Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 May 1931, p.4

General Article.

Warta Terengganu. Memajukan negeri daripada Kejahilan.

Kejayaan besar telah terjadi.

Report bagi negeri Terengganu yang telah disiarkan ialah bagi bulan Jun tahun masehi 1927 hingga Jun 1929 iaitu masa setengah daripada setengah berkenaan dengan tahun Hijrah. Adapun hasil bagi 12 bulan yang lepas di dalam masa ini ada menunjukkan kekurangan daripada angka-angka bagi tahun yang lalu (($1,361,025)), tetapi angka-angka ini terlebih banyak daripada tahun-tahun yang sudah. Perbelanjaan bagi negeri pun ada kekurangan juga (($1,520,149)) kejatuhan harga-harga bijih dan getah ada menunjukkan kekuasaannya di atas keuntungan kastam candu dan minuman. Maka nyatalah sekali perniagaan terlalu kurang banyak yang pertama-tama mata air kehasilan ialah daripada kastam kira-kira di dalam separuh dan minuman serta candu dalam lebih kurang 1/5 bahagian.

Permainan-permainan judi telah dihapuskan di dalam dua tahun. Sebanyak $600,000 telah digunakan bagi memperbuat jalan-jalan raya serta jabatan-jabatan. Maka jumlah perniagaan bagi negeri ini ialah sebanyak 12 1/2 juta ringgit berlawan dengan 13 1/4 juta di dalam pada ini ada kelebihan harga-harga barang-barang keluar daripada barang-barang masuk 1 juta. Pejabat-pejabat pos pun menunjukkan kelebihan hasil di dalam sebarang jenis.

Huru-Hara Dahulu.

Maka pada bulan Ramadhan 1346 bersamaan dengan bulan March 1925, khabarnya ada angin-angin perbalahan dahulu Terengganu di Turus dan di Dungun berkenaan dengan kutipan hasil-hasil tanah dan kesifatan hutan-hutan semua hak kerajaan. Sepasuk rakyat khabarnya telah berhimpun di Tersat. Duli Yang Maha Mulia dengan Datuk-Datuknya telah bertemu dengan lebih kurang 34,000 orang-orang derhaka di Kuala Berang ((sekarang Hulu Terengganu)) dan keputusannya dipersetujukan mereka-mereka ini hadir di Kuala Terengganu dan di sana akan ditimbangkan pengaduan masing-masing, Maka pada masa itu barulah diketahui bahwa pergerakan ini tentulah dikepalai dan disatukan oleh orang-orang yang berbangsa di situ.

Maka pada 6 haribulan Zulhijjah 1346 ((20 Mei 1926)), Tuan Pegawai Daerah Kuala Berang ((En. Hisham)) dan orang-orang Polis iaitu seorang sarjan dan 4 orang Mata-Mata fikirankan molek undur daripada melawan sebanyak 27,000 orang yang kebanyakan bersenjata belaka. Oleh itu 25 orang Polis lagi dihantarkan ke hulu sungai. Mereka-mereka ini bertemu dengan rakyat derhaka di Kuala Telemung dan dinasihatkan mereka itu supaya balik. Maka sebarang ugutan tiada dihiraukan oleh rakyat-rakyat ini. Maka apakala tampaknya mereka itu sedia sahaja berperang orang-orang Polis pun disuruh lepaskan bedil. Maka didapati 14 orang mati termasuk seorang ketua mereka itu namanya Tok Janggut yang sungguh pun dikatakan bijak di dalam ilmu hikmat tumbang dengan sebiji peluru sahaja. Pada keesokan harinya datanglah pertolongan daripada negeri-negeri bersekutu dan rakyat-rakyat itu pun habis bercempera lari balik ke rumah masing-masing.

Kesudahan Perusuhan.

12 orang daripada kepala-kepala mereka itu telah dapat ditangkap dan dibicarakan di dalam Makhamah Khas serta dihukumkan dengan keberatan. Diketahui bahwa ketua yang terutama di dalam huru hara ini ialah seorang bernama Haji Abdul Rahman sekarang ada di Mekah. Adapun rakyat-rakyat ini dengan kejahilan tiada mengetahui sebab-sebabnya yang mereka itu melawan kepada kerajaan maka dengan buta tuli sahaja mengikut syor-syor ketuanya.

Sebenarnyalah mereka itu orang-orang sekian malas dan tiada cukup pencarian. Oleh itu pekerjaan telah diberikan kepada mereka itu iaitu membuat jalan dari Kuala Berang ((Hulu Terengganu)) ke Kuala Terengganu. Jaya sangat pekerjaan ini dijalankan oleh ketua pejabat kerja-raya dan tuan pegawai daerah hingga didapati lebih kurang 1,206 orang laki-laki dan perempuan yang bekerja di situ.

Maka apabila Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan Yang Berhormat Tuan Penasihat melawat di sana datanglah lebih kurang 800 orang yang bekerja berjumpa dengannya. Adapun pekerjaan ini teramat berguna kerana apakala disuruh orang-orang bekerja tiadalah mereka-mereka itu lagi mendapat tabiat yang malas.

Pekerjaan yang dijalankan oleh pejabat tanah serta pejabat ugama terlalu maju sekali. Pencubaan bercucuk bertanam telah dimulakan maka difikirkan di dalam sedikit masa lagi kerajaan akan menghantarkan sepasuk anak-anak watannya kepada Kerian kerana melihat tanaman padi di sana.

Maka oleh sebab kemajuan yang terjadi tampaknya tiadalah lagi ada pergerakan kederhakaan yang sedemikian. Yang dikehendaki sangat ialah ketua-ketua yang besar itu hendaklah mengambil berat di atas hal-ehwal rakyat itu. Duli Yang Maha Mulia beserta Tuan Penasihat telah melawat ke serata jajahan Terengganu dan telah mendapat sambutan daripada rakyat-rakyatnya. Maka Duli Yang Maha Mulia bersetuju menjalankan lawatan yang sebegini pada tiap-tiap tahun dan daripada itu tentulah menjadi keuntungan kepada kerajaan dan akan menjadi rakyat sekalian menunjukkan kebaktian yang sebenar kepada kerajaan.

Pekerjaan Am.

Mesyuarat Negeri diadakan pada tiap-tiap minggu kerana menjalankan pekerjaan am dan diadakan juga, tambahan mesyuarat apakala difikirkan mustahak, adapun mesyuarat ini berjumlah, 18 ahli Melayu di bawah rakyat Menteri Besar beserta dengan Tuan British Adviser, seorang ahli Inggeris sahaja. Berkata akhbar Singapore Free Press bertarikh 29 Disember 1929, "perjalanan pekerjaan bagi umum hendaklah bersamaan dirasanya dengan akal bicara ahli-ahli yang lebih di dalam kumpulan ini kerana setengah mereka-mereka itu tiada berapa tajam dan pantas akalnya mempersetujukan satu-satu perkara yang diangkatkan di dalam mesyuarat ini".

Berkata lagi akhbar ini telah menjadi kepercayaan daripada kaum-kaum tua bahwa orang-orang muda tiada layak menjadi ahli-ahli mesyuarat. Oleh kerana ini, didapati orang-orang tua sahaja menjadi ahli-ahli mesyuarat menguatkan persangkaan yang salah ini ialah orang-orang muda sekarang suka sangat mengubahkan perjalanan ugama Islam.

Maka pada awal tahun Hijrah 1347, Duli Yang Maha Mulia al-Sultan bersetuju mengadakan mesyuarat mingguan dengan Datuk Menteri Besar beserta Tuan Penasihat kerana berkenaan bagi pekerjaan am dan mesyuarat ini sedang dijalankan dengan sempurnanya. Inilah punca-puncanya bahwa Duli Yang Maha Mulia menggunakan lawatannya di serata jajahan Terengganu. Maka di dalam sebarang perkara telah menunjukkan keberatannya di dalam hal ehwal negerinya.

Ketinggalan ke belakang tetapi jaya.

Bukanlah pula menjadi kezaliman jikalau dikatakan bahwa Terengganu ini sangat-sangatlah ketinggalan ke belakang daripada negeri-negeri Melayu, tetapi sesiapa yang tahu ia pada masa dahulu sedia mengaku bahwa jauh sangat bezanya daripada dahulu. Adapun kejayaan yang besar ialah di jajahan Besut dan Kemaman di mana hasil makin bertambah sungguh pun kejatuhan harga-harga bijih dan getah. Maka jikalau sekiranya lombong-lombong orang-orang bangsa Jepun itu maju tidak dapat tiada akan menjadi ketambahan hasil dari Dungun dan Kemaman pada tahun yang akan datang, tetapi tiadalah pula boleh ditentukan kerana belum dinujumkan lagi.

Tanam-tanaman di dalam Terengganu banyak juga tetapi perjalanan tanam-tanaman di dalam negeri yang ketinggalan ke belakang hendaklah diketuai oleh orang-orang yang biasa di dalam hal tanaman dan molek juga di dalam masa ke hadapan dipinjam seorang atau dua orang pegawai-pegawai tanaman kerana menunjukkan kepada rakyat-rakyat bagaimana hendak dijalankan kerana kebanyakan mereka itu di dalam kejahilan berkenaan bercucuk bertanam.

Hutan-hutan kerajaan kebanyakan berisi kayu-kayu kapur dan cengal. Maka oleh itu didirikan pejabat hutan diketuai oleh pegawai-pegawai hutan yang bijak sebelum dijayakannya.

Adapun pekerjaan tenunan kain di dalam Terengganu sekarang sangat kekurangan kerana kebanyakan ahli-ahli penenun yang pandai telah berpindah ke Johor dan di sana mereka-mereka itu berharap akan mendapat keuntungan yang lebih: kain-kain Terengganu sekarang lekas sekali turun warnanya, kerana pencelupan yang dipakai tiada baik.

Pekerjaan membuat tembaga putih sedang dijalankan tetapi tiada berapa banyak. Perbuatan perahu-perahu di sini tersangat maju dan orang-orang Terengganu terpuji sekali perihal memperbuatnya.

Pisau Gillette, Kemaman.

Dari S.P.P.