![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 18 Jul 1931, p.5
Local News.
Kepada Wakil-Wakil Yang Dipercayai.
Telah berulang-ulang kita serukan di dalam Saudara meminta wakil-wakil kita mengirimkan wang kita berapa yang telah dijual pada tiap-tiap bulan sebelum 10 haribulan tetapi sehingga masa ini nampaknya banyak jua wakil-wakil yang tiada endahkan seruan kita itu. Dan dengan sebabnya dahulu beberapa banyak wakil-wakil yang telah kita dapati khianat pecah harapan dan kita rentikan mereka itu dengan niat menghantarkan segala bil-bilnya kepada lawyer.
Pada sangka kita wakil-wakil kita yang belum yang ada sekarang ini semuanya ahli-ahli amanah yang dipercayai kerana mana-mana wakil-wakil yang baru semuanya ada menaruh deposit ((wang tanggungan terlebih dahulu)).
Tetapi kita dapati ada juga yang meringan-ringankan mengirimkan wang bagaimana yang diminta itu.
Wahai Tuan-Tuan masa ini masa kesusahan pekerjaan, tidak boleh berjalan kerja melainkan dengan wang. Maka kita tidak meminta pertolongan wang daripada Tuan-Tuan, hanyalah kita minta wang kita seberapa duit juga yang telah laku dikirimkan bulan-bulan sebelum 10 haribulan kemudian daripada Tuan-Tuan potong komisen Tuan-Tuan, Allah s.a.w. membalas dengan kebajikan ke atas tiap-tiap orang yang menyempurnakan amanatnya dan Tuhan membinasakan tiap-tiap orang yang khianat! Takutilah laknat Tuhan bagaimana firmannya "Amanah-ullah ala´ al-khanian".
Jikalau kiranya terhenti Saudara ini dengan sebab ketiadaan amanah sekalian wakil-wakilnya, maka bukanlah khianat wakil-wakil itu jatuh ke atas Tuan punya Saudara sahaja, tetapi khianat itu jatuh ke atas umum al-Muslimin pembaca-pembaca Saudara yang telah mendapat faedah-faedah di dalamnya beberapa banyak karangan ahli-ahli akal dan ahli-ahli pengetahuan yang berguna di dalamnya bagi perhimpunan kaum yang am.
Kita menerima kasih ke atas wakil-wakil kita yang menaruh timbang rasa dengan menyegerakan mengirim wang umpama wakil-wakil Melaka, Singapura, Kedah, Batu Gajah dan lainnya.
top |