Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 27 Jun 1931, p.1-2

Leader Article.

Sungutan Orang Cina Lagi Berbagai-bagai Rampaian Bagi Telinga Anak-anak Melayu.

Tidak berapa lama lepas dibuka sekolah tanam-tanaman di Sedang dahulu, seorang penulis Cina telah menulis di dalam akhbar Malay Mail menyindir-sindir kerajaan tentang kelembapannya memperkenankan peraturan memberi tanah-tanah sawah kepada orang-orang yang berkapital besar supaya memajukan pendapatan hasil beras dan padi di Tanah Melayu ini.

Disebutnya jua lagi hal bermillion-million ringgit duit negeri ini keluar kerana memberi beras untuk makanan bangsa-bangsa asing di tanah Semenanjung. Tampkanya Tuan Pengarang akhbar Malay Mail pun ada cenderung kepada membenarkan peraturan itu buat memajukan perkara ekonomi negeri Semenanjung ini.

Sekarang cubalah anak-anak Melayu pecahkan pula fikiran bagaimana jalan-jalannya dan sebab-sebabnya yang kuat yang boleh menolakkan tanah-tanah sawah-sawah itu daripada terlepas ke tangan bangsa asing.

Perkara ekonomi mesti dimajukan dan hak anak negeri wajib pula dijaga. Bagaimanakah hendak menyelesaikan ponteng yang bersimpul itu supaya jangan putus salah satu lembaran.

Kita tidak boleh berkata semata-mata "tidak bersetuju sahaja" dengan tidak memberi sebab-sebab yang kuat dan boleh diketengahkan. Hendaknya orang-orang Melayu membuka sekalian tanah-tanah sawah yang lagi kosong itu tiada pula terdaya, bahkan tanah yang telah memang diuntukkan bagi mereka itu pun tiada terkerjakan olehnya!

Biar sama-sama kita mencari ikhtiar supaya ada jalan yang kuat bagi kita menolakkan tuntutan-tuntutan bangsa asing yang semakin kuat dan mendesak itu.

Seorang penulis Cina yang menyain dirinya "Malayan Chinese" baru ini telah menulis pula lagi di dalam akhbar Malay Mail dan Straits Times. Ia telah menyebut-nyebut hal orang-orang Cina yang telah menjadikan negeri ini seperti negerinya sendiri dengan membuka dan memajukannya dengan wang dan kekayaan dan usahanya sendiri.

Sekarang ini katanya telah ada pula saudara yang mengatakan negeri ini negeri Melayu dan orang-orang Melayu patut dapat kerja-kerja kerajaan dengan mengeluarkan atau mengasingkan bangsa-bangsa lain, bangsa-bangsa yang mana yang telah menjadikan kerja-kerja itu ada dan perlu adanya dalam negeri ini.

Katanya lagi, oleh sebab permintaan Raja di Hilir iaitu seorang Melayu yang kasihkan watan, kerja-kerja di dalam pejabat-pejabat keretapi itu akan dikhaskan bagi Melayu.

Kami tahu kata penulis itu bahwa Towkay Loke Yew dan seorang tauke yang lainlah yang mula-mula meminjamkan duit buat memulakan dan mengadakan keretapi dalam negeri ini.

Inikah dia ((katanya)) balasan yang patut didapati oleh Towkay Loke Yew dan lain-lain Cina yang telah memajukan Tanah Melayu daripada kerajaan sekarang?

Pada masa dahulu, kerja-kerja itu didapati oleh sesiapa yang lebih pandai membuatnya dengan tidak mengendahkan bangsanya.

Tampaknya sekarang sudah lain pula, sekarang ini anak-anak Cina yang telah memajukan dan membuka Tanah Melayu ini diberitahu supaya memikirkan dirinya orang dagang dan supaya balik ke negeri Cina jikalau tidak puashati dengan hal keadaannya di negeri ini.

Alangkah suntuk dan telah membalas terima kasih peraturan itu?

Katanya lagi, peraturan itu memecahkan kepercayaan orang-orang Cina siapa pada masa dahulu telah diminta dan diumpan datang ke mari buat membuka negeri ini serta memikirkan negeri ini seperti rumahnya yang layak bagi anak-anak cucunya. Jikalau peraturan seperti ini dijalankan semasa Semenanjung belum lagi maju, iaitu masa Semenanjung masih lagi dahulu menanti akan dibuka oleh orang-orang Cina, pada fikiran penulis negeri ini tidaklah akan maju dan terbuka seperti sekarang ini.

Tuan Pengarang Malay Mail di bawah surat penulis itu telah berkata:

Sangat berfaedah jika diketahui:

1. Berapa banyak Melayu yang menerima gaji $30 sebulan atau lebih dalam jawatan-jawatan kerajaan.

2. Berapa banyak Cina yang dapat gaji seperti itu jua dalam jawatan-jawatan kerajaan.

Apabila dapat perbandingannnya, bolehlah menunjukkannya barangkali yang orang-orang Cina itu ada dihargai dalam negeri ini.

Sepanjang yang kita tahu, tidak pernah disyorkan yang pejabat-pejabat keretapi itu akan dikhaskan bagi Melayu sahaja. Apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang ialah melebihkan timbangan kepada anak-anak orang yang diperanakkan di sini dengan telah membezakan bangsa apabila memenuhi jawatan-jawatan yang di bawah itu.

Perkataan Tuan Pengarang Malay Mail di atas itu telah dijawab oleh Yang Mulia Tuan Under-Secretary bagi Kerajaan Empat Buah Negeri, katanya lebih kurang ialah ya ia telah diperintahkan menyatakan bahwa peraturan dan tujuan kerajaan dari semenjak 30 tahun yang lalu ialah dalam pekerjaan kerajaan, anak-anak Melayu dihematkan lebih dahulu. Peraturan ini tidak berubah pada masa sekarang ini. Lain daripada itu, anak-anak bangsa asing yang menjadi rakyat Raja-Raja Melayu dalam salah satu negeri Melayu Semenanjung ini akan diberi peluang sama.

Sekarang tampak oleh kita berapa keratkah anak-anak bangsa asing ini yang mengaku menjadi rakyat Raja-Raja Melayu, mereka itu mengaku rakyat British kononnya, supaya dapat sama hak seperti orang-orang Inggeris jati buat merempuh dan melanda hak-hak anak-anak Melayu itu! ((Pengarang))

Jikalau kita tidak khilaf, penulis itu ada menyebutkan dihalaman akhbar Straits Times yang ia menulis dari Pulau Pinang ((Ia! Di Pulau Pinang yang keras sekali pengaruhnya orang-orang Cina Peranakan itu! Pengarang))

Dan seorang penulis Melayu dari Pulau Pinang telah menjawab pula dalam Straits Times menyain dirinya "Malayan Cobra" yakni "Ular Senduk Tanah Melayu", mengatakan berbagai-bagai hal buat menolak tuntutan penulis "Malayan Chinese" itu.

Katanya, lebih kurang: orang-orang Cina yang sangat disombongkan oleh "Malayan Chinese" itu mula-mulanya datang ke sini dengan miskin dan papa dan telah mendapat harta dan kekayaan di sini -- bukannya mereka itu ada membawa bermillion-million ringgit dari negeri Cina dicurahkannya di sini.

Jikalau disebut khas orang-orang Cina yang dahulu kepada negeri yang telah memberi mereka itu kekayaan, betapa pula katanya tentang jasa-jasa Raja-Raja Melayu yang memang terkenal dan dihargai itu?

Penyudah katanya, ia telah memberi sedikit soal yang senang kepada "Malayan Chinese", katanya, "Jikalau ia diperanakkan dalam rumah Bai, adakah ia boleh mempunyai hak boleh tinggal kekal dalam rumah Bai?"

Sekianlah kita salinkan bagi pengetahuan pembaca-pembaca yang membaca akhbar-akhbar Inggeris supaya difikirkan dengan halus hal-hal yang sedang menyeluputi langit alam Melayu.

Kita bersetuju sekali dengan fikiran Tuan Pengarang Warta Malaya iaitu anak-anak Melayu dalam percubaannya hendak maju dan mara dalam negerinya patutlah menjauhkan daripada peraturan yang membangkitkan perasaan benci ((ia! Benarlah perkataan Warta Malaya itu!)) tetapi janganlah sampai menyangkakan segala perkataan yang telah tertulis di dalam Saudara ini menyeru kepada permusuhan dengan segala bangsa-bangsa Cina dan India, kerana yang demikian itu tidak terlintas sekali-kali di hati kita oleh percaya kita akan tidak eloknya dan tidak munasabah dengan kemajuan yang dituntut, adapun kuat suara yang telah disiarkan itu ialah menurut munasabah dengan kelainan tidur kaum kita beberapa lama sudah, sehingga tidak sedarkan diri rumah tangga miliknya akan habis dipupus oleh orang, kita takut jikalau tidak sedar juga lagi kaum kita dengan sekuat-kuat suara yang telah sudah itu jangan terpaksa kita menggunakan meriam besar seumpama meriam Jerman yang disediakannya di dalam masa peperangan dunia yang lalu, kerana hendak menembak menyerang Selat Dover, dengan sebab itu pada masa ini kita tengah membuat position untuk meletakkan meriam itu, kerana akan digunakandia jikalau datang kelak masa berhajat menggunakan dia bagi kebajikan perhimpunan kaum kita! ((Pengarang))

Sekalian tuntutan atau pertahanan bangsa kita mahulah berasaskan sebab-sebab dan fikiran-fikiran yang sempurna dan kuat dan mahulah dijalankan dengan sehabis-habis halus dan tertib.

Kita fikiran tidak berapa faedah kita padakan dengan cakap-cakap kosong yang membangkitkan panas hati melainkan wajib tiap-tiap anak Melayu mengutamakan tentang perkara ekonominya dahulu, rajin dan usaha, jimat dan cermat, sedar dan senantiasa celik!

Itulah yang akan menjadi tangga buat kita boleh naik bukannya sahaja bagi kemajuan kita sendiri tetapi jua bagi memadamkan bunyi-bunyi mulut bocor yang telah terbit dari orang yang banyak emas ((harta)).

Kata perbilangan ((pepatah)) orang Negeri Sembilan, "Mulut Bocor, Emas Banyak", orang bangsa itu oleh sebab rajin dan usaha dalam segala pekerjaan serta jimat dan cermat pula menjaga wang dan hartanya dalam masa empat puluh tahun yang lalu, maka sekarang telah mulalah mereka mendengarkan suaranya walau sekalipun pada lantang yang bukan-bukan patutnya.

Tidak berguna rasanya jika kita sebutkan berbalik-balik tentang tabiat Melayu kita yang boros dan suka membuang-buang wang disertai pula dengan malas dan kurang tekunnya membuat sebarang pekerjaan.

Sekarang ini perasaan sedar itu telah ada tampkanya bertaburan di hati anak-anak Melayu merata-rata Semenanjung ini dan diharapkan mereka itu tidak membuang masa lagi melainkan mahulan menjalankan segala kewajipannya, kewajipan yang dikatakan di sini ialah kewajipan yang besar dan bererti dan bukannya:

1. Bangsa-bangsa asing berniaga dengan kiraan dan peraturan yang luas dan tinggi. Bangsa kita leka lagi menjual nasi lemak sahaja ataupun tebu atau lemang seruas sahaja.

2. Bangsa asing memajukan ugamanya dengan membawakan beberapa pemandangan dan perbandingan dari tarikh, ilmu sains, falsafah dan lain dengan jalan yang sekira-kira tampak terang dan bersetuju dengan orang yang berfikiran dan mengetahui pula ia ilmu mengajar dan ilmu menjadi guru. Tetapi bangsa kita leka jua lagi dengan bertekak-tekak fasal talqin, niat, fasal membasuh kaki dicelah kuku, dan lain-lainnya dengan tidak pula boleh menggunakan akal dan fikiran yang siuman dan tidak pula tahu sekali-kali aturan mengajarkannya.

3. Bangsa lain memajukan sedekah dan khairatnya dengan menyertai sama sekali pengetahuan dan ilmunya dalam perkara ekonomi dunia dan tiap-tiap sedekah atau khairatnya itu ada bererti bertujuan besar bagi perhimpunan bangsanya. Tetapi bangsa kita cuma membaca-baca zakat, fitrah, sedekah dan lain-lain dengan tidak menyertai bersamanya pengetahuan tentang kegunaan wang perhubungan perniagaan dunia dan keperluan membaiki ekonomi bagi bangsa dan negeri dan leka pula lagi dengan bersedekah satu dua sen atau segantang beras atau sekali minyak gas untuk sebuah surau yang seperti pondok menunggui durian.

4. Orang-orang bangsa asing pandai dalam ilmu alam ((geography)) dan mengetahui akan hasil mahsul tiap-tiap negeri serta tabiat perangai tiap-tiap bangsa di dalam dunia sekarang, tetapi orang-orang kita ((tabik-tabik kecuali yang tua-tuanya)) buta sekali tentang ilmu alam negerinya dan kampungannya sendiri, betapa pula tentang hal dunia yang lain.

Jikalau mereka itu masih berat akan syurga dan neraka, yang ada di dalam dunia ini, kita hairan bagaimanakah mereka itu boleh kenal dan tampak bagaimana rupanya syurga dan neraka di dalam negeri akhirat yang lebih luas dan lebih tinggi daripada dunia ini, melainkan semata-mata kebanyakan mereka itu berpegang kepada "wajib percaya", sahaja, bolehkah terupa pada akal yang seorang itu boleh mendapat makan di dalam dunia ini jikalau semata-mata ia berpegang kepada perkataan "wajib percaya ada beras" jikalau tidak tahu mereka itu mecarinya atau menanamnya atau menjualnya?

Yang sebenarnya orang-orang kita ini belum ada mempunyai kehalusan fikiran ((culture)). Akalnya dan pengetahuannya yang masih rendah itu hanya baru selorong-lorongnya. Dalilnya yang terang itu boleh didapati daripada bekas-bekas perbuatan mereka apabila dibandingkan dengan bekas-bekas perbuatan bangsa asing.

1. Bangsa asing sudah tahu dan sudah pintar otaknya membuat jalan-jalan raya dan keretapi dari satu benua ke satu benua. Tetapi orang-orang kita baru tahu membuat jalan denai dengan tapak kakinya dicelah-celah lalang dan rumput dari sebuah rumah ke sebuah rumah sahaja.

2. Orang-orang bangsa asing telah boleh berniaga membawa barang-barang perniagaan dari suatu negeri ke suatu negeri dan dari suatu benua kepada suatu benua. Tetapi orang-orang kita hendak menjual pisang dari sebalik dapurnya ke kedai yang dihadapan tangga rumahnya pun belum tahu!

3. Orang-orang bangsa asing telah biasa memajukan ugamanya dengan berperaturan pada segala ceruk dunia dari pun bangsa-bangsa yang liar hingga kepada bangsa-bangsa yang tinggi tamadunnya, tetapi bangsa kita leka jua lagi terpusing-pusing di sudut suraunya yang seperti reban kambing.

Nasihat kita kepada orang-orang kita sekalian tidak lain melainkan mahulah rajin menuntut bahasa asing terutama Arab dan Inggeris dan ditambahi pula ilmu pengetahuan itu dengan berjalan-jalan ke negeri-negeri atau benua lain melihat hal-hal orang. Jangan cuma tahu pergi ke Mekah sahaja seperti sekawan kambing yang dikirim dalam sebuah gerabak keretapi.

Jikalau fikiran sudah luas, pemandangan sudah jauh dan tinggi, maka pada masa itu tidaklah lagi bertekak-tekak seperti budak-budak kecil.

Maha Suci Agama Islam! Maha Tinggi agama yang telah diturunkan oleh Tuhan kepada Rasulnya Nabi Muhammad s.a.w. Agama itulah yang boleh menyelamatkan sekalian orang yang memeluk akan dia dalam dunia dan akhirat.

Tetapi jikalau sekarang ini agama yang diajarkan di kampung-kampung ini tidak boleh melepaskan Melayu daripada neraka yang akan diterima daripada tangan Keling dan Cina di dunia ini, bagaimanalah orang-orang yang mengaku mengajar dan mengembangkan agama di kampung-kampung itu telah boleh memikirkan dirinya telah cukup bijak dan pandai?

Jikalau agama-agama yang diajarkan kepada Melayu selamat 500 tahun lebih yang lalu tiada boleh mengurangkan tabiat boros dan suka bermain judi dan tiada pula boleh meluaskan hati dan fikiran sekira-kira sedari akan dirinya, negerinya dan bangsanya, betapakah boleh orang-orang kita yang mengaku alim itu menjadi berpuas-hati dengan pengetahuannya yang tidak memberi bekas itu?

Alhamdulillah, sekarang ini kebanyakan kita telah mulai sedar, hanya had sedar sahaja tetapi belum bergerak melainkan cuma agaknya baru bergarit.

Segala puji bagi Tuhan yang telah menyedarkan hambanya daripada tidur lena yang beratus-ratus dan beribu-ribu tahun ini!

Kiriman.