Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Mar 1931, p.1

Leader Article.

Bahaya Kuning di Tanah Melayu. Berbagai Pendapatan Ahli Fikiran Yang Mesti Diingat Oleh Melayu.

Dalam Makalah Pengarang akhbar Straits Times yang sangat kita hargai itu bertarikh 9 March ini ada mensiarkan suatu fikiran yang berkepala "Tanah Melayu dalam masa yang akan datang", katanya Mr. Arnold D.J. Toynbee, siapa dia seorang ahli tarikh dan menjadi Professor dalam tarikh bangsa-bangsa di Universiti London dalam sebuah kitab yang baru dikarangkannya bernama "Perjalanan ke negeri Cina atau hal-hal yang tampak itu" ada berkata demikian, "Adakah benua Asia yang baru diperanakkan semula itu akan memberikan orang-orang British duduk berkepanjangan di Singapura?".

Dan lagi, katanya, "Patutlah diingat bagi faedah British Empire bahwa tampaknya tidak jauh lagi masanya orang Cina itu boleh menjadikan Semenanjung Tanah Melayu itu jajahannya yang kesembilan belas". Fikiran seperti itu bukannya fikiran baru kata Straits Times, Mr. D.C. Somerville dalam katanya yang bernama, "British Empire" ((dicapkan dalam tahun yang lalu)) ada menunjukkan pemandangannya di atas untung nasibnya Tanah Melayu yang lebih kurang seperti itu sungguh pun pemandangannya itu tampaknya lebih jauh masanya lagi daripada pemandangan Mr. Toynbee katanya, "sebenarnya negeri itu bukan dikalahkan dengan peperangan tetapi negeri itu di bawah naungan British iaitu maknanya orang-orang Tanah Melayu itu dinaungi daripada orang-orang Cina sungguh pun demikian kita tidak boleh membuat apa-apa yang boleh mengubahkan anak-anak Melayu itu daripada perlahan-lahan kalah dan undur, dan orang-orang Cina itu semakin bertambah-tambah jaya dalam segala jenis rupa perusahaan orang-orang Tanah Melayu itu tiada suka bekerja pada hal orang-orang orang-orang Cina itu tidak pernah letih tampaknya orang-orang Cina itu sekarang 2,000,000 bilangannya dan telah lebih daripada Melayu dan orang-orang yang bukan anak Eropah di Singapura dan di pelabuhan-pelabuhan yang lain hampir-hampir semuanya orang Cina dan Indian.

Barangkali orang-orang Melayu itu sudah genap hari dan cukup bilangannya ((sampai-sampai ajalnya)) tetapi ajalnya itu bukannya datang daripada kita tetapi ialah daripada musuhnya bangsa Timur yang lebih kuat dan rajin, sebanyak yang telah kita perbuat, kita telah membaikkan kehidupan mereka itu.

Major Elliot ((Member of Parliament)) telah menulis pula kepada akhbar Times dalam tahun 1929 demikian; pada masa ini orang-orang Cina dan British sedang membuka dan memajukan negeri ini bersama-sama kerana ... orang-orang Cina yang datang ke Tanah Melayu itu bukannya semata-mata daripada kaum kuli. Mereka itu daripada yang tingginya hingga kepada bangsa yang rendah, daripada orang-orang yang bijak, ahli science dan lain ... ada belaka datang ke Tanah Melayu.

Tuan Pengarang Straits Times tampaknya tidak bersetuju dengan fikiran-fikiran seperti yang di atas kerana katanya: berapa banyak air akan mengalir dahulu pada merata-rata anak sungai Kelang yang lambat itu sebelum dunia ini melihat seorang Wizurai ((Viceroy)) Cina diletakkan di Kuala Lumpur atau sebelum negeri-negeri yang sekarang ini dipanggil British Malaya membayar Bunga Mas tiap-tiap tahun kepada kerajaan yang berkedudukan di Nanking. Atau Peking?

Tuan itu tidak percaya yang langkah dan mutu bangsa Melayu telah sampai kerana katanya kerajaan British dalam negeri-negeri Melayu itu sekarang ada mencuba dengan seberapa daya buat menetapkan yang mereka itu ((Melayu)) tidak akan putus atau jatuh tertiarap dengan tiada melawan. Katanya lagi penulis itu, menjalankan siasat-siasatnya di pekan-pekan yang besar sahaja di mana orang-orang Melayu itu tidak tampak dengan sebaik-baiknya.

Kemudian katanya lagi, katalah barangkali orang-orang Melayu itu akan alah dan pupus sungguh pun kita harap dan yakin yang mereka itu tidak akan jadi demikian, katalah bahagian British dalam perkara memajukan negeri itu akan semakin susut sehingga orang-orang Cina itu alah dalam serba serbi ((jikalau jadi demikian memanglah salah kita sendiri)) dan katalah peraturan politik yang telah memuaskan hati kita itu jahanam oleh orang-orang yang sibuk hendak mengubah perbantahan dengan peraturan suara ramai iaitu peraturan yang mana tidak layak dan tidak menghendaki oleh orang-orang ramai. Tetapi British Malaya tidak sekali-kali akan jadi jajahan Cina yang kesembilan belas kerana jikalau sungguh Cina-Cina Peranakan Selat dan anak-anak cucunya pandai benar, hingga maju seperti yang diagakkan oleh Mr. Toynbee, maka mereka itulah yang akhir sekali suka akan negeri ini diperintah dari Nanking."

Seketika kita dengar berbagai-bagai fikiran yang mewajibkan pula anak-anak Melayu itu memeriksa dan membetulkan serta mengemukakan kedudukannya dalam Semenanjung ini. Bahaya yang besar yang akan menimpa anak cucu kita itu memang besar gunanya dijadikan Tuhan buat mengejutkan kita daripada lena dan lalai kita buat membetulkan dan mengemaskan diri bangsa kita. Pada fikiran kita eloklah orang-orang Melayu memperbuat seperti di bawah ini:

1. Orang-orang Melayu sekalian baik daripada keturunan Jawa, Sumatera, Bugis, Banjar ataupun keturunan tanah Semenanjung jati, wajiblah bersatu. Kita percaya bahwa maka ada sesuatu perhimpunan atau committee Melayu daripada orang yang bebas ((tidak bekerja dengan kerajaan)) memanggil mesyuarat sekalian orang-orang Melayu Semenanjung Tanah Melayu lebih kurang seperti yang telah diadakan di Kuala Lumpur sedikit tahun dahulu tidak syak lagi tentulah beribu-ribu Melayu yang akan datang dan menyatakan dengan sebulat suara memprotest segala tujuan-tujuan dan tuntutan-tuntutan orang-orang Asiatik yang bukan Melayu iaitu seperti permintaannya hendak masuk ke dalam Malayan Civil Service, hendak mengubah peraturan Majlis Mesyuarat Negeri, hendak menuntut hak sama seperti anak-anak Melayu dan lainnya. Asalkan disiarkan sahaja di mana akan diadakan Mesyuarat dan apa-apa yang akan dimesyuaratkan dalam suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah Melayu, kita percaya orang-orang kita Melayu dari segenap Semenanjung ((dari Kelantan, dari Johor, Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan lain-lain)) akan datang dengan sukahatinya dan dengan belanjanya sendiri.

Siapakah orang-orang Melayu kita yang akan menjadi lidah dalam pergerakan seperti ini? apa kata wakil-wakil Melayu kita di dalam Majlis Mesyuarat Negeri?

2. Terutama sekali dalam perhimpunan yang besar dan ramai seperti itu mestilah lebih dahulu dengan sebulat suara menetapkan dan menguatkan kebenaran yang telah memang masyhur iaitu sekalian anak-anak Melayu itu sedia dan senantiasa taat kepada Raja-Raja Melayu, kepada kerajaan Inggeris dan kepada Yang Maha Mulia Baginda King Emperor.

Kemudian baru dijalankan maksud-maksud yang mempertahankan hak-hak anak-anak Melayu daripada orang Cina.

3. Sekalian orang-orang alim dan guru-guru ugama Melayu pada serata Semenanjung ((walau sekalipun mereka tiada bersetuju di antara satu dengan lain tentang masalah ugamanya, patut menasihatkan dengan kuat akan segala orang-orang yang di kelilingnya supaya lebih rajin berusaha, berkedai, mencari harta, dan menuntut ilmu baik dunia atau akhirat kerana cakap-cakap mereka itu memang terpakai dan dimuliakan orang di dalam tampaknya.

4. Orang-orang Melayu dalam masing-masing jajahan ((sekurang-kurangnya)) patutlah mengadakan suatu persekutuan yang kuat yang berusaha dalam serba cawangan kemajuan baik pada tentang syarah atau suratkhabar atau permainan-permainan yang menyihatkan tubuh dan menyegarkan anggota.

5. Sekalian Orang Melayu patutlah kuat menuntut pelajaran baik Inggeris atau Arab atau lain-lain seperti enjin-enjin atau pertukangan dan sekalian Orang Melayu patutlah mencuba dengan seberapa daya menyelesaikan hutang-hutangnya kepada Cina dan Chetty dan jangan berhutang-hutang lagi kepada mereka itu.

6. Orang-orang Melayu berpenatlah meminta lagi tempat-tempat kedudukan Melayu yang berhampiran dengan pekan seperti "Malay Settlement" supaya bilangan Melayu di dalam pekan?

Itu tidak semakin kurang dan undur ke hutan rimba dan ke bukit bukau.

7. Orang-orang Melayu wajiblah meminta supaya jawatan-jawatan kerajaan itu dilebihkan timbangannya kepada Melayu.

8. Orang-orang Melayu patut menggemarkan dan menasihatkan anak-anaknya yang tahu bahasa Inggeris supaya masuk bekerja di gudang-gudang, di bank-bank, perniagaan supaya lebih lekas tahu akan ilmu-ilmu perniagaan secara zaman ini.

Lain daripada itu patutlah orang-orang Melayu itu bersekutu membuat factory-factory getahnya sendiri seperti aturan yang diperbuat oleh pejabat syarikat bekerja-kerjasama, di Ulu Gombak, dan di Dusun Tua, sekarang iaitu dengan berusaha sendiri mengeluarkan getah-getah yang cantik serta dijual terus ke gudang-gudang orang Putih. Kita percaya pejabat syarikat bekerja-kerjasama akan sedia membantu dan mengajarnya sekiranya orang-orang Melayu itu betul-betul berkehendak akan dia.

9. Orang-orang Melayu patut meminta kerajaan Inggeris bermesyuarat dan bermuafakat dengan kerajaan Belanda tentang menarik lagi orang-orang Melayu dan Jawa dari tanah Belanda datang berkampung halaman dan bersawah padi di sini supaya dengan jalan itu lekas ramai bumiputera Tanah Melayu.

10. Orang-orang Melayu patut jangan senantiasa berharap menanti nasib, nasib turun sendiri dari langit kerana peraturan yang demikian itu telah menjadikan semakin kuat dan gagah pengaruh orang Cina dan Keling di Tanah Melayu. Wajiblah kita tahu berusaha dan berdiri di atas kaki kita sendiri dengan tidak membiarkan diri kita hanyut seperti pelampung yang tiada bernyawa.

11. Jangan kita tunjukkan kebencian kita kepada orang-orang Cina kerana kekayaan dan kelebihan mereka itu bukannya salah mereka melainkan oleh sebab rajin dan usahanya dan kelalaian kita sendiri.

12. Sekalian suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah Melayu yang dikeluarkan dengan Bahasa Melayu pada tiap-tiap kali keluarnya baik dihantar kepada pengarang-pengarang akhbar-akhbar Inggeris yang terbilang seperti Straits Times atau Malay Mail. Orang-orang Putih mengembalakan suratkhabar-suratkhabarnya itu tentu tahu cakap Melayu dan tentu ingin hendak tahu akan isi suratkhabar-suratkhabar Melayu.

Jikalau mereka tiada boleh membaca Jawi tentu mereka boleh dapat mencari orang-orang Melayu membacakan kepadanya supaya didengarnya ataupun dicarikannya orang-orang menerjemahkannya. Dengan jalan ini suratkhabar-suratkhabar Melayu itu akan dipandang lebih tinggi.

Lain daripada dua belas perkara yang di atas, tentu ada beberapa perkara lagi yang tidak terlindung pada pemandangan Tuan-Tuan Pembaca kita yang bijaksana. Kemajuan kita mestilah berjalan dengan baik dan sempurna iaitu dengan berpedomankan taat kepada kerajaan dan menjauhkan daripada terbit pergaduhan yang tiada berfaedah di antara bangsa kita dan bangsa Cina atau Indian.

Kemajuan itu boleh didapati lebih baik dan banyak dengan jalan yang sentosa dan aman.