Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 May 1931, p.8

Editorial.

Kongress Melayu dengan Anak-anak Melayu Pegawai Kerajaan.

Hendak mengadakan Kongress ini ialah dengan niat semata-mata supaya anak-anak Melayu bersekutu menggunakan kebebasan kehidupan yang telah dikurniai oleh keadilan kerajaan bagi kehidupan benih bangsa-bangsa manusia yang di bawah naungan panji-panjinya yang tiga warna ini, kerana bangsa Melayu yang mempunyai tanahair yang asli ini telah berlebih-lebihan sangat lalainya daripada menggunakan serba jenis pertunjuk yang telah memberi kebajikan tiap-tiap bangsa yang datang masuk bersemenda ke dalam negerinya.

Maka bagi mengadakan Kongress ini ada beberapa kewajipan pekerjaan yang mesti dikerjakan terlebih dahulu berlainan sekali daripada segala pekerjaan yang akan dikerja dan dijalankan pada masa telah jadi perhimpunan Kongress itu, demikian juga segala pekerjaan yang akan dijalankan oleh persatuan-persatuan yang dicadangkan akan diperanakkan oleh Kongress itu, tentulah berlainan sekali daripada apa-apa ut dijalankan oleh Kongress itu pula.

1. Bagi mengadakan Kongress ini, hendaklah jadi satu committee daripada anak-anak Melayu yang berpengetahuan dan diketahui akan taat setianya kepada kerajaan serta mengetahui undang-undang negeri supaya menyusun segala pekerjaan mengadakan Kongress ini dengan cukup sempurna tidak teringkar sedikit pun daripada apa yang boleh mendatangkan syak atau salah sangka kerajaan bagi kesetiaan kaum bangsanya Melayu yang telah masyhur taat dan setia mereka itu kepada Raja-Raja dan pemerintahan negerinya ini.

Maka committee inilah yang boleh menyusun program apa-apa bahas yang hendak dibahaskan di dalam Kongress itu dan apa-apa tuntutan yang dikehendaki daripada perhimpunan itu, dan committee inilah juga yang boleh menghamburkan seruan bagaimana yang difikirkannya patut ke dalam segala negeri-negeri Melayu ini dan menjemput orang-orang khas di dalam Kongress ini kemudian daripada menentukan apa-apa hari dan di mana-mana negeri yang akan dibuka Kongress ini.

2. ((Kongress)) pada hari mula pertama terbuka Kongress ini habislah pekerjaan sekalian committee-committee yang pertama itu kerana awal pertama yang wajib dijalankan oleh ahli-ahli perhimpunan yang hadir menjadi Kongress ini ialah memilih chairman dan sekretari dan committee-committeenya, kemudian dijalankanlah pekerjaan Kongress itu oleh pegawai-pegawai yang dilantiknya itu dengan menurut program committee yang mengadakan Kongress itu ataupun ditambah diubah oleh mereka itu menurut suara yang ramai.

3. ((Persatuan)) bermula persatuan-persatuan yang akan diterbitkan oleh Kongress ini tentulah undang-undang tiap-tiap satu persatuan itu mesti ada berlebih kurang di antara satu dengan lain, kerana tiap-tiap negeri itu terpaksa mesti menjaga adat resam ahli-ahli negerinya, hanyalah yang dikehendaki bersatu semuafakat semuanya pada pihak tujuannya dan kehendak-kehendak mengadakan persatuan itu dan perikatan yang kukuh di antara satu dengan lainnya serta menjadikan ibu persatuan-persatuan itu di mana-mana satu negeri yang difikirkan patut dan layak oleh suara ramai daripada ahli-ahli Kongress itu.

Maka di sini kita bertanya bagi mengadakan Kongress dan menjadi committee di dalam bahagian yang pertama yang tersebut di atas ini sahaja adakah terlarang oleh undang-undang negeri pegawai-pegawai kerajaan daripada anak-anak Melayu bercampur sama?

Kerana anak-anak Melayu yang berpengetahuan yang diharap dan layak menjalankan pekerjaan itu supaya terpelihara daripada terlanggar kepada perkara-perkara yang tiada digemari oleh raja dan pemerintahan negeri telah difikirkan 95 persen daripadanya telah jadi pegawai-pegawai kerajaan. Maka adakah menjadi committee yang demikian itu sahaja satu daripada larangan kerajaan ke atasnya?