Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Jul 1931, p.1-2

Leader Article.

Persatuan Pemuda-Pemuda Melayu.

Oleh banyaklah sudah seruan-seruan yang nyaring yang telah dibaca dan terpintak ke telinga pemuda-pemuda kita Melayu tentang mengadakan suatu "Persatuan Melayu" yang dikehendaki pada langkah yang pertamanya bagi tiap-tiap negeri dahulu kemudian barulah disekutukan menjadi satu tumpuan.

Maka baru-baru ini telah bangkitlah perasaan itu di hati empat lima orang pemuda-pemuda kita yang di Kuala Lumpur ini bakal mencuba melangkah mengikutkan runtunan Cina-Cina yang tidak dapat tiada ditahan lagi rasanya itu.

Encik Mahmud bin Idris, begitulah namanya seorang pemuda kita yang berhemah di Kuala Lumpur ini telah mara mengetuai mengadakan Persatuan Pemuda-Pemuda Melayu di sini di bawah naungan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman MCS dan lagi telah disanggup pula akan membantunya oleh Yang Mulia Raja Mahmud ((Agriculture)), Syabas!

Tidakkah ini akan menggirangkan dan mengembangkan hati kita pemuda-pemuda Melayu di seluruh Semenanjung ini mendengarnya iaitu akan terdiri persatuan yang dicadang-cadangkan oleh pendita-pendita kita semenjak lama sudah. Khabarnya pada permulaan ini adalah yang telah berteguh hati sebanyak empat puluh orang dan adalah lebih kurang tiga ratus pemuda-pemuda lagi sama ada yang di dalam lingkungan bandar ini dan di luar yang akan menjadi ahli-ahlinya lagi. Rumah yang akan disewa bagi sementara ini jika diluluskan ialah di Ampang Street, berhadapan dengan gudang John Little dan jua hal mendaftarkannya telah sangat hampir kerana permohonan demikian itu telah dihantarkan kepada yang berkuasa.

Surat-surat memanggil bantuan-bantuan telah dikirimkan kepada kebanyakan Malay-Malay Officer dan lain-lain seumpamanya dan telah diterima banyak jawapan-jawapan melafazkan kesukaan hatinya masing-masing atas perusahaan ini dan berjanji mengirimkan bantuan dengan ikhlasnya.

Banyak jua dermawan-dermawan yang tiada diperoleh namanya di merata-rata Tanah Melayu ini yang tiada dikirimkan kenyataan ini tetapi lambat launnya tentulah akan kedengaran jua kepada beliau-beliau itu akan hal ini dan percayalah penulis yang sebarang bantuan akan disambut oleh berusahanya dengan dua belah tangan.

Tujuan-tujuan persatuan ini ialah bagaimana yang diperbincangkan di dalam akhbar-akhbar oleh pendita-pendita kita dan pada fikiran penulis kelak hasillah maksud kita jika bersungguh-sungguh dibantu oleh yang berperasaan kepada haluan ini, khasnya bagi pemuda-pemuda yang di dalam Selangor dan amnya dermawan-dermawan yang dan lain-lain negeri.

Telah ada juga kedengaran daripada kritik-kritik di sini, mengatakan telah ada di sini dua kelab Melayu mengapa tidak sekaliannya berhimpun bersekutu di situ memajukannya kemudian apabila telah maju, bolehlah tuju kepada had yang dikehendaki. Ini pula betul juga, tetapi daripada dua itu menjadi pula ia tiga apalah salahnya?

Persatuan ini semata-mata akan dimulai daripada darjah berkhidmatkan kaum dan watan dan seumpamanya dan jua librari yang lengkap dan bukanlah kepada had billiards, tennis dan librarinya syair-syair dan hikayat asyik maksyuk sahaja, bahkan ini semua pun ia juga, tetapi telah masuk di dalam lingkungan biasa bagi tiap-tiap kelab.

Akan tetapi yang kita hendak buat sekarang mengikut tambahannya seperti pendapatan pendita-pendita kita yang telah diura-urakan di dalam tahun ini. Marilah kita bantu bersama-sama hal kebajikan ini dan kita cubalah buangkan penyakit egotism. Jika ada pada sisi kita mudah-mudahan beruntung dalam segala cawangan.

Janganlah kita permudah-mudah akan pekerjaan yang dipandang kecil ini yang kejadian daripadanya pekerjaan yang besar. Dan padankah kita membiarkan kaum kita seperti yang ada sekarang ini dan akan seterunya yang masih dipandang kecil lagi itu? Tidakkah mau kita beringat-ingat sekalipun ia ada hina?

Tidakkah kita ketahui beberapa daripada kutu anjing memperjagakan ia akan gajah dan menegahkan ia akan tidur raja-raja yang besar-besar. Dan jika dimenyesalkan kepada api, jika diperdapati akan dia pada awal nyalanya, nescaya mudah memadamkannya dan jika telah kuat nyalanya, nescaya berganda-ganda kepayahan mendekatinya dan berganda-ganda balanya.

Patutlah kita mengucap syukur kepada Allah ta`ala akan perusahaan ini kerana dikata orang bila singkat tangan kamu daripada membalas kebajikan saudara-saudara, maka hendaklah panjang lidah kamu dengan syukur.

Dan jika tiada kita seperti geram yang membaikkan, janganlah ada kita seperti leka yang membinasakan.

Bagi sementara ini, siapa-siapa yang sudi hendak berutus dengan Encik Mahmud bin Idris itu, alamatnya ialah Office Chief Clerk, Counter Post and Telegraph, Kuala Lumpur.

Saya bersorak mengatakan "Well Done!" kepada Encik Mahmud bin Idris dan sahabat-sahabatnya. Asal ditugal adalah benih dan diharapkan kita betul-betul dan tahqiqkan segala cita-cita kita yang maha suci ini dengan berpandukan benar, yakin dan amanah, serta berserah kepada Tuhan kita, nescaya hasillah cita-cita kita dan sempurnalah hayat watan kita dan cemerlanglah ugama kita dengan kita! Innallahu la-khalif al-mai´id.

Patriot, Kuala Lumpur.