Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 2 May 1931, p.1

Leader Article.

Perkelahian Orang-orang Cina dan Anak-anak Negeri di Perkalongan Jawa.

Lebih kurang sudah dua bulan berlaku perkelahian di antara bangsa anak negeri dengan orang-orang Cina penduduk negeri Perkalongan Jawa yang sampai kepada masa ini masih belum didapati perdamaian.

Asal mulanya pergaduhan ini ialah disebabkan satu keluarga tauke kedai bangsa Cina berlaku kasar dan memukul seorang perempuan tua bangsa anak negeri yang berjual daun pisang; dengan sebab pertengkaran yang kecil, dan terjadilah kemudian perempuan tua itu dibelakan oleh bangsanya sehingga terbit perkelahian berpihak-pihak, menyebabkan dengan serta-merta tauke Cina itu terpaksa menutup kedainya dan pindah ke dalam kawasan kampung orang-orang Cina.

Hal ini sebagaimana yang diutarakan oleh suratkhabar-suratkhabar dari tanah Jawa tidak terhenti dengan demikian sahaja.

Akan tetapi telah menjadi permusuhan yang berpanjang-panjang di antara bangsa anak negeri dan orang-orang Cina di Perkalongan itu, sehingga menjadi berpuak-puak dan menjadi perkelahian berpukul-pukulan di antara kedua puak dengan menggunakan senjata tajam dan pistol dalam mana ada orang Cina yang mati kena tembak oleh anak negeri yang tidak dikenali. Dengan demikian, perkelahian itu telah jadi merebak hingga boleh dikata kepada seluruh bandar Perkalongan didapati permusuhan am di antara kedua bangsa yang tersebut.

Maka dengan sebab bahaya-bahaya yang berlaku atas orang-orang Cina itu sebagaimana senjata persatuan dan seiya sekata yang kerapkali ada pada mereka itu, telah digunakannya jadi seolah-olah suatu protest atas perbuatan anak negeri itu dan boleh dipandang juga seolah-olah protest atas penjagaan keamanan pihak pemerintah, dengan sekaligus mereka itu telah menutup kedai-kedainya hingga satu minggu lamanya. Artinya, tidak berjual barang-barang kepada siapa-siapa juga padahal boleh dikata segala sesuatu barang-barang kefardhuan sehari-hari sebagaimana di lain-lain negeri didapati membeli daripada kedai-kedai Cina belaka.

Akan tetapi apa sudah jadi dengan hal itu? Tiap-tiap celaka ada faedahnya!

Demikianlah sudah jadi tiap-tiap bangsa anak negeri yang ada mampu sedikit telah sama bergerak membuka kedai-kedai barang makanan dan lain-lain yang dia orang beli daripada gedung-gedung Belanda ((Imports)) sebagaimana tauke-tauke Cina itu membeli selamanya ini. Dan buka segala kedai-kedai kecil-kecil pada merata-rata kampung di dalam Perkalongan itu, dengan jalan daripada mereka-mereka yang mampu itu memberi hutang kepada orang-orang yang amanah di kampung-kampung. Sehingga pada masa ini menurut warta suratkhabar-suratkhabar dari sana anak-anak negeri boleh membeli gores api sekotak atau belacan satu sen daripada kedai-kedai bangsanya sendiri dengan tidak sedikit juga hirau lagi akan kedai-kedai orang Cina yang telah menutup pintunya itu.

Tuan Van Wijk, Pengarang suratkhabar Jawa Bode yang telah melawat ke Pekalongan kerana menyiasat hal itu telah berkata di dalam suratkhabarnya ((kita petik serba sedikit dari Bintang Timur)) menyatakan bahwa keadaan kefardhuan bagi pihak orang-orang Cina itu sangat benar dirasai. Mereka itu telah membuka kedainya kembali akan tetapi sampai jam pukul 6 petang sahaja tidak lagi seperti selama ini sampai pukul 10 malam.

Akan tetapi apa dikata?

Anak negeri telah memulai membuka dan menjalankan perniagaannya di antara kaum bangsanya sama ada besar atau kecil, yang didatangkannya daripada gedung-gedung orang Eropah sebagaimana tauke-tauke Cina itu pun membeli daripada situ juga.

Hal ini rupanya telah sangat dirasai oleh kedai-kedai Cina itu kerana tampaknya perniagaan mereka itu mulai galang-kabut, kerana tidak dapat membayar hutang-hutangnya kepada gedung-gedung seperti yang biasa selamanya ini dengan jalan Promissory Note atau main hutang belaka, sementara ini kedai-kedai anak negeri bagi berjual runcit-runcit bertambah menjalar juga pada merata-rata kampung atau mukimnya.

Kata Tuan Van Wijk, ia belum mahu berkata bahwa kedai-kedai atau perniagaan anak negeri itu dibangunkan dengan peraturan dan perjalanan yang sempurna seolah-olah ada ahli-ahli pengetahuan mereka itu yang mengaturnya di belakang akan tetapi, ((katanya)) baiklah juga diperhatikan oleh pihak pemerintah dan gedung-gedung import, artinya supaya mereka itu jangan tidak percaya lagi seperti selama ini memandang bahwa anak negeri itu tidak dapat mengatur perniagaan dengan baik dan rapi.

Di desa-desa ((dusun-dusun)) ada juga orang-orang Cina datang membawa barang-barang dagangannya akan tetapi apa mahu dikata sekarang di tempat-tempat itu telah berdiri kedai-kedai anak negeri yang tidak boleh kalah. Jika dipertandingkan dengan jualan dan keadaan barang-barang tauke kelentong itu.

Meskipun harga daripada penjualan kedai-kedai kecil orang Jawa itu lebih mahal daripada penjualan orang-orang Cina yang tersebut ((kata Tuan Van Wijk)). Akan tetapi apa boleh buat mereka itu sekarang lebih suka membeli apa-apa jua daripada bangsanya sendiri sementara kelentong-kelentong Cina itu masih banyak bertaburan piutang-piutang kepada orang-orang desa yang tersebut. Inilah suatu sebab tauke-tauke kelentong itu tidak dapat lagi menjelaskan hutang-hutangnya kepada gedung Eropah sebagaimana yang biasa selama ini.

Jika dahulu tukang-tukang kelentong itu boleh menjualkan barang-barangnya dalam sehari sampai 100 rupiah, atau lebih, tetapi sekarang janganlah diharap akan boleh laku sampai 10 rupiah walaupun dengan harga yang murah daripada biasanya.

Maka keadaan pergerakan perniagaan anak negeri yang demikian ini tampaknya bukan akan terjadi di dalam Pekalongan sahaja, tetapi akan merebak pula ke lain-lain tempat di Tanah Jawa itu ((mudah-mudahan maju, Ya Allah! Pengarang)) kerana masing-masing mereka itu tampaknya telah mempunyai kegemaran akan berhubungan berjual beli dengan bangsa sendiri.

Keadaan kesukaran yang demikian ini memanglah boleh membuat jadi kalut hal lazim selama ini, kata Tuan Van Wijk, sebagaimana ia dengar keterangan Tuan Residen Pekalongan sendiri mengatakan bahwa kerapkali terjadi beberapa tingkah laku yang kasar dilakukan oleh Cina-Cina Singkek ((jadi bukan Peranakan)) di atas orang-orang bumiputera selamanya ini.

Akan tetapi kerana hal itu berlaku pada masa kehidupan makmur tiadalah terjadi suatu apa-apa kepada perkelahian, kerapkali juga orang-orang Cina Singkek itu marah kepada orang-orang Jawa yang menawar barang-barangnya terlalu murah dengan berkata: Lebih baik lu beli keladi setalian ((25 sen)) dan masaklah dalam lu punya perut!!

Artinya, jika orang ini hendak membeli barang yang sedap sedikit dengan menawar terlalu murah, maka hal yang demikian itu jika pada waktu yang biasa ia jawab sahaja dengan perkataan kasar. Akan tetapi, di dalam musim sukar ini, maka jadilah hal itu menerbitkan perkelahian yang tidak diingini.

Sehingga sampai masa ini penjagaan di dalam Pekalongan dilakukan oleh soldadu-soldadu dengan cukup lengkap dan teratur rapi. Akan tetapi walaupun demikian kekhuatiran orang-orang Cina tidak juga pulih seperti sediakala kerana kerapkali terjadi di dalam diam di tempat-tempat yang gelap dan kampung-kampung dengan tidak sesuatu sebab terjadi berpukul di antara kedua bangsa itu.

Nah! Rupanya bikut yang ditakuti oleh segala bangsa dari pihak orang-orang Cina itu akhirnya menjadikan sesuatu hal yang di gemari oleh anak negeri Pekalongan itu yang menyebabkan mereka sekarang sudah mulai berjual beli dengan perniagaan dan anak-anak bangsa sendiri yang mengetahui adat resam atau bersopan santun dengan sama-sama bangsanya sendiri. Alhamdulillah!