![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 25 Jan 1932, p.6
Editorial.
Perasaan Anak Negeri dan Bangsa Asing Atas Perubahan Baru.
Ketetapan akan mendatangkan perubahan baru bagi idarah ((policy)) pemerintahan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu rupanya telah menjadi buah mulut percakapan orang anak negeri dan bangsa asing sama. Tetapi bukanlah daripada perkara yang boleh dimasukkan ke dalam menungan sama sekali. Kerana yang demikian itu hanyalah suatu perasaan yang berbangkit di luar tabir sahaja, dan tentulah tidak akan bererti. Meski begitu, pada fikiran kita, perasaan yang seumpama itu patutlah dari suatu perkara yang harus diketahui terutama sekali oleh pihak yang berkuasa.
Dari perhubungan kita yang sedikit itu dapatlah kita perlahan-lahan meninjau perasaan mereka ((anak negeri dan bangsa asing)) di dalam masa yang tersambil-sambil. Mereka sebenar-benarnya berkepercayaan bahwa dengan memperbaharui idarah Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu izin Tuan Yang Terutama High Commissioner akan mengembalikan kuasa memerintah Negeri Persekutuan itu kepada masing-masing Majlis Negerinya ((State Council)) yang bermakna akan memulangkan juga kuasa Raja-Raja yang telah lucut beredar ke Federal Council dan Chief Secretary itu.
Atas ini anak-anak bangsa asing tampaknya tersangat khuatir. Kerana apabila Raja-Raja Melayu itu kembali berkuasa, mereka berkepercayaan kelak tentulah anak negeri itu akan memperoleh lebih pandangan dan timbangan daripada mereka dan tentu sahaja kemanjaan mereka akan tercabut atau setidak-tidaknya akan berkurangan daripada biasa; boleh jadi lama-kelamaan mereka tidak akan menjadi tulang belakang dan tulang dada Semenanjung lagi.
Dengan perasaan bangsa asing di atas kita akan bersegera menyangka bahwa anak negeri itu pada masa ini tersangat riang, tetapi sebaliknya, mereka adalah terlebih khuatir daripada anak-anak bangsa asing itu. Mereka khuatir kalau-kalau ura-ura hendak memulangkan kuasa Raja-Raja itu hanya akan berkekalan di atas kertas sahaja.
Pendapatan anak negeri ialah bahwa menghapuskan jawatan Pejabat Chief Secretary itu tidak akan bermakna sekiranya kuasanya hanya akan berpindah tangan dan berpindah tempat sahaja. Iaitu dari Chief Secretary ke tangan High Commissioner dan dari Kuala Lumpur ke Singapura. Iaitu selagi tidak dipulangkan kepada tuannya sekira-kira boleh menepati akan maksudnya yang mengandungi makna perubahan baru dengan memulangkan kuasa Raja-Raja Melayu itu.
Di dalam khutbahnya di dalam Federal Council pada 16 November yang lalu, Tuan Yang Terutama High Commissioner telah bermadah.
Adapun perubahan yang dihajatkan itu ialah kerana hendak membesarkan pakatan itu dengan memasukkan negeri-negeri Melayu yang lain yang suka hendak mencampurinya.
Bilakah negeri-negeri Melayu yang lain itu suka mencampuri pakatann itu dengan keredhaan sendiri belumlah dinantikan jawapan; kemudian daripada tahun 1933, iaitu kira-kira masa yang telah dicadangkan oleh Tuan High Commissioner yang State-State Council baru itu mulai akan memikul bebanan yang baru itu.
Tetapi, kita berani berkata terlebih dahulu bahwa jika dengan berkeredhaan atau suka-suka hati kelak, tidaklah diharap akan kedapatan, negeri-negeri Melayu yang lain itu suka selagi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ini terpandang sebagai sebuah syurga bagi bangsa asing. Sebaliknya kita percaya Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ini jika boleh memilih, tentulah pihak anak negerinya lebih suka sekiranya negeri mereka boleh berdiri dan berkeadaan sebagaimana Negeri-Negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu itu.
Sekiranya niat hendak membesarkan pakatan negeri-negeri Melayu itu, tidak akan harap dengan jalan menanti negeri-negeri yang tidak bersekutu itu sendirinya masuk, undurkanlah Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu balik ke dalam barisan yang tidak bersekutu itu.
Kita sedang bermimpi apakala satu-satu negeri itu telah sama pada fikiran kita dengan mudahnya bolehlah diceraikan daripada pemerintahan Selat. Apakala telah tercerai rombaklah Federal Council itu dan bangunkan sebuah Council yang lebih luas dan tinggi dengan seorang High Commissioner sendiri dan terasing dari Governor Selat sama sekali iaitu High Commissioner yang bersendirian dan tidak perantaraan lagi dengan Menteri Jajahan Takluk Inggeris yang di England, supaya jangan tertarik-tarik dan terbawa-bawa idarah ((policy)) Colony itu ke dalam negeri-negeri Melayu yang bukan jajahan Inggeris. Pada masa itu, bolehlah bersendirian menjalankan perintah di dalam negeri-negeri Melayu dan tidak akan singgung menyinggung dengan perintahan Selat, kecuali beberapa buah pejabat sahaja yang mesti disatukan seperti Pejabat Kastam dan Post.
top |