Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 3 Oct 1931, p.1

Leader Article.

Fikiran Bangsa Cina Kerana Cintakan Negeri atau Tanahair.

Di dalam suratkhabar "Straits Echo" yang diterbitkan pada 25 haribulan September, kita bacai sesuatu rencana "Surat Kiriman" daripada penulisnya yang bertanda "The Young Explorer" demikian bunyinya:

"Cina Pada Masa Ini. Kepada Pengarang ‘Straits Echo’.

Tuan,

Adapun tanah Cina yang telah berkacau-bilau itu telah berlaku dengan tiada berkeputusan terus menerus di dalam beberapa tahun yang sudah dan pada masa ini berjumpa lagi suatu hal yang belum pernah kejadian terlebih dahulu di dalam zaman kemajuan.

Baru-baru ini kita ada mendengar suatu kejadian air bah yang dahsyat yang menyebabkan bermillion-million manusia mendapat bahaya kesengsaraan dan juga bahaya kelaparan serta penyakit. Tanggungan yang dideritai oleh mereka-mereka yang kemalangan itu tiadalah dapat terfikir lagi.

Dan sekarang ini perkhabaran percederaan di atas hal-ehwal mencuri bertalu-talu datangnya. Di dalam tangan Kerajaan Kebangsaan terpegang sesuatu pekerjaan yang sangat penting. Ia tengah menghadapi suatu kejadian yang berkehendakan bukan sedikit tenaga dan kemauan yang bersungguh-sungguh. Tujuan Cina yang selok-beloknya bolehlah kita lihati daripada ucapan Dr. C.T. Wong yang berkata: Kita bolehlah korbankan nyawa dan rumah tangga ((harta benda)) kita, akan tetapi kita sekali-kali tiada boleh serahkan walaupun sesuatu bahagian daripada negeri kita atas mana-mana jua yang didapati daripada turun-menurun datuk negeri neneki kita semenjak beribu-ribu tahun dahulu.

Akan tetapi Cina telah meminta pertolongan dengan kepatutan kepada majlis bangsa-bangsa di dunia pada masa yang suntuk ini. Biarlah kita berharap yang majlis bangsa-bangsa di dunia kelak akan melangkah masuk pada waktunya yakni terlebih dahulu sebelumnya berlaku pergaduhan daripada segala bangsa-bangsa peperangan besar yang sudah telah memberi pengajaran bagi kita akan sesuatu pengertian yang pahit. Biarlah kita berdoa yang Rencana [illegible] ((yakni surat perjanjian perdamaian dunia yang disyorkan oleh [illegible] utusan Amerika dahulu. Pengarang)) jangan menjadi suatu karut dan fasal tujuan mengurangkan senjata perang dunia itu jadi kosong sahaja".

Sekianlah bunyi tulisan seorang penulis "The Young Explorer" atau "Penyelidik Siasat Yang Muda", itu di dalam suratkhabar orang putih S.E. yang tersebut. Apa-apa tujuan dan makna maksud yang dikehendaki oleh penulis di dalam rencana itu biarlah kita lalukan begitu sahaja.

Akan tetapi, yang kita hendak berkata ialah apa-apa seruan yang terkandung di dalam ucapan Dr. C.T. Wong yang ringkas itu dan apatah pula tujuan perhatian penulisnya ketika memahamkan maksud perkataan itu.

Kita silakan pembaca membacai semula akan kalimat itu. Kita memujikan seseorang bangsa Cina menyeru umatnya kerana perasaan cinta dan kasih mesra akan bangsa dan negeri datuk neneknya turun temurun atau yang asli semenjak beribu tahun dahulu yang mereka itu akan membela walaupun "korbankan nyawa dan rumah tangga atau harta bendanya!", iaitulah kewajipan orang-orang Cina kerana cintakan tanahair sendiri dan menghormatkan kebesaran bangsa dan kerajaannya sama.

Akan tetapi, adakah pula mereka-mereka orang Cina yang tersebut memikirkan yang demikian itu menjadi kewajipan atau keinginan juga bagi bangsa-bangsa lain umum dan bangsa Melayu khusus dan adakah mereka-mereka itu boleh mengambil insaf daripada kecintaannya akan tanahair dan kebesaran bangsa dan kerajaannya itu, maka ia tidak pula bercita-cita akan menghendaki kebesaran atau kemuliaan di atas tanahair orang lain yang ada mempunyai negeri datuk nenek dan bangsa serta kerajaannya sendiri?

Boleh jadi penulis "The Young Explorer" yang muda itu tidak melupakan ini, akan tetapi kecerdikan orang-orang sebangsanya yang telah kaya raya dan bijak pandai di negeri orang lain tiada merasai puas hati apabila jawatan kebesaran negeri atau kerajaan orang lain ini belum terpegang di tangannya seperti mana pegawai-pegawai atau hakim pemerintahan walaupun di negerinya sendiri ia akan mengorbankan jiwa dan harta benda kerana membelakan walaupun sebahagian tan di mana-mana.

Inilah jua sesuatu daripada perasaan "keadilan" dunia di zaman ini yang sesungguhnya sangat-sangat patut akan diadili lagi oleh kekuasaan Tuhan yang maha kuasa daripada sekaliannya itu.

Biarlah kita berharap yang pihak kerajaan kita akan terlebih lagi mengambil insaf di atas rakyatnya yang masih kekurangan pengetahuan dan harta benda di atas negerinya sendiri ini daripada mereka-mereka yang mau mengorbankan nyawa dan rumah tangganya kerana kasih sayang akan negeri tan yang asli itu.