Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 16 May 1931, p.1

Leader Article.

Mengapa Tanah Melayu Tidak Ada Askar Daripada Anak-anak Melayu.

Jikalau dikatakan pekerjaan Polis itu ialah pekerjaan yang mulia kerana kewajipannya menjaga keamanan tiap-tiap bangsa yang mendiami di dalam negeri daripada gangguan sekalian orang-orang jahat. Maka pekerjaan askar itu terlebih mulia beberapa kali ganda lagi daripadanya kerana kewajipannya menjaga watan dan perhimpunan kaumnya daripada gangguan musuh yang khianat dan menjaga raja dan pemerintahan negerinya daripada dicabuli oleh orang akan maruahnya di dalam masa tentera itulah juga pembantu polis di dalam tiap-tiap negeri pada masa kelemahannya di dalam tiap-tiap perkara yang wajib baginya pada menyempurnakan keamanan atau pada memeliharakan maruah pemerintahan negeri.

Kita lihat tiap-tiap negeri yang dimasuki oleh bangsa-bangsa Eropah ini pada ghalibnya adalah daripada rakyat negeri itu yang menjadi askar yang dipercayai bukan bagi memelihara watan kaumnya sahaja, tetapi melampaui kegunaannya di luar daripada faedah-faedah negerinya kerana taat akan pemerintah yang mengasuhi-asuhi akan dia.

Bermula Tanah-Tanah Melayu ini telah kurang 150 tahun dimasuki oleh kerajaan Inggeris. Maka daripada mula masuknya sehingga masa ini belumlah kita dengar ada lagi ingatan atau ura-ura yang hendak mengambil anak-anak Melayu ini menjadi askar menjaga negerinya sendiri tetapi senantiasalah juga bangsa-bangsa lain mengambil tempat ini dengan hasil daripada Tanah Melayu ini.

Adakah sebab suatu jawatan yang sangat-sangat mulia dan sangat-sangat berguna bagi memelihara watan, kaum, raja, dan pemerintahan ini tiada hendak diberi kepada anak-anak Melayu ini?

Apa kerana tiada layakkah mereka itu menjalankan pekerjaan askar ini? Atau kerana difikirkan anak-anak Melayu ini tidak teguh setianya. Maka ditakuti jikalau diajar mereka itu bermain senjata boleh mereka itu menderhaka kemudian hari kelak?

Dengan sebab ini terhukumlah ke atas tanah Semenanjung Melayu ini mesti mengeluarkan wang daripada hasil negerinya memberi gaji bangsa yang lain datang menjaga anak-anak negeri di dalam tanahairnya.

Kita tidak percaya sekali-kali segala sebab-sebab yang tersebut di atas ini telah menegahkan kerajaan daripada membangunkan suatu perkumpulan askar di dalam Tanah Melayu ini daripada anak-anak Melayu, kerana kita percaya yang kerajaan juga percaya akan taat dan setia anak-anak Melayu ini kepada raja dan pemerintahan negerinya sebab belum didapati di dalam tarikh bangsa Melayu ini daripada mula jadinya sehingga masa ini ada mereka itu pernah menderhaka kepada raja atau pemerintahan negerinya daripada masa mereka itu di dalam kehidupan kebuasan dan pemerintahan yang tiada sempurna keadilan, apalagi pada masa ini masa keadilan dan kebebasan yang sempurna.

Orang-orang Melayu yang berakal dan yang bodoh pun sama semuafakat tidak sekali-kali hendak meniru perbuatan kaum pemberontak di Mesir atau di India kerana di negeri Mesir itu ada lebih kurang 1 milyun orang dan di India ada 370 milyun nyawa, bermula orang Melayu ini tidak berapa ekor bilangannya di dalam tanahnya yang luas dan makmur ini, maka jikalau seberapa pun pandai mereka itu dan jikalau semuanya sekali pun anak-anak Melayu ini menjadi askar.

Maka sehabis-habis besar guna yang boleh dilakukan oleh mereka itu orang-orang bagi tanah watan kaum bangsa mereka itu yang tidak dapat tidak mesti ada satu kerajaan besar yang menaungi dan memelihara akan dia daripada bahaya yang datang dari luar.

Dijauhkan Allah, kiranya kerajaan Inggeris melepaskan Tanah-Tanah Melayu ini daripada naungan dan penjagaannya pada pagi hari. Maka tentulah sebelah petangnya kerajaan Jepun menggantikan dia atau orang-orang Cina mempunyai dia ataupun katalah kerajaan Perancis iaitu suatu kerajaan Eropah yang besar yang ada mempunyai jajahan sebelah Timur ini merebut akandia. Maka apakah hal yang akan jadi sekalian kaum Melayu yang sebanyak bilangan anak jari ini pada masa itu?

Jikalau dimasuki oleh Jepun menjadilah Melayu ini kelak terlebih dahsyat daripada apa yang telah jadi di dalam Korea dan mendapatlah mereka itu makanan daripada biji buah kana ganti tulang daging yang senantiasa didapatinya pada masa ini.

Dan jikalau didapati oleh Cina pula Tanah Melayu ini nescaya jadilah orang-orang Melayu ini yang akan dijual oleh sekalian Cina di pasar menjadi makanan bangsanya. Dan jikalau dapat pula ke tangan orang-orang Perancis nescaya menjadilah orang-orang Melayu ini apa yang telah jadi ke atas kaum Berber di Maghribi terpaksa meninggalkan ugamanya.

Tidak, tidak, tidak! Kaum Melayu tidak sekali-kali berkehendakan lain daripada kerajaan Inggeris menaunginya dan tidak terlintas di dalam fikiran mereka itu sekali berkehendak-kehendakan kerajaan Inggeris meninggalkan negerinya.

Maka tiap-tiap orang yang berfikiran demikian itu dihitungnya orang itu khianat akan watan dan kaum bangsanya.

Hanyalah yang dituntut oleh orang-orang Melayu daripada kerajaan yang maha tinggi ini meluaskan pintu pelajaran bagi anak-anaknya dan membuka akan pintu pekerjaan yang dapat anak Melayu yang Bersekutu di dalam pekerjaan negeri tanahair watannya.

Dan membangunkan perhimpunan askar daripada bangsa Melayu yang terlebih hak memakan belanja yang diuntukkan bagi askar-askar yang menjaga negerinya kerana mereka itu suka dan gemar menyerahkan nyawanya kepada kerajaan bagi memelihara negerinya daripada huru-hara tamak sekalian bangsa-bangsa dagang yang datang masuk bersemenda ke dalam negerinya kerana hendak mencari kehidupan kemudian dilakukan oleh mereka itu segala jenis kejahatan yang membusukkan nama Tanah Melayu yang aman dan mewah makmur ini.

Sekalian kaum Melayu telah sedar akan diri daripada kelalaian yang berapa lama oleh tertipu daya dengan kemakmuran dan kesenangan kehidupan mendapat rezeki dengan menang pagi dan petang sahaja, yang telah dipasak dan dimeteraikan oleh pengajaran yang tiada betul, "sahajalah". Apa-apa yang dapat ((al-kana`at)) iaitulah setengah daripada iktiqad yang berpahala konon di dalam tiap-tiap masa dan tiap-tiap perkara sehingga hanyut dan hampir dagang kita di dalam tanahair watan datuk nenek moyang kita.

Maka oleh sebab pekerjaan askar ini ialah roh yang mengawali tiap-tiap kerajaan itu, maka kita percaya dengan sebulat suara sekalian bangsa Melayu ini suka menyerahkan nyawanya kepada kerajaan meminta dijadikan dia roh yang mengawali pemerintah Tanah Melayu ini di bawah latihan dan ajaran ketua-ketuanya daripada bangsa Inggeris pemerintah negerinya pada masa ini.

Kita tidak percaya ada suatu pun alangan kepada kerajaan daripada membukakan pintu pekerjaan yang sangat-sangat berkat dan sangat-sangat mulia ini bagi anak-anak Melayu kemudian daripada telah didapati oleh kerajaan akan kelayakan mereka itu di dalam bangunan Volunteer Melayu yang boleh dikatakan telah dikerjakan oleh mereka itu dengan suka hati bukan dengan kerana gaji, dan keadaan askar-askar yang dalam Johor Baru yang [...*]