggalak dengan perasaan kebangsaan dan perasaan seperti itu mesti bergerak jua dalam urat jantung Cina-Cina Peranakan Selat itu, masing-masing bangsa ada mempunyai perasaan dan lagu kebangsaan yang menghidupkan semangat mereka itu, orang yang tidak menyalahi ke mana-mana dalam seruan yang menggoncang dan menggerak perasaan kebangsaan itu ialah orang yang menghidupkan semangat mereka itu. Orang yang tidak menyebelahi ke mana-mana pun dalam seruan yang menggoncang dan mengerak perasaan kebangsaan itu ialah orang yang telah hilang kebangsaannya. Orang yang telah mati bunyi gerudup gendang kebangsaan yang bertalu-talu itu bukannya bunyi yang tidak tentu, tetapi ialah bertalu dan bersambut-sambutan bahananya walaupun dalam luruh gunung yang jauh di seberang lautan.

Kerajaan Inggeris tidak akan dan tidak boleh mengaku orang-orang Cina itu rakyat British yang sejati dan kerajaan negeri Cina tidak pula boleh memaksa mereka itu menjadi rakyat negeri Cina. Seorang Cina Peranakan Selat yang hendak jadi rakyat Inggeris atau rakyat Cina terpulanglah kepada kemahuan dan kemanusiaan hatinya sendiri memilihnya. Masing-masing negeri ada tanggungannya kewajipannya yang mesti dipikul baik dalam masa aman ataupun dalam masa peperangan dan siapa pun tidak boleh mengelak daripada kewajipan itu.

Kedudukan Cina Peranakan Selat di Tanah Melayu sebagai rakyat Inggeris sangat umum. Belum ada disahkan dengan akuan atau surat yang khas yang orang-orang Cina Peranakan itu menjadi rakyat Inggeris. Sebaik-baik keterangan yang boleh diberi atas kedudukan orang Cina di Tanah Melayu ini ialah yang dia itu setengah rakyat Cina dan setengah rakyat Inggeris. Iaitu bercampur atas taraf dan kedudukan sungguh pun tidak bercampur tentang bangsa. Ia boleh memburu sama-sama dengan anjing pemburuan dan boleh pula lari dengan arnab yang kena buru.

Kepada orang Cina dan Inggeris yang berfikiran dalam bahwa sangat terang pada suatu hari akan sampai ujiannya. Perhubungan di antara suatu bangsa dengan lain akan berubah lebih baik atau lebih tidak baik mengikut peredaran masa.

Tetapi cuba kita tanya, kata Mr. Chan Swee Lee, adakah kerajaan Inggeris menghendaki atau memaksa Cina-Cina Peranakan itu menjadi rakyat Inggeris?

Bolehkah dipukul rata yang tiap-tiap Cina Peranakan Selat itu suka hendak jadi rakyat Inggeris? Dan lagi, setengah ketua-ketua kaum Cina Peranakan Selat yang meminta hak-hak rakyat British itu adakah mereka itu pakai bubuh sahaja mengatakan yang cita-cita itu cita-cita sekalian Cina Peranakan?

Kata penulis itu lagi, kita tahu dan kita boleh tampak siang-siang lebih dahulu yang Cina-Cina Peranakan Selat itu bukannya daripada puak yang telah susut atau hilang perasaan kebangsaannya. Jikalau disiasat hal ini, didapati bahwa Cina-Cina Peranakan yang telah separuh umur itu ada kuat hendak menjadi dan mendapat hak rakyat Inggeris. Tetapi puak yang lebih muda lagi yang ibu bapanya diperanakkan di dalam negeri Cina dan yang dapat belajar dalam sekolah-sekolah Cina yang berperaturan itu ada lebih kasih kepada negeri bangsanya ((Cina)).

Sekolah Cina, pelajaran Cina, perasaan kebangsaan Cina dan jua kecenderungan dunia sekarang ini telah membangkitkan semula dalam darah daging mereka itu perasaan kebangsaan yang tidak dapat dicerai-ceraikan lagi mereka itu daripadanya.

Ke Mana Angin Bertiup.

Tanah Melayu, kata penulis itu, semakin dirasa hilang kemegahannya sebagai suatu syurga pencarian. Zaman kehidupan yang senang telah lalu masanya dan perjalanan atau perarakan perusahaan orang-orang Cina di seberang lautan dan di luar negeri sekarang ada bergerudup bunyi gendangnya menghala balik arah ke watan -- arah ke negeri Cina di mana dunia baru sedang mula menggantikan dunia yang lama. Sangat terang seperti terang hari yang siang bahwa perasaan lama di antara Cina-Cina Peranakan itu sedang digantikan oleh perasaan baru iaitu perasaan negerinya dan perasaan kebangsaannya. Orang-orang Cina itu walau barang di mana pun adanya akan tinggal Cina jua pada fikirannya, hatinya dan pada keadaannya yang sebenar. Angin masa ini berpuput dan bertiup arah ke Timur jauh: boleh jadi angin ini angin yang baik. Jika begitu, Ayuh! Pasang layar semua!

Apabila kerajaan Tongking yang jaya dan menang itu membaikkan dan membetulkan semula negeri Cina boleh jadi suatu "Chinese Civil Service" akan diadakan di Tanah Melayu buat menerima anak-anak Cina di sini bagi jawatan di negeri Cina dan dengan jalan itu boleh ditinggalkan pertegangan jerih atas perbahasan berkenaan dengan cerita yang bukan-bukan berkenaan dengan "Malayan Civil Service" itu.

Bagi pihak kita, kita akan mencuba dengan seberapa daya menyampaikan kepada bangsa kita Melayu akan segala bahaya yang diterbitkan oleh pengaruh bangsa Cina itu iaitu dengan harapan supaya anak-anak Melayu sekalian boleh jaga dan celik betul atas hak-haknya. Orang-orang Melayu terutama di negeri-negeri Selat tidak sekali-kali boleh diam menantikan nasibnya yang akan melapuk atau menghempap mereka itu.

Kelab-kelab dan persekutuan-persekutuan Melayu eloklah pula membanyakkan syarah-syarah sekurang-kurangnya buat mengejutkan anak-anak Melayu daripada lenanya.