Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 11 Jul 1931, p.5

Surat Kiriman.

Perniagaan Kaum Melayu.

Tuan Pengarang Saudara,

Maka pada kali inilah baru penulis menemui wajah al-karim dengan perjalanan pena sahaja dan jua pada saat itulah jua pembaca-pembaca yang budiman dapat menatap jejaknya pena penulis yang tidak senonoh lamalah sudah penulis berlangganan dengan Saudara, belumlah sekali jua pun terlintas dan tercita atau jadi angan-angan pada qalbi saya hendak mencampuri atau hendak bersama jalan ikut turut melancarkan pena dengan penulis-penulis yang bijaksana, hanyalah suka asyik berlangganan dan membaca sahaja setakat ini.

Jadilah penulis menebarkan senatan tengguli kepada Saudaraku arif dermawan dan ke hadapan pengarang muda setiawan.

Maka berpalinglah penulis kepada haluan yang dimaksud dan berjalanlah pena membawa diri menghala arah ke bumi putih menanam baja fikiran penulis adanya.

Sanya pada minggu yang lalu terbaca oleh saya suatu rencana yang panjang lebar isinya mustahak benar rasanya pada diri penulis dan bersetuju pula dengan fikiran saya yang ianya bertandatangan "Jemputan Luar Kampung", menghuraikan fasal kita orang Melayu tak mau memajukan bangsa sendiri tentang perkara perniagaan iaitu pun apa-apa jua perkara seperti tolong menolong atau bantu membantu. Dari kerana itu, samalah penulis mengiringkan jejaknya penanya mengiring di belakang kerana pada perasaan saya itulah sesuatu peluang yang baik mudah-mudahan berkat dengan pertolongan Tuhan alla wa-ja`ala, beransur hendaknya penyakit hasad dengki kita kaum muslimin yang masih bertengkik di dalam hati jantung kita Melayu.

Berdoalah kita kepada Tuhan rabbiul alamin mudah-mudahan habis licinlah hendaknya perkara yang karut marut itu lebur tenggelamlah hendaknya kepada dalam laut keselamatan, supaya tetap nama Islam itu serta menuju akan maknanya yang dimaksud, bukankah pembaca-pembaca lebih maklum lagi agaknya daripada penulis yang buta kayu ini arti al-Islam itu keselamatan atau kesejahteraan? Selamat dunia selamat akhirat; bukanlah dengki mendengki khianat mengkhianati menghentam karamkan kaum bangsanya hanya disuruh bersatu hati tolong menolong sama sebangsa ingat-mengingati sesama muslimin supaya mendapat keselamatan selamat hidup selamat mati, selamat di dunia selamat di akhirat, selamat pergaulan, selamat persatuan, selamat kehidupan, selamat perniagaan: supaya bernaung Islam itu di bawah panji-panji ketinggian, supaya berkemajuan kebangsaan selama-lamanya.

Syahdan lagi, maka berbaliklah penulis menemui huraian pena Saudaraku "Jemputan Luar Kampung" dan menghubung tikaman jejak kalamnya berhubung dengan perniagaan bangsa kita Melayu tak akan maju. Percaya benar penulis seperti lacaran penulis "Jemputan Luar Kampung" itu sememangnya begitu resmi bangsa kita sendiri, kerana penulis sudah pernah mencuba kelazatan berniaga dan kemanisan atau kepahitannya kerana saya bolehlah dikatakan tua di dalam berniaga sahaja, belumlah sekali jua pun suka memajukan kebangsaannya atau meninggikan maruah kaum bangsanya, hanyalah yang ada kebanyakan menjahanamkan kaum sendiri sekali-kali tak mau meninggikan bintang keselamatan.

Apa tidaknya? Pembaca boleh berfikir panjang apabila mereka itu ada berhutang dalam enam tujuh ringgit iapun tak mau mendekat ke kedai itu lagi kerana takutkan dipinta oleh yang empunya piutang wangnya.

Akan tetapi apabila datang kesempitan yang sangat, datang jua menghampiri ke kedai itu melemahkan lidahnya atau melembutkan giginya dengan henggek-renggeknya.

Pendek kata, lembut giginya pada lidah mengeluarkan suara yang lemah lembut macam mana yang akan moleknya supaya dapat menokok dan menambah hutang apa kata katalah pada kali itu kepadanya, sebaliknya bertambah banyak hutang bertambah ketakutan bertambah kedegilan membayarnya, kok ada pun wang di tangan, banyak pula keperluan yang lain.

Pembaca yang budiman, tentulah sekali merasa hati si orang kedai tentulah tak akan sabar pula jua dipintanya piutangya itu di mana-mana berjumpa sebab hendak membeli barang-barang kerana isi kedai itu sudah habisnya licin-lecu, tetapi apalah akan faedahnya, hanyalah sia-sia sahaja sehingga tegang kendur urat lehernya mengatakan tidak berduit, hanyalah penjawabnya penghabisan katanya sekarang tak ada pembayarnya yang ada pada saya ialah jiwa, apa-apa nak buat-buatlah atas diri saya! Kesudahan kata, orang kedai tentu naik darah tentu tak bersenang hati mendengarkannya si penghutang inilah intaiannya alamat piutang tak akan menerima. Ada jua setengah bagi setengahnya yang mau membayarnya tetapi sudah sampai bilang tahunan, banyaklah lagi kelakuan atau resmi bangsa kita biarlah tidak disebutkan semuanya.

Bukankah menjahanamkan itu namanya? Sehingga sampai yang kerap perniagaan itu di manakah tinggalnya makna Islam? Bukankah makna Islam dengan makna kezaliman dan Hadis Nabi Sallallahu alaihi was-salam pula maksudnya seperti iaitu bermula orang mukmin itu bersaudara, iaitu berkerja-kerjasama melicin-licaukan harta kaum bangsanya supaya habis jahanam, inilah yang dimaksud persaudaraannya masa bilakan majunya perniagaan kaum bangsa kita Melayu?

Setakat ini memadailah penulis mengiringkan jejakan kalam Saudaraku "Jemputan Luar Kampung", hanyalah menyimpang penulis kepada haluan penghabis terhadap kepada penulis awal yang melicikkan penanya. Menerima syukur penulis kehadrat Ilahi Rabbiul-alamin, beransur jualah hendaknya pekerjaan yang karut-marut itu kepada kebaikan serta mendoakan kita kaum muslimin menadahkan tangan arah ke langit.