Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 23 May 1931, p.1

Leader Article.

Kesatuan Melayu Semenanjung: Apa Patut Kita Buat.

Sungguh pun baru hampir lima bulan perkara-perkara yang berkenaan dengan tuntutan-tuntutan bangsa-bangsa asing ini dimerdekakan oleh suratkhabar-suratkhabar di tanah Semenanjung ((lihat Saudara bertarikh 3 Januari 1931)) tetapi sekarang tampaknya telah bangkit dan sedar belaka segala suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah di Semenanjung akan kewajipan mengatakan persatuan atau kesatuan Melayu Semenanjung kerana tidak lain lagi dengan jalan itulah anak-anak Melayu itu akan dapat mengeluarkan suaranya yang dihargai buat mengemukakan segala haknya yang tengah dibecokkan oleh orang-orang Cina dan Indian hendak mengambilnya sekarang ini.

Bagaimana kita hendak mengadakan "Kesatuan" itu? Kita percaya jikalau ada sesuatu anggota yang kuat sekarang ini mengadakan suatu perhimpunan atau mesyuarat yang terbuka kepada sekalian Melayu di Semenanjung walau barang di mana pun tentu sekali ramai anak-anak Melayu dari serata negeri akan datang. Tetapi jikalau datang mereka itu sekadar hendak melihat atau hendak tumpang bersuara sahaja bagi pihak dirinya dan bukannya bagi pihak sesuatu persekutuan atau perhimpunan Melayu tentulah perhimpunan itu tiada berapa berharga dan tiada berapa dihargakan oleh kerajaan ataupun bangsa-bangsa asing.

Pada fikir kita ada dua jalan buat mengadakan "Kesatuan" itu. Pertama masing-masing negeri patut mengadakan "Kesatuan Melayu"nya dahulu dan kemudian sekalian "Kesatuan Melayu" dalam masing-masing negeri itu disatukan sekali menjadi "Kesatuan Melayu Semenanjung", tetapi kurang baiknya yang demikian itu ada pula iaitu masing-masing kesatuan wajib diregisterkan seperti suatu persekutuan dan masing-masing "Kesatuan" itu pula tentulah ada mempunyai bermacam-macam tujuan yang tidak sama betul dengan yang lain.

Yang demikian itu akan menjadikan susah hendak menyatukannya dan terpaksa pula mengambil masa yang lanjut, masing-masing kesatuan akan memikirkan dirinya lebih elok lebih kuat dan lebih betul sehingga payah pula hendak mencari ibunya yang boleh menyatukan sekaliannya.

Akhirnya berbalik kepada cerita lama iaitu orang Pulau Pinang kata begini, orang Singapura kata begitu, orang Kedah fikir begini, dan orang Johor fikir pula begitu.

Bahkan orang-orang Perak atau Selangor atau Negeri Sembilan atau lainnya akan berfikir lain macam pula "Kesatuan" itu senang bunyinya pada mulut tetapi payah hendak menjalankannya.

Yang kedua peraturan membuat "Kesatuan Melayu Semenanjung" itu pada fikiran kita ialah dengan dipanggil dahulu suatu perhimpunan Melayu Semenanjung yang besar katalah di Kuala Lumpur atau di mana-mana pun buat mengadakan dengan sekaligus suatu "Kesatuan" yang menyandang nama Semenanjung. Apabila tetap suatu anggota tengah yang kuat, maka barulah pula dibuka cawangannya pada masing-masing negeri dengan memakai undang-undang yang satu dan tujuan yang sama.

Yang demikian ini samalah seperti menerima suatu pokok yang kemudian boleh berdahan, bercabang dan rendang menaungi serata Semenanjung. Pada fikiran kita peraturan yang kedua ini ada lebih baik, tetapi mahulah "anggota tengah" yang menyandang nama Semenanjung itu cukup kuat dan usaha dan bersungguh-sungguh betul.

Tujuannya.

Tiap-tiap persekutuan atau kesatuan wajib ada tujuannya dan tujuan-tujuan itu mahulah cukup luas dan bererti iaitu dengan jalannya kita boleh memajukan segala pekerjaan kita dengan aman, selamat dan jaya, dan supaya tidak terkelencong segala maksud kita yang baik sehingga akhirnya boleh menjadikan runtuh terburai kesatuan itu. Pada fikiran kita tujuan-tujuan itu lebih kurang seperti di bawah ini:

1. Hendak taat kepada sekalian Raja-Raja Melayu, kepada kerajaan Inggeris dan kepada Yang Maha Mulia Baginda King-Emperor.

2. Hendak mengemukakan fikiran-fikiran dan perasaan bangsa Melayu yang berkenaan dengan negerinya supaya diketahui oleh kerajaan dan sekalian orang ramai yang mendiami Tanah Melayu.

3. Hendak memajukan perusahaan, perniagaan, dan pekerjaan anak-anak Melayu.

4. Hendak memajukan pelajaran anak-anak Melayu.

Kemudian daripada itu elok pula difikirkan tentang bayaran yuran yang boleh menarik orang-orang ramai masih bersatu. Kita ketahui bahwa suatu daripada sebesar-besar penyakit yang telah mengidapi persekutuan-persekutuan atau persatuan Melayu itu ialah pada tentang wang. Tujuan kita ialah jikalau dapat biar ramai dan pada akhirnya biar sampai berpuluh atau beratus ribu bilangan ahli kita.

Mula-mula ini katalah boleh dapat 500 atau seribu orang sahaja dalam semua Tanah Melayu tetapi jikalau baik aturannya dan tidak memberati bayarannya tetapi tersangat pula besar faedahnya. Maka tentu orang-orang ramai akan suka masuk bersatu yang kita ketahui sekarang ialah "Kesatuan" dan bukannya "wang" yang banyak. Tujuan kesatuan itu ialah hendak mempertahankan hak-hak kita sebagai anak negeri dan bukannya hendak membuka "share" atau "company" seperti yang telah difikirkan oleh setengah penulis-penulis bangsa kita.

Jangan esok bila kesatuan telah dapat dan ada, maka ramai pula yang menjerit-jerit mengatakan kesatuan itu tidak berfaedah sebab tiada membuka gudang atau tiada membuka sekolah atau lainnya yang mudah menjadikan keliru pada hati orang-orang yang tiada berapa terus pemandangannya.

Siapa hendak membuka sekolah atau lombong atau kebun buatlah atau bermuafakatlah sama sendiri seperti yang telah diperbuat oleh bangsa-bangsa asing.

Tujuan kesatuan ini ialah hendak mempertahankan hak dan menuntut hak. Hendak memajukan perniagaan bangsa ((bukan hendak berniaga)), hendak memajukan perusahaan bangsa ((bukan hendak membuka factory atau menjaga kebun)), dan hendak memajukan pelajaran bangsa Melayu ((bukan hendak membuka universiti dengan belanjanya sendiri)).

Harap difahamkan perbezaannya di antara perkataan yang di dalam bracket dengan yang di luar bracket!

Oleh itu, patut pada fikiran kita yurannya itu dibuat sehabis-habis murah dan menyenangkan iaitu memadai jika dibuat seringgit seorang setahun. Kesatuan yang besar yang mempunyai ahli-ahlinya bertabur pada serata tanah Semenanjung dan barangkali hingga ke Sarawak, Labuan dan Brunei pun tiada berkehendakan rumah persekutuan, perhimpunan atau kongres yang diadakan setahun sekali memadai diadakan di dalam tempat yang lapang yang boleh dipinjam atau disewa.

Dan patut pula diubah-ubah tempatnya iaitu setahun di Perak, setahun di Kelantan, setahun di Johor, dan lain-lainnya.

Tujuan kita ialah hendak mengemukakan suara dan perasaan anak negeri dan bukannya hendak mempunyai tempat main billiard atau bermain terup. Lain daripada ahli-ahli yang menjadi member terus boleh jua difikirkan yang tiap-tiap kelab atau persekutuan Melayu boleh jua menjadi member iaitu dengan bayaran yang ditetapkan umpama $25 atau $50 setahun. Patut jua dibenarkan orang-orang Melayu menjadi "member" seumur hidup iaitu dengan membayar sekaligus bayaran yang ditetapkan, umpamanya $30 atau empat puluh ringgit pada mula-mula masuk.

Orang-orang yang kaya dan banyak wang barangkali banyak yang suka membayar sekaligus menjadi "member seumur hidup". Sekiranya kemudian kelak didapati banyak orang yang terhimpun hingga beratus ribu atau bermillion ringgit ((kerana jikalau baik dan selamat aturannya banyak orang-orang yang akan masuk bersatu)). Maka boleh ditimbangkan oleh ramai apa yang patut dibuat di atas wang itu.

Buat sekarang ini atau buat mula-mula tak usahlah difikirkan dahulu hal yang senang seperti itu. Jikalau dapat kita mengadakan "Kesatuan Melayu Semenanjung" pun sekarang ini tidak dapat kita tilikkan harganya dengan wang yang bermillion-million ringgit.

Segala anggota yang menjalankan kesatuan itu patutlah daripada orang yang bebas yang tiada bekerja dengan kerajaan. Jangan dicacat atau dibisingkan orang-orang yang bekerja dengan kerajaan tidak mahu menjadi setiausaha atau committeenya kerana maklum orang-orang yang bekerja dengan kerajaan itu wajib taat lebih dahulu kepada kerajaannya mengikut undang-undang yang teramat besar berfaedah bagi muslihat am. Pihak kerajaan memang tidak boleh sepet ke mana-mana pun melainkan mesti tegak berdiri sama tengah terutama sekali dalam perkara politik yang menjadi suatu tujuan yang besar bagi "Kesatuan Melayu" yang diura-urakan itu.

Nasihat.

Segala pekerjaan "Kesatuan Melayu Semenanjung" yang dicadangkan itu wajib dijalankan dengan mengikut gurisan "Empat Tujuan" yang mula-mula di atas itu. Wajib taat kepada Raja dan Kerajaan dan segala-gala syor-syor atau cadangan-cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan wajib dijalankan dengan syarat "Meminta" dan bukannya dengan aturan memerintah atau menyuruh mengerah. Kita tidak mahu sedikit pun politik Gandhi atau lain-lainnya. Keadaan negeri kita di Semenanjung ini masing-masing ada mempunyai Raja dan Kerajaan yang diaku oleh British kepunyaan Melayu dan bukannya seperti Bombay atau Madras, kerajaan Inggeris itu telah diajak dan dijemput oleh Raja-Raja dan orang-orang Melayu meminta perintahan dan nasihatkan segala hal-hal negerinya yang kacau-bilau dahulu dan wajib kita bersetuju dan bertolong-tolongan dengan kerajaan pada memperoleh segala kemajuan yang dicita-cita.

Seperkara lagi dalam pergerakan yang besar seperti ini iaitu pergerakan yang hendak bersatu dan bersemuafakat dengan segala Raja-Raja dan orang-orang besar dan kerajaan, janganlah setengah orang memikirkan dirinya sahaja yang pandai dan jangan difikirkan orang-orang lain seperti Raja-Raja dan orang-orang besar itu bodoh atau tiada mempunyai perasaan, fikiran. Yang demikian ini, satu apa pun tiada apa gunanya melainkan mencari jalan perselisihan dan akan meruntuhkan segala cita-cita dan angan-angan bangsa Melayu, jangan difikirkan kemajuan itu boleh dapat dipasang seperti memasang sebatang mancis api, jikalau Raja-Raja sahaja pandai dan berperasaan.

Walau bagaimana pun gagah atau berkuasa sekalipun seseorang di dalam dunia ini jikalau kaumnya yang lain bodoh atau jahil atau selalu salah sangka. Maka tidaklah dapat dijalankan kemajuan itu oleh seorang atau oleh bilangan yang sedikit. Orang-orang besar dan Raja-Raja bahkan meskipun kerajaan tidak boleh cukup jaya menjalankan kewajipannya jikalau orang-orang ramai tidak tahu atau tinggal bodoh, suka berhutang, suka boros, malas bekerja dan sebagainya.

Aminullah-khana yang begitu kuat dan keras berkehendakan kemajuan boleh jadi terhumbannya oleh sebab kejahilan dan kebodohan orang-orang apa pun yang liar tinggal di bukit dan di gunung-gunung itu. Kita ketahui Raja-Raja dan orang-orang besar dan orang-orang yang berpangkat tinggi kita sekarang ada membaca suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah seperti orang kebanyakan jua, bahkan barangkali lebih pula lagi mereka itu, mereka itu tentu tersangat suka dan gemar melihatkan kaumnya sedar dan tahu akan kedudukannya, bahkan tentu mereka itu lebih-lebih suka lagi ((demikian jua kerajaan)) hendak melihatkan orang-orang Melayu itu supaya ramai yang kaya, ramai yang berniaga, bekerja, berusaha dan sebagainya.

Tetapi wajib diingat jikalau bangsa Melayu hendak membuat persatuan, hendak berusaha, hendak memajukan perniagaan dan pelajaran dan sebagainya, bangsa Melayu sendiri ((yakni orang-orang Melayu yang ramai mesti menjalankan sendiri, tidakkan Raja-Raja kita hendak pergi menjadi secretary persekutuan, atau hendak menjadi guru mengajar di sekolah bagi anak-anak Melayu. Adapun kerajaan iaitu Raja-Raja dan segala pegawai-pegawai atau penasihatnya telah memberi sebesar-besar peluang kepada anak-anak Melayu iaitu dengan disudukan pelajaran dan dilebihkan pula segala hak-hak kepada anak-anak Melayu tetapi selama ini anak-anak Melayu yang ramai jualah yang culas, yang lalai, yang malas dan yang tiada tekun betul-betul membuat sesuatu pekerjaan.

Sekarang ini alhamdulillah dengan sebab pelajaran-pelajaran yang telah diberi oleh kerajaan anak-anak Melayu telah mulai sedar dan telah mulai tahu hendak mempertahankan dirinya dan tanahairnya.

Maka sebaik-baik jalan yang patut diikut oleh anak-anak yang telah celik itu ialah memberi terima kasih kepada kerajaan yang telah menjalankan kewajipannya seperti bagaimana yang diminta oleh Raja-Raja dan orang-orang Melayu kita pada masa mereka mula-mula menjemput mereka itu dahulu dan peraturan memberi terima kasih itu ialah mencuba menunjukkan diri kita boleh berdiri sendiri berharta sendiri, berpelajaran sendiri, bersatu sendiri, bermuafakat sendiri iaitu dengan membuangkan malas memeluk rajin, melontarkan tabiat boros dan mencapai tabiat jimat dan cermat berserta pula bersatu dalam sebarang perkara dengan Raja-Raja dan kerajaan kita.

Dengan jalan bersatu dan bersemuafakat seperti itulah kaum dan bangsa kita Melayu boleh menjadi pada suatu masa bangsa yang bebas dan merdeka seperti orang Australia, New Zealand atau Canada iaitu terhimpun di dalam lingkungan British Empire yang besar dan sombong.

Maka jauh atau dekatnya masa yang seperti itu terpulanglah kepada anak-anak Melayu sendiri kerana nasib sesuatu bangsa itu ada tergenggam di dalam tangannya sendiri.

Kita sekali-kali tidak bersetuju jikalau "Kesatuan Melayu" yang diura-urakan itu akan mencuba politik karut iaitu politik-politik yang tiada bersetuju dengan Raja-Raja dan kerajaan negeri ini.