Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Jun 1931, p.5

General Article.

Kawasan Melayu di Pulau Pinang.

Ringkasan dari Warta Malaya.

Sedikit masa dahulu, suatu permohonan telah didatangkan kepada Tuan Yang Terutama Gabenur oleh orang-orang Melayu Pulau Pinang bagi diadakan suatu kawasan Melayu dan pada menghasilkan permohonan itu. Maka kerajaan telah bersetuju mencuba.

Yang demikian itu, Pejabat Kerja Raya telah menjalankan pekerjaan dan pada waktu ini pejabat itu ada membuat jalan dan jambatan dan mengatur kawasan itu yang terletak di Ayer Hitam Road, hampir-hampir di sebelah tempat belaan binatang-binatang di mana dua puluh ekar tanah telah diambil oleh kerajaan.

Pada permulaannya kata akhbar itu akan didirikan tujuh puluh buah rumah dan kiranya percubaan itu akan jadi, maka akan ditambahkan hingga dapat dimuatkan seratus lima puluh kelamin.

Kawasan itu akan mengandungi padang permainannya sendiri serta sekolah-sekolah, taman-taman, gudang ubat dan kubur.

Masa ini boleh ditetapkan lagi kiranya tiap-tiap rumah itu akan dipasang dengan api elektrik dan air, akan tetapi api dan saluran air akan dipasang di jalan.

Rumah-rumah itu barangkali akan dibahagi tiga pangkat dan sewanya barangkali juga akan menurut pendapatan orang yang menduduki itu.

Syahdan, sebagaimana pun, sepihak ada memikirkan iaitu kawasan Melayu itu ialah suatu kehinaan kepada orang-orang Melayu dengan sebab diasingkan daripada orang-orang bangsa lain itu, akan tetapi hendaklah juga difikirkan iaitu waktu ini mustahaklah diadakan kawasan Melayu di dalam semua tempat dan bandar-bandar yang besar-besar di dalam semua negeri-negeri Melayu supaya dapatlah orang-orang Melayu itu berkumpul dan berhidup dengan berjiran dengan orang-orang yang sama sebangsa dengannya.

Berkenaan dengan kawasan Melayu di Pulau Pinang itu, barangkali akan dapat segera diisikan oleh sebab syarat-syarat menjadi seorang Melayu di Pulau Pinang itu ada berlainan daripada syarat-syarat yang dikehendaki di Singapura ((Ajaib! Ajaib! Ajaib! Hairan! Hairan! Hairan! Pengarang)). Tambahan pula kawasan Singapura ini ada sedikit terjatuh daripada bandar.

Kita berharap iaitu kawasan yang akan diadakan di Pulau Pinang itu akan menjadi berguna dan berfaedah kepada orang-orang Melayu serta akan disukai olehnya dan di dalam kawasan itu kelak akan boleh didapati berbagai-bagai benda-benda daripada pertukangan dan kepandaian orang-orang Melayu yang akan dijual oleh orang Melayu sendiri.

Jika orang-orang Melayu akan dapat menjalankan perniagaan dan melakukan barang-barangnya itu, maka tidaklah akan tersia-sia diadakan kawasan-kawasan Melayu itu adanya.