![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 5 Mar 1931, p.4
Surat Kiriman.
Suratkhabar-Suratkhabar Melayu dengan Penjualnya.
Di Semenanjung Tanah Melayu kita yang bertuah ini, tampaknya bolehlah dikatakan masa ini banyak penduduk-penduduk bandar-bandar atau kampung-kampung dapat membaca suratkhabar-suratkhabar daripada bahasanya yang dikeluarkan oleh pengarang-pengarang yang bijaksana pada tiap-tiap minggu dan hari serta diiringi pula dengan majalah-majalahnya, jadi terserahlah pada wakil-wakilnya kepenatan menjual kertas-kertas akhbar itu oleh dianugerahi oleh Tuan punya akhbar itu dengan kadarnya.
Hairan pula bagi pihak penulis di bandar Kuala Lumpur itu tiadalah ada seorang pun daripada bangsa kita Melayu yang ada berjual dengan berjaja pada tiap-tiap lorong sebagaimana dibuat oleh bangsa lain seperti Keling, Hindu dan Cina pada suratkhabar-suratkhabar orang putih dan lainnya.
Barangkali pada sangkaan kaum bangsa kita Melayu ini malu kerana terjerit-jerit sepanjang masa di mana khalayak yang ramai itu.
Ada juga penulis melihat iaitu bangsa Keling Hindu itu membuat demikian iaitu menjual akhbar Melayu tadi sebagaimana akhbar-akhbar lain, tetapi tidaklah diendahkannya sangat dengan terpekik-pekik setiap-tiap masa. Hanyalah jika dicita ataupun ditanya oleh bangsa kita Melayu akan akhbar itu ((akhbar Melayu)) barulah dikeluarkan oleh si-Keling itu.
Mengapakah iaitu bangsa kita pemuda-pemuda Melayu banyak di mana-mana pekan-pekan atau kampung-kampung tak suka pada membuat yang demikian?
Bukankah jika dapat hadiah-hadiah kerana menjual suratkhabar-suratkhabar bangsa kita terpulang pada bangsa sendiri?
Kenapa diberikan pada bangsa Keling dan Hindu itu? Padahalnya boleh kita membuatnya. Dengan jalan ini tampkanya dapat juga bangsa Keling tadi menelan dengan seberapa sedikit akan peluang kita yang boleh dibuat itu lihat hingga akhbar bangsa kita, dengan bertatah mengedari alam ini pun termasuk pula hadiah-hadiah kerana menjual akhbar kita tadi di mana kantung ((poket)) Pak Naina!
Kasihan melihatkan bangsa kita Melayu hingga pekerjaan yang tiada berapa berat itu enggan ianya pada menjalankannya. Oleh yang demikian dijemput siapa-siapa yang sudi kiranya suka mengambil bahagian dalam peluang ini pada menolong dan mendapat sebagaimana yang telah dibuat oleh bangsa Keling itu ke atas suratkhabar-suratkhabar kita itu, supaya upahnya daripada Tuan punya suratkhabar-suratkhabar daripada bangsa kita Melayu ini tolong di mana kocek bangsa adanya.
top |