Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Sep 1932, p.7

General Article.

Semenanjung dan Kebangsaannya.

Oleh Abhi.

Sampai ke mana kemajuan kebangsaan umat-umat Melayu pada masa ini?

Pembaca-pembaca yang dihormati dijemput apalah supaya mengambil fikiran tentang pertanyaan yang termaklum ini pengaruhnya anak-anak dagang di Semenanjung ini semakin berumbi berakar dari semasa ke semasa.

Kaum kita dipengaruhi oleh penguasa-penguasa kaum kita yang tua yang tidak pun mengerti sedikit pun percaturan politik dunia.

Dari sehari ke sehari kita selalu terdengar perkataan diharapkan orang yang kemudian daripada kita boleh maju. Tetapi biasanya orang-orang di belakang kita itu mengikut langkah kita. Sekarang inilah saat kebangsaan kita melangkah bersama-sama menuju kepada satu tujuan, iaitu ke umat Melayu terlepas dari tindihan bangsa asing atau lebih jelas kita berkata menuju ke arah Semenanjung Tanah Melayu untuk Orang-orang Melayu.

Yang dihormati Pengarang Majlis ini pernah berkata-kata meminta adakan Conference itu ini, terutama bagi bersebulat suara menuju kepada keselamatan hak kebangsaan kita hendak disembahkan ke bawah hadrat Brigadier General Sir Samuel Wilson supaya dapat menafikan tuntutan bangsa-bangsa Timur Asing itu hendak menjadikan yang Semenanjung Tanah Melayu ini untuk Malayan yang mana suara itu telah disokongi oleh teman-temannya saudara bahtera dan lain-lainnya.

Tetapi sebagai satu perkataan yang tak berjiwa kerana apa?

Ialah oleh ketiadaan persatuan kebangsaan dan kemiskinan yang amat sangat menimpa nasib kebangsaan Melayu.

Sampainya perjalanan kita hanya baru mulai sedar daripada ketiduran yang sehabis-habis lena itu pun oleh kerana ditakdirkan Tuhan datang Musim Meleset ini, kalau tidak entah .

Sekarang sebahagian dari kebangsaan kita barulah tahu sedikit rupanya negerinya kaya raya telah jadi terkupas segala kekayaannya oleh bangsa dagang. Orang-orang Melayu beransur-ansur miskin, yang amat sangat! Semenanjung ini telah bertukar kulit hutan rimbanya menjadi hutan para. Mana tempat yang mempunyai isi bumi bertimbun batu naik di muka bumi jadi padang belantara saujana mata memandang. Sungai-sungainya jadi tohor, ditimbun oleh pasir yang digali oleh hamba Allah. Dahulunya air yang hening jadilah keruh kerana berkehendakan bijih. Segala sesuatu yang keluar itu semuanya untuk memberi kemewahan bangsa asing; umat-umat Melayu berpeluk tubuh.

Itulah ke mana jua orang-orang Melayu.

Sekarang sedar sedikit bangsa kita akan bahayanya bangsa-bangsa asing itu .... Apa hendak dikata lagi, nasi sudah menjadi bubur selamanya kita menderita dan bersedih dengan sehabis-habis sedihnya sahaja.

Sekarang kesedaran itu wajiblah dikerjakan seberapa segeranya dahulu, baikilah adat resam, ikhwan ugama, kepujian, laku perangai, jimat cermat, pembawaan hidup, makan minum dan lain-lainnya.

Saya berniat akan menuliskan ((membaiki nasib orang-orang Melayu)) kalau Majlis sudi menerima, tetapi bila mengingatkan tulisan saya tak akan siapa mengambil hirau berasa lemah tangan saya hendak menuliskannya dan membuang peluang bekerja.

Wahai sedihnya, tetapi inilah buktinya saya mencintai bangsa dan tanahair dengan sepenuh-penuh hati yang terkenang di hati saya ((adalah pekerjaan menyeru pada bangsa menuju ke rantau Semenanjung Tanah Melayu untuk Orang Melayu itu balasannya dukacita, sedih, sengsara. Bahkan kecelakaan!

Kerana sekali-kali hendak termalang tertulis pada perkataan yang tertegah, balasannya hanya berkata, sukacita saya! Jika melihat Semenanjung Tanah Melayu ini untuk Orang Melayu!

Tunduk tafakur memberi hormat pada bangsa dan negeri.

Salam Hormat dari Saya.

Pahang 29 August 1932.