![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 3 Oct 1931, p.6
Surat Kiriman.
Pemandangan Di Dalam Bandar Pekan, Pahang.
Sanya di sedikit bulan yang telah lalu penulis telah melawat ke bandar Pekan yang comel itu. Semasa penulis bercuti hanya dua minggu sahaja, jadinya di sini penulis bentangkanlah sedikit-sedikit apa yang telah dapat penulis perhatikan dalam bandar itu, kalau-kalau kiranya dipersetujui oleh Tuan-Tuan Pembaca sekalian bagaimana pemandangan penulis yang singkat ini, dan oleh harapan penulis semata-mata menuntut maaf kepada putera-putera Pahang terutama putera-putera yang dalam bandar Pekan. Jika sekiranya tersilap atau terlanggar bahasa sekali pun tidaklah sifatnya dengan sengaja penulis melakukannya, ialah oleh kerana kelecekan pena semata-mata.
Maka di antara Tuan-Tuan Pembaca agaknya tentulah banyak yang belum sampai ke bandar Pekan itu. Jika tidak ada apa-apa keperluan yang mustahak, ialah oleh sebab jauh dan kecil pula tempatnya atau bandarnya. Sungguh pun Pekan itu ada tersunting dalam tengah Semenanjung Malaya kita ini, adapun tempat yang bernama Pekan itu ialah satu bandar daripada wilayah Pahang dan ibu negeri Pahang juga. Boleh dikatakan yang mana termasuk dalam pemerhatian ((FMS)) dan di Pekan itulah tempat bersemayamnya Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Abdullah ibn al-Marhum al-Sultan Ahmad Muadzam Shah, siapa yang telah diangkat dan dimahkotakan menjadi Sultan memangku negerinya kepada tanggal 20 haribulan Jun 1917 M. di Kuala Pahang. Mudah-mudahan dipeliharakan Allah apalah kiranya ke atas Duli Yang Maha Mulia ini serta kekal memerintah atas takhta kerajaannya, Amin.
Jika sekiranya antara pelawat-pelawat hendak melawat melalui dari Singapura dengan perjalanan kapal hanya memakan tempoh selama 24 jam sahaja lebih kurang kelak tibalah ke Kuala Pahang, dan dengan mengedari motor bot pula lebih kurang sejam barulah tiba ke bandar Pekan yang comel itu. Udara di Pekan boleh dibilangkan baik juga kerana bandarnya berhampiran dengan laut, bandarnya tidaklah boleh dikatakan sunyi, jika dibandingkan dengan penduduknya.
Adalah Pekan itu penulis perhatikan penduduknya banyak daripada bangsa Melayu, sedikit sahaja bilangannya daripada bangsa asing bahwa tidak syak lagi jika kita katakan yang membeli barang-barang di kedai-kedai dalam bandar itu tiga suku bahagian daripada bangsa Melayu sendiri, tetapi di sinilah terbit pertanyaan penulis, mengapakah bangsa-bangsa Melayu itu tidak ada berhajat hendak membuka dan menjual segala barang-barang di kedainya sendiri?
Seperti menjual makanan pakaian seperti kedai-kedai bangsa asing yang ada di sana itu tampaknya sedikit-sedikit sahaja dalam bandar itu dalam empat lima pintu yang ada Melayu-Melayu berniaga itu pun ... tetapi tampaknya hampir-hampir roboh juga pintu orang Melayu itu oleh sebab dihimpit dan dilanda oleh bangsa asing itu, beserta pula dengan bangsa Melayunya yang sangat-sangat suka memberi peluang kerana melakukan dan melariskan serta mengayakan kepada bangsa lain Cina-Cina itu dengan mengalaskan perkataannya masing-masing.
Oh! Kita segan hendak membeli dan bertawar barang-barang di kedai Melayu kerana susah dan segan hendak bertawar dan sebagainya. Pendeknya, perkataan mereka-mereka itu jika penulis sebutkan di sini satu-satu, nescaya memenuhi ruangan "Saudara" ini. Memadailah kiranya sedikit-sedikit kerana agaknya tentulah pembaca sekalian telah cukup mengerti dan faham tentang kebodohan bangsa-bangsa kita itu siapa yang belum cukup mengerti bagaimana hendak menaikkan mutu bangsa dan tanahairnya.
Demikianlah yang selalu kita dapati rasmi mereka-mereka itu terutama orang-orang kampung yang boleh dikatakan mereka itu tiada sekali-kali memikirkan dengan jalan memberi peluang kepada bangsa asing itu bermakna punca memusnahkan bangsa sendiri.
Cuba kita perhatikan pula iakah saudagar-saudagar bangsa Melayu itu tidak cukup melayan dengan sempurnanya kepada si pembeli dari bangsanya sendiri bagaimana tauke-tauke bangsa-bangsa Cina itu membuat dan melakukan serta melayan kepada pembeli-pembelinya dengan berbagai-bagai pujuk puji dan pelemah ...?
Penulis fikir agaknya tentulah tauke-tauke bangsa Melayu itu ada lebih dan cukup cermat lagi dari bangsa asing tentang mencari persetujuan bagi pembelinya terutama bangsanya sendiri yang mereka itu berharapkan selama-lamanya.
Dan juga penulis perhatikan di pasat atau market dalam bandar Pekan itu kita dapati yang berjual segala barang-barang makanan buat hari-hari boleh dibilangkan semuanya dalam tangan Cina juga, langsung tak dapat kita melihat bangsa Melayu berniaga di pasar itu. Padahal si pembelinya semua orang-orang Melayu belaka.
Pendeknya, di Pekan itu penulis perhatikan tidaklah sama dengan anak-anak Melayu Kota Baru, Kelantan, yang mana jika kita melihat di pasarnya itu dari si pembeli hingga si penjualnya kesemua boleh dikatakan dari bangsa Melayu. Hanya yang kita dapati di Pekan itu pasar ikannya sahaja yang berjual dari bangsa Melayu ...!
Penulis percaya jika sekiranya berbangkit cita-cita anak Melayu di Pekan itu buat mengadakan kedai nasi, kedai kopi, kedai gunting, kedai beras, dan makanan hari-hari, kedai pakaian dan lain-lain lagi kepunyaan bagi anak-anak Melayu sendiri, tidak dapat tiada dalam sedikit masa sahaja perusahaan bangsa Melayu dalam bandar Pekan itu tentulah bertambah-tambah maju.
Maka sekarang kita dapati pengaruh bangsa asing itu hendak berumbi menjalar di mana bandar itu mereka yang berniaga yang berkedai, yang berusaha dan memegang kontrek memborong segala perniagaan Melayu di bandar itu tampaknya hampir-hampir tewas bangsa Melayunya oleh kerana kecergasan mereka bangsa Cina itu bekerja, oleh sebab itulah perusahaan bangsa Melayu jadi layu ...
Sungguh pun di Pekan itu ada orang-orang Melayu berdagang seperti membawa beras, rotan, garam, ikan kering, sagu dan lain-lain lagi yang berfaedah bagi masing-masing, tetapi penulis perhatikan orang-orang Melayu itu hendak mengambil layar perahunya pun payah ...!
Cubalah Tuan-Tuan Pembaca perhatikan!
Masa penulis berada di Pekan, kemarin pada suatu hari penulis telah bertanya kepada seorang nakhoda perahu Melayu di salah satu yang ada berlabuh di pangkalan bandar itu penulis tanya: berapakah awak menjual beras Siam pada seguni? Jawabnya, enam ringgit setengah ... tiba-tiba datang seorang ... serta bertanya pula katanya: Oi! Berapa mu berjual beras Siam pada seguni? Jawab nakhoda itu, lima ringgit setengah, kalau tauke hendak, ambillah!
Penulis pun terjampang sambil menggaru di belakang telinga serta mendengar lagi kata si tauke itu: baiklah, nanti esok kita boleh ambil dengan harga lima ringgit ...?
Kemudian pada itu, penulis rapat pula serta bertanya kepada nakhoda perahu itu, Ah! Ah! Mengapa awak kata kepada sahaya tadi beras Siam harga enam ringgit setengah. Pada hal kepada tauke itu tadi awak berkata harga lima ringgit setengah? Dan telah ditawarnya pula dengan harga lima ringgit sahaja serta tak jadi pula ia mengambilnya?
Jawabnya: Oh! Kalau sahaya tak buat begitu, esoknya payahlah hendak laku barang-barang sahaya ... kerana dahulu sahaya dah terkena dibuat oleh Cina-Cina itu sampai berminggu-minggu perahu sahaya duduk berlabuh di pangkalan Pekan itu, kerana barang-barang sahaya payah laku cuma berharapkan orang-orang Melayu sahaja membelinya sedikit-sedikit saya gamak tentulah tauke-tauke itu berpakatkah? Atau apa-apakah?
Demikianlah penulis perhatikan hal ehwal mereka itu, pendeknya perkara yang seperti itu sudah tentu Tuan-Tuan Pembaca yang bijaksana telah puas mendengar dan merasanya bagaimana himpitan dan tindihan bangsa asing ke atas kita Melayu siapa yang sedang dalam kelemasan. Tidaklah dapat penulis hendak menghuraikan satu persatu dalam makalah yang singkat ini memadailah kiranya sedikit-sedikit bukunya sahaja kalau dapat kiranya diperhatikan oleh bangsa kita sekalian dan jua putera-putera Pahang khasnya.
Tangtang!! Tangtang!! Tangtang!! Artinya pukul enam malam ... dewasa itu selalu kita dapati segala unggas semua mencari sarangnya, tetapi sebaliknya keluar sumpitan keluar dengan bermacam-macam warna pakaiannya merah, hijau, kuning dan berbaliklah warnanya terkibar-kibar ke sana ke mari terlalu hebat tampaknya mereka-mereka itu mencari mangsanya konon ... ?
Maka apakala kejam sahaja mata unggas pada masa itulah keluar pula belalang jantan kerana mencari ... wallahualam. Tak dapatlah penulis hendak menghuraikan bagaimana dan apa-apa tujuan tentang tiadanya mereka itu tetapi yang penulis hairan tentang tiadanya mereka itu belalang-belalang dan keluar itu berfikirkan hal kehinaan dan kekejian yang mereka itu perlakukan itu ada menepati dua perkara yang terbesar sekali iaitu ugama dan bangsa, sebabnya jika mereka itu keluar melakukan pekerjaan dengan sama sebangsa, sudah tentu tercela kepada ugamanya Islam tentang pekerjaan zina itu dan jika mereka keluar itu melakukan zina kepada bangsa lain sudah tentu juga terhina pula kepada kebangsaan Melayu.
Oleh hal yang demikian patut benar bagi kita pemuda-pemuda Melayu itu menjaga kesucian ugama Islam dan menolak keinginan bangsa kita Melayu, yang mana kerajaan sendiri pun telah berasa tentang merbahaya dan kehinaan itu telah menimpa ke atasnya. Bukti dan jasanya boleh dapat kita perhatikan di sedikit bulan yang lalu yang mana kerajaan telah menyekat dan memberhentikan segala lesen-lesen perempuan sundal itu, tidak dibenarkan sekali-kali mereka itu bermaharaja-lela dalam Semenanjung Tanah Melayu ini ...!
Tetapi sungguh pun hukuman itu telah dijalankan oleh kerajaan sendiri rupanya ada pula segala kumpulan keluar-keluar yang sangat merbahaya itu berterbangan di serata bandar di dalam Semenanjung Malaya ini, rupanya di Pekan juga ada sarangnya ... penulis fikir di bandar Pekan yang hanya sebesar ... tentulah segala keluar itu tidak berapa suka hendak bersarang di situ, tetapi rupanya fikiran kita dengan fikiran keluar itu tidak sama, patutlah banyak keluar di sana, kerana perempuannya pun banyak juga ...!
Itu pun satu daripada bahaya yang sebesar sekali yang sedang berlaku boleh dibilangkan di semua tempat di alam kita Semenanjung Melayu ini. Bahaya itulah yang patut sangat-sangat ditolak dan diberhentikan oleh pemuda-pemuda kita Melayu siapa yang sedang bergembira darah kemudaannya, oleh sebab kecelaannya atas ugama dan bangsa bagaimana yang telah lalu sebutannya di atas, dengan menutup sama sekali nafsu yang kesyaitanan itu bagaimana jua kerajaan menolaknya dengan menyekat segala lesen, keluar itu.
Keadaan anak-anak Melayu di Pekan itu boleh dikatakan rajin juga tentang bercucuk tanam bersawah berkebun dan sebagainya, dan dari Pekan itu ada mengeluarkan juga bermacam-macam barang yang berfaedah bagi masing-masing seperti kelapa, ikan, rotan, getah dan sebagainya. Dan fasal pekerjaan kuli membawa dan memungut barang-barang yang masuk dan keluar dari kapal dan perahu-perahu itu bolehlah dibilangkan dalam tangan orang-orang Melayu anak negeri, tetapi lelah dan kepenatan itu telah tentu sahaja terpulang kepada mereka itu. Sebabnya ialah tiga suku daripada barang-barang itu boleh dibilangkan kepunyaan orang-orang Cina belaka.
Adapun sekolah-sekolah Melayu dalam bandar Pekan itu bagus dan elok peraturannya munasabahlah dengan bandarnya yang comel itu yang mana peraturan itu telah diatur oleh ketua-ketua sekolah Melayu dan Inggeris yang datang dari negeri-negeri Melayu yang bersekutu terutama dari Selangor, pendeknya adalah contohnya serupalah dengan keadaan sekolah-sekolah Melayu dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu jua. Demikian sekolah perempuannya pun sama, dan juga al-Habib Hassan al-Attas Johor pun tidak ketinggalan khabarnya dalam Pahang itu kerana beliau telah mengadakan sebuah sekolah wakaf dalam daerah Pekan itu dengan memberi pelajaran bahasa Arab dan ilmu ugama Islam.
Dalam bandar Pekan itu penulis perhatikan sangat banyak murid-murid tua yang telah ketinggalan dengan mendapat pelajaran sekerat-kerat sahaja yang tidak dapat mereka-mereka itu hendak mengenal bagaimana cahaya atau rupa pelajarannya lagi semakin lama semakin jauhlah mereka-mereka itu ditinggalkan oleh peredaran masa yang sedang berlari senyap-senyap hari ini, pencariannya hanya membuat pekerjaan sendiri untuk mencari makan pagi dan petang sahaja. Pendeknya keadaan mereka itu tersangatlah rugi dan menyesal semata-mata kebanyakannya dari mereka itu dari keturunan Syed-Syed dan Melayu yang telah lepas dari sekolah ... sebabnya ketinggalannya .... ? Wallahualam, tak dapatlah penulis hendak menghuraikan satu persatunya.
Jika menurut fikiran penulis yang singkat ini patut benarlah kiranya bagi bapa-bapa yang mempunyai anak jika hendak menghantarkan anak-anaknya ke sekolah maulah berfikir, kiranya supaya dihantarkan ke tempat yang lebih berguna dan munasabah bagi umur anak-anak itu belajarnya kerana menghabiskan umurnya yang sedang berguna itu, supaya tidak mendapat kekesalan bagi kita terutama anak-anak kita siapa yang akan datangnya mengharung dalam lautan kemajuan bersama-sama dengan saudara-saudaranya kelak.
Pejabat-pejabat kerajaan di Pekan itu kebanyakan yang bekerja boleh dibilangkan anak-anak Melayu juga pada masa sekarang ini tetapi bangsa-bangsa asing seperti Indian dan Cina juga tidak ketinggalan.
Pemuda-pemuda Pekan tampaknya ada juga perusahaannya bagi menjalankan darah kesihatan masing-masing dengan bermain bola sepak, tennis dan sebagainya, tetapi masa penulis berada di sana, belum penulis dapat melihat mereka-mereka itu bertanding dengan siapa-siapa pun dari dalam mau pun dari luar bandar Pekan itu. Tetapi tersangatlah sayang penulis tidak sempat hendak menyaksikan hari kemuliaan bagi Pahang, iaitu hari di putera Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang itu.
Tetapi penulis mendapat khabar di tahun ini tidaklah berapa ramai bagaimana tahun yang sudah-sudah oleh kerana bahaya meleset dan selam yang dahsyat ini.
Sekarang dua jalan-jalan raya yang sedang dikerjakan oleh kerajaan satu dari kononnya dan yang lain dari beberapa jalan-jalan itu barangkali tidak lama lagi akan siap. Agaknya jika sudah siap jalan-jalan itu tentulah bandar Pekan akan bertambah-tambah ramai lagi dari sedianya dan motokar-motokar pun bertambah-tambah banyak juga. Tampaknya sebelum banyak-banyak kereta-kereta dalam Pekan itu pada masa ini, tetapi Company Asiatic Petroleum telah mendirikan bangunan tempat menyimpan minyak dalam bandar itu.
Bandar Pekan itu tampaknya tiada satu pun kelab-kelab kepunyaan bangsa Melayu sendiri yang mana di Pekan itu penduduknya banyak bangsa Melayu. Tetapi sebaliknya bangsa Cina yang menumpang begitu sedikit bilangannya mereka telah mengadakan dua tiga buah kelab-kelab kepunyaan mereka itu. Oleh sebab ketiadaan persekutuan dan kelab Melayu, bagaimanakah bangsa-bangsa Melayu boleh maju dengan lekas buat menyokong menolong bangsa dan tanahairnya ... sekianlah pemandangan penulis yang singkat pengetahuan ini.
Kerana penulis berbesar hati juga kerana berharapkan menjadi pertimbangan dan pemandangan ramai-ramai. Jika di Eropah, majalah-majalah dan akhbarnya ada menyediakan Pengarang di dalam perjalanannya ((Travelling Editor)) dengan membentangkan pemandangan masing-masing di tempat-tempat yang mereka lawati. Demikian juga kita Penulis-penulis dan Pembaca-pembaca yang biasa berjalan-jalan di Semenanjung Malaya kita ini pun jadilah, kerana menumpang membentangkan pemandangan kita ke dalam suratkhabar-suratkhabar saudara-saudara kita yang bertaburan dalam Semenanjung ini supaya mudah-mudahan mengembangkan cita-cita bangsa kita kelak, oleh kerana ini saya banyak menerima kasih kepada akhbar Saudara dan pengarangnya kerana perusahaannya itu. Demikian jua kepada Pembaca sekalian. Was-salam dan Maaf dari Penulis adanya.
top |