Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 11 Jul 1931, p.10

Surat Kiriman.

Tanggungan Anak-Anak Watan.

Pemandangan Yang Menyedihkan.

Port Dickson satu pelabuhan yang comel dalam Negeri Sembilan, sungguhpun pekannya kecil, tetapi kenamaan seantero Semenanjung ini bagi mengambil angin rehat. Pada tiap-tiap hari kelepasan penuh sesak berbagai-bagai motorkar yang datang dari luar-luar negeri seperti Melaka, Singapura, Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, terutama Negeri Sembilan, datang ke tempat ini kerana mengambil angin.

Tiap-tiap seorang yang datang itu wajiblah ia membelanjakan wangnya mengikut kudrat masing-masing.

Tetapi sayang seribu kali sayang semuanya wang itu habis dibolot oleh bangsa Cina dan Keling belaka, kerana tiada seorang pun daripada bangsa Melayu kita ini yang boleh membuka kedai atau mencubanya.

Anak-anak kampung ini tiadalah apa-apa mata pencariannya melainkan bekerja laut, seperti memukat, menjaring atau memancing, pekerjaan ini satu daripada pekerjaan yang boleh mendapatkan keuntungan yang besar jua, sekurang-kurangnya boleh cukup makan dan pakai, tetapi apa boleh buat, nasib anak-anak Melayu kampung ini masih dihunjuni oleh bangsa-bangsa Cina khianat itu!

Kerana apa demikian? Iaitu tiada siapa-siapa yang boleh buat atau ambil satu surat kebenaran daripada Pejabat Sanitary Board, bagi menjual ikan-ikan di dalam Pasar Port Dickson itu.

Yang kedua, orang-orang Melayu suka diombak oleh bangsa Cina itu tiap-tiap masanya dan diberinya wang dahulu daripada menjual ikan kepadanya.

Yang ketiga, tak kuasa mengadakan sebuah perahu untuk mencari ikan di laut.

Ketiga perkara inilah yang menjadikan anak-anak kampung ini papa, kadang-kadang tak dapat menerima lagi 20 sen, kerana ditolak ini dan ditolak itu!

Dan lagi, yang menghairankan hati, seperti orang-orang memancing, kepas daripada membeli serawan [?] pancing, jarum membeli 5 atau 10 sen udang untuk umpan, itupun nanti diberi oleh bangsa Cina jua dahulu, daripada ia turun ke laut, bila balik dari laut diminta oleh Cina-Cina pas itu harga ikan yang sehabis-habis murah, jarang yang merasa sampai 10 sen sekati, tetapi mau tak mau dijual juga kepadanya seberapa yang dikehendakinya itu, apabila menerima wang harga ikan itu tampkanya sangatlah sebukalnya seolah-olah seperti seorang yang putus harap, serta keluar daripada pasar itu mengira-kira wang pendapatan hari itu adalah seperti bidalan Minangkabau, "Bak kain tengah empat hasta", ke atas tak cukup, ke bawah tak sampai!

Apa nak buat lagi.

Mau tak mau pun buat juga; jika tak buat tiada pula bercabang asap api di dapur.

Demikianlah halnya habis hari berganti bulan habis bulan berganti tahun hingga sampai begitu hari ini.

Sesungguhpun demikian halnya, tetapi anak-anak Melayu tiadalah jua sedar yang ianya dipermainkan oleh bangsa Cina itu. Sesungguhnya berubah warna kulit masing-masing oleh disingkang panas di tengah laut pada tiap-tiap hari. Sekiranya penangkap-penangkap ikan ini jika tiada ia daya upaya salah seorang daripada mereka itu menjadi pemborong ikan di pasar, itupun tiada mengapa jua, biarlah ikan-ikan itu dijual kepada bangsa Cina juga, malahan harga ikan-ikan terpulang kepada kita sendiri, walaupun dengan harga yang murah, kerana lepas daripada potong ini dan potong itu.

Tetapi maulah menyediakan pukat, jaring dan sampan sendiri. Tetapi apa mau buat, tiada mau sepakat. Sungguhpun pukat atau jaring Cina yang punya, tetapi Melayu kita ini juga yang membuatnya, Cina itu cuma mengadakan benang sahaja, bukan sebab tak pandai membuat.

Ikhtiar yang Patut!

Datuk Penghulu Port Dickson ini seorang yang muda belia serta pengasih penyayang kepada anak-anak buahnya lagi berkemodenan dan berpelajaran dunia dan akhirat, budi bahasanya yang lemah lembut itu tentulah boleh menarik hati anak-anak buahnya undur daripada lingkungan kedengkian bangsa Cina itu.

Tampaknya inilah satu peluang yang boleh membawa anak-anak Melayu Port Dickson ini sedar yang dirinya diperterupkan oleh bangsa Cina itu, kerana Datuk Penghulu berusaha sangat tentang hendak memajukan kaumnya. Tetapi apalah hendak dibuat, seperti meluntur betung, tetapi biarlah perlahan-lahan.

Pada fikiran penulis, tidak lain yang patut dibuat melainkan; Datuk Penghulu membawa anak-anak buahnya bermesyuarat pada satu tempat yang patut ((yang sebaijnya mengadakan sebuah Persekutuan Melayu)) serta bersyarah akan hal yang tersebut tadi, di dalam mesyuarat itu diminta kepada sekalian orang-orang yang membuat pekerjaan ke laut menyimpan 2 sen pada tiap-tiap seorang pada tiap-tiap kali pergi ke laut kepada seorang yang dikepalakan di dalam hal ini, pada agak-agak penulis, tentulah boleh dapat 30 ringgit sebulan, di dalam tempoh 6 bulan tentulah boleh dapat 2 perkarangan, yakni pukat atau jaring dan 2 perahu.

Apa kata jika seorang boleh penyimpan 5 sen sehari?

Jika setahun dibuat demikian, tentulah boleh bertetap di lantai sendiri!

Jika sudah nampak maju, barulah boleh kita mengadakan seorang pemborong dari mereka itu atau mengadakan seorang penyambut seperti di Seremban atau di Kuala Lumpur. Mudah-mudahan dengan jalan ini terhentilah lidah-lidah Cina itu daripada menyebut, Melayu bodoh Melayu bangsat!

Sebagailagi, Tuan Haji Syawal, Imam Masjid Port Dickson ini, seorang yang sangat-sangat gemar kepada kemajuan zaman ini dan suka ia menyelidiki apa-apa yang boleh mendatangkan kebajikan di atas kaumnya, serta berjinak-jinak ia dengan suratkhabar-suratkhabar, terutamalah suratkhabar Saudara ini, pada tiap-tiap hari kesampaian suratkhabar Saudara ini kepada wakilnya di Port Dickson, Tuan Haji ini sedia sahaja menyambut, serta menatapi dari semuka ke semuka, oleh itu sepatutnyalah Tuan ini menyokong kepada Datuk Penghulu itu daripada menasihat atau berpidato di mana-mana madrasah atau masjid yang Tuan tinggal.

Pada fikiran penulis, jika kedua-dua Tuan-Tuan ini berusaha daripada membangkitkan kaumnya daripada kelainan itu, tentulah boleh maju, tetapi hendaklah bersungguh-sungguh hati, seperti pepatah Minangkabau, "bersetongkang bak sekerak makan", tetapi jangan "bak tergagam di baru"!

Had inilah dahulu, hanyalah disudahi dengan meminta maaf kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya yang sangat-sangat dihargai di zaman ini. Was-salam.

Al-Gharib.