![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 8 Jun 1931, p.1
Leader Article.
Persekutuan Orang-Orang Melayu Yang Berniaga.
Masa ini riuh bunyi suara yang berteriakan kemajuan perniagaan dan perusahaan anak negeri. Teriak dan sahutan yang seperti itu terhadap kepada bangsa Melayu terlebih lagi kepada anak-anak Melayu yang telah sedia berniaga dan membuka kedai atau pun yang bekerja di gudang-gudang perniagaan. Pada fikiran kita wajib sangat sekalian orang-orang Melayu kita yang berniaga atau membuat pekerjaan perniagaan yang berfikir sama sendiri buat mengadakan suatu persekutuan sama sendirinya dalam masing-masing negeri walau sekalipun pada mula-mulanya ini hanya boleh didapati sedikit bilangan ahlinya.
Tiap-tiap bangsa sekarang ada mempunyai persekutuan perniagaannya umpama persekutuan tukang jahit, persekutuan tukang kasut, persekutuan pembeli getah, tukang gambar dan beberapa banyak persekutuan-persekutuan yang lain, hingga dapat pula persekutuan-persekutuan itu dihimpunkan menjadi sesuatu perhimpunan persekutuan perniagaan yang besar seperti The European Chamber of Commerce and The Chinese Chamber of Commerce and The Indian Chamber of Commerce buat orang-orang Melayu di Semenanjung lambat lagi tampaknya akan boleh sampai mengadakan suatu Chamber of Commerce seperti itu kerana pada masa ini baru tahu had berteriak-teriak sahaja.
Tetapi bagi sementara ini sebaik-baiknya tiap-tiap orang Melayu yang ada berniaga baik membuka kedai atau berjual di pasar atau lainnya patut bermuafakat sama sendiri mengadakan suatu persekutuan supaya selalu dapat berjumpa dan bercakap-cakapkan hal perniagaan iaitu tentang-tentang bagaimana tersekatnya, bagaimana boleh memajukannya atau bagaimana pula hendak menarik lagi supaya lebih ramai orang-orang Melayu kita berniaga.
Sekarang ini orang-orang Melayu kita yang berniaga dan membuka kedai atau berniaga itu setengahnya tiada berkenal pun di antara seorang dengan yang lain meskipun bilangan mereka itu dicelah-celah perniagaan bangsa asing. Masing-masing seperti nyior ((kabung)) di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing -- pucuk yang mana senantiasa meranting dan kurus dihasap dan ditutup oleh pohon-pohon perniagaan bangsa asing yang rendang.
Orang-orang kita pada masa ini belum pun sampai 1/100 ilmunya tentang perniagaan apabila dibandingkan dengan bangsa-bangsa asing dan oleh sebab tiada persekutuannya yang boleh menolong meluaskan fikiran dan pengetahuannya di dalam dunia perniagaan, maka kebanyakan tiada akan mempunyai harapan boleh maju betul walaupun seratus tahun lagi.
Pada masa ini orang-orang Melayu kita yang berniaga itu kebanyakan tiada biasa bercampur satu dengan lain dan jika ia bercampur pun adalah kawan-kawannya daripada orang yang tiada berniaga yang tiada sedikit pun mengambil tahun di atas hal perniagaannya.
Orang-orang yang berniaga itu wajib bersekutu dan bermuafakat menolong dirinya sendiri dan jangan lagi-lagi berharap pertolongan dari orang kaya sahaja, ataupun dari kerajaan. Pada masa ini, biasa kita dengar orang-orang Melayu yang ramai kerana tiada menolong perniagaannya ataupun menyalahkan orang-orang Cina yang telah mahir dan pandai dalam ilmu perniagaan itu. Tetapi patutlah disedar bahwa sebesar-besar salah itu ada tersimpan di dalam diri anak-anak Melayu yang berniaga sendiri.
Jika mereka itu berfikir bahwa sekalian orang-orang yang lain itu seperti orang bekerja kerajaan, orang penjual kain-kain di kedai, orang ahli bertanam getah, bahkan hingga kepada drebar-drebar motokar pun ada mempunyai persekutuan masing-masing untuk muslihat pekerjaannya, maka patutlah mereka mengetahui bahwa persekutuan itu pun tidak kurang wajibnya bagi mereka itu. Mereka itu ((anak Melayu yang berniaga)) dalam masing-masing negeri atau pekan-pekan petah memungut sekalian nama-nama orang Melayu yang berkedai kain, kedai kopiah, kedai buku, kedai songkok, dan jua nama-nama anak-anak Melayu yang ada membuka tempat membaiki motokar atau berjual kayu api, atau belacan, atau ikan termasuk anak-anak Melayu yang berjual di pasar dan lain supaya dihimpunkan dan diadakan mesyuarat untuk mengadakan persekutuan.
Pada mula-mula ini belum dapat anak-anak Melayu kita hendak mengadakan masing-masing persekutuan bagi penjual ikan sahaja atau tukang kayu sahaja atau tukang jahit sahaja atau lain kerana bilangan kita masih sedikit benar dan terpelanting pula ke sana ke mari membuat berbagai-bagai jenis perniagaan tetapi sebagai suatu permulaan eloklah dahulu sekaliannya itu dihimpunkan sama sekali dengan tidak membezakan perniagaannya itu besar atau kecil.
Sekarang ini orang Melayu kita kurang terang pemandangannya melainkan amat sedikit sahaja didapatinya kesalahan atau kemunduran bangsanya. Maka disalahkannya Raja-Raja atau Datuk-Datuk ataupun kerajaan ataupun ditempelaknya anak-anak Melayu yang bekerja dengan kerajaan.
Apakah ada kena-mengena General Chiang Kai Shek di negeri Cina dengan kemajuan perniagaan orang-orang Cina kita di kampung-kampung dan di pekan-pekan di Semenanjung ini?
Apakah ada bersangkut-pautnya kemajuan orang-orang Cina di sini dengan raja-rajanya yang telah mati dahulu? Bukankah orang-orang Cina itu -- bahkan bangsa-bangsa yang lain pun -- telah bekerja sendiri membaiki dirinya dan perhimpunan serta pula menguatkan persatuannya.
Maka sekarang tertanggunglah di atas orang-orang Melayu yang berniaga dan yang belum ramai itu mengadakan dan mencari muafakat di antara sesamanya sendiri dan dengan jalan bersekutu atau berjumpa selalu dapatlah yang kaya dan yang lebih besar perniagaannya menasihatkan atau memajukan perniagaan kaumnya bahkan jua perniagaannya sendiri. Adakanlah persekutuan dan jika ahli-ahlinya daripada orang-orang yang berniaga termasuk anak-anak Melayu yang bekerja di gudang-gudang perniagaan bangsa asing selalu berjumpa dan bercakap-cakap sama sendiri di atas hal perniagaan, tentulah lambat bangkitnya semangat dan roh perniagaan Melayu itu semakin subur. Apabila orang-orang yang berniaga sekarang itu telah maju dan dapat membaiki perniagaannya dan perhimpunannya, maka barulah tertarik hati anak-anak Melayu yang lain kepada jalan berniaga pula iaitu seperti bagaimana anak-anak Melayu yang bekerja dengan kerajaan itu telah memaju dan dapat membaiki perhimpunannya.
Maka telah dapat mereka itu menarik pemandangan dan gemar hati beberapa banyak kaum bangsanya hendak bekerja bersungguh-sungguh dengan kerajaan pula. Dan pada suatu masa yang lebih jauh lagi, dapatlah anak-anak Melayu itu pula mempunyai suatu perhimpunan daripada beberapa persekutuan perniagaan ((Chambers of Commerce)) di dalam masing-masing pekan yang besar dan dengan halnya itu jua segala hal-hal perniagaan anak-anak Melayu dalam Semenanjung bahkan hingga ke Indonesia pun pada suatu masa kelak boleh berhubung-hubung dan bersatu bagi faedah umum.
Ingat! Persekutuan yang kita sebutkan itu bukannya syarikat atau company! Melainkan hanya persekutuan untuk merundingkan hal-hal perniagaan anak Melayu supaya dengannya boleh bertambah luas dan lapang langit fikiran dan pengetahuan orang-orang Melayu yang berniaga di dalam dunia perniagaan. Kesalahan anak-anak Melayu kita sekarang ialah asah sedikit hendak membukak share-share, asah sedikit hendak membukak company limited! Sekalian itu mudah sahaja menyebut atau melepaskannya dari bibir tetapi tidak akan boleh jadi dengan cukup subur dan jaya sebelum ada muafakat, persatuan dan kepercayaan, yang kuat di antara satu dengan lain atau di antara seorang dengan lain.
Jikalau orang-orang yang telah sedia berniaga atau bekerja dengan gudang-gudang perniagaan itu selalu dapat berjumpa dan bercakap-cakap dan selalu pula dapat membaca atau mendengar sahabatnya yang lebih pandai membaca suratkhabar-suratkhabar perniagaan tentang share-share tukaran wang ((exchange)), harga barang-barang dan sebagainya dan barangkali sekali-kali dapat pula mendengar syarah atau lecture daripada anak-anak Melayu yang telah biasa bekerja di bank-bank atau gudang-gudang orang putih yang besar tentang peraturan atau jalan-jalan bangsa asing itu berniaga, maka kita percaya yang demikian itu akan membukakan otak dan kegemaran mereka tentang hendak memajukan lagi perniagaannya, dan yang demikian itu kita fikir ada seratus kali besar faedahnya, daripada membaca cakap-cakap angin atau mendengar serkap-serkap jarang seperti yang dituliskan oleh setengah penulis ((yang kebanyakannya bukannya orang yang berniaga dan oleh sebab itu tiada tahu sedikit pun ilmu berniaga secara moden Barat)) kepada suratkhabar-suratkhabar Melayu sekarang ini.
Sekarang ini tabik-tabiknya orang-orang kita Melayu yang membuka kedai-kedai kecil atau payah dapat seorang dalam sepuluh yang mengetahui betul-betul makna tukaran wang atau bagaimana hendak mengetahui harga share atau harga barang-barang di pasar perniagaan ((bukan pasar ikan!)) dengan menggunakan talipon atau taligeram.
Jarang mereka itu yang tahu bagaimana perhubungan bank dengan perniagaan, bahkan setengahnya tidak tahu pun apakah atau bagaimanakah bank-bank itu menjalankan pekerjaannya.
Jikalau mahu tahu sekalian itu, jika tidak tahu sampai bila pun tidakkan maju perniagaan Melayu!
Hendaklah orang-orang Melayu yang berniaga itu sekali bersekutu bermuafakat dan selalu berjumpa dengan orang-orang yang pandai dan bijak dalam kalangan perniagaan. Jangan orang membuka kedai, kita pun membuka kedai, orang membuka kantor ((office)) kita pun membuka kantor, dan orang menebarkan jala kita pun menebarkan jala. Padahal, orang dapat ikan kita dapat sampah yang bercampur dengan sedikit anak-anak ikan yang bodoh-bodoh!!!
Kemudian bila tidak dapat ikan di dalam lubuk-lubuk perniagaan itu, maka terjerit-jerit ahli-ahli penepok yang di atas tebing lubuk itu berteriak mengatakan Raja-Raja salah, Datuk-Datuk salah, atau orang-orang yang bekerja dengan kerajaan salah!
Tetapi cuba jikalau orang Melayu yang menjala ikan di dalam lubuk itu dilihatnya banyak dapat ikan-ikan tentu orang-orang yang berpeluk tubuh mengalang di atas tebing itu dengan diam-diam pulang mengambil atau mencari jala datang balik terjun sama-sama ke dalam lubuk itu!
top |