![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 14 Feb 1931, p.4
Surat Kiriman.
Pergerakan Anak-Anak Melayu Meneladankan Langkah Yang Baik.
Dua Kejayaan di dalam Masa Yang Satu.
Di dalam sedikit masa yang lalu, penulis memuatkan perkhabaran berkenaan dengan gerak-gerak pemuda-pemuda Pulau Tawar mengadakan kumpulan tolong-menolong bantu-membantu kaum bangsanya melangkah ke padang kemajuan yang sangat dikehendaki di dalam masa zaman yang beredar ini, kumpulan itu tampaknya hampir-hampir jaya dan maju saksikanlah kejadian yang diperolehi pada hari ini bukankah suatu gerak-gerak yang terbilang sendi-sendi kemajuan yang dicontohkan oleh lima orang pemuda-pemuda dengan tugas hati mengambil bahagian perniagaan membuka lima buah kedai Melayu kepunyaan sendiri, sungguh pun kecil dan sedikit modal tetapi percayalah penulis itulah sesuatu teladan yang terpuji di sisi, kaum bangsa, yang demikian berdoalah penulis mudah-mudahan subur hidupnya begitulah juga diharapkan kaum bangsa jangan lemah daripada menolong menyokong membeli di kedai itu inilah masa! Tolonglah bangsa! Majukanlah perniagaan bangsa!! Hidupkanlah nama bangsa!! Selain dari itu kumpulan itu dapat pula mengadakan tapak perhumaan padi di atas tanah selebar lebih kurang 400 ekar dipenuhi oleh air dengan pekerjaan sendiri yang pada masa ini dipandang hormat oleh pembesar negeri.
Sekianlah perubahan yang berlaku semenjak diadakan kumpulan itu dan berharaplah penulis tidak berapa lama lagi dapat pula kumpulan itu menunjukkan tenaganya kepada perubahan dan pergerakan yang lain, bahkan kejayaan yang berlaku itu sebagaimana yang tersebut itu tidak syak lagi itulah sesuatu panduan yang patut diturut dan diikut, hargakanlah ayuhai pemuda-pemuda bangsaku atas pergerakan yang seumpama itu bantu ((ampu)) pendirian punca membolehkan semangat Melayu yang sangat diangan-angan dan dicita-cita supaya hidup roh kebangsaan, kemajuan, perniagaan Melayu teratur dan tersusun cukup tegap bagaimana perniagaan bangsa asing.
Demikianlah disudahi dengan terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya. Was-salam kepada Tuan-Tuan Pembaca yang budiman.
top |