Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 28 Feb 1931, p.6

Surat Kiriman.

Siapakah Yang Merosakan Tulisan Melayu?

Al-Mukarram Tuan Pengarang Akhbar Saudara, Dengan kesejahteraannya,

Tuan,

Haraplah saya akan pertolongan tuan menzahirkan rencana saya yang di bawah ini di dalam ruangan akhbar tuan yang masyhur.

Sedikit hari dahulu di dalam "Pengasuh" Kelantan, telah zahir satu rencana yang berkepalakan "Siapakah Yang Merosakkan Bahasa Melayu?"

Maka tampaknya karangan itu ditujukan kepada bekas-bekas murid sekolah Inggeris Majlis Ugama di Kelantan dan terutamanya kepada Tengku-Tengku Hamzah dan Mahyuddin. Maka tuduhan penulis itu di atas murid-murid yang tahu bahasa Inggeris tiada memberatkan sekali-kali tulisan atau Bahasa Melayu.

Barangkali penulis itu tiada menghabisi siasatnya. Jika ia mengambil sedikit usaha lagi ke lain, nescaya didapatinya bahwa di dalam ofis bandar di Kota Baru tiada seorang pun daripada jumlah murid sekolah Inggeris Majlis Ugama, tetapi tiap-tiap sekeping kertas yang dikeluarkan daripada Pejabat itu sama ada lesen-lesen atau resit-resit atau sebagai-bagainya tertulis di dalam bahasa Inggeris.

Dan demikian jua di dalam sekolah-sekolah Melayu di darat-darat dan terutamanya diibunya di pejabat pelajaran. Apakah sebabnya dimustahakkan atau diwajibkan digunakan tulisan rumi itu, adakah orang-orang Keling atau Cina berkenaan dengan sekolah-sekolah Melayu jati sebenar-benar jati Melayu Kelantan itu?

Tampaknya bermegah-megah sahaja ketua-ketuanya dengan tulisan Rumi meniru-niru supaya disangkakan oleh rakyat ramai ia seorang pandai Inggeris. Maka pada akhir tulisan huruf Istanbul yang molek lagi masyhur di Kelantan itu hilang dan timbullah sekarang tulisan hodoh seperti tulisan mualaf.

Gobek Kelantan.