![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, Oct 1931, p.??
General Article.
Kemajuan dan Kejatuhan Bumiputera.
Di dalam bilangan 150 suratkhabar Saudara penulis terangkan sebab kejatuhan. Sekarang penulis sambungkan lagi sebagai berikut. Dahulunya adalah pekan yang tersebut tiap-tiap suku daripadanya adalah kepunyaan dan milik bumiputeranya, tetapi sekarang adalah menjadi sebaliknya.
Pekan makin sehari makin besar biar pun zaman meleset buat bumiputera bertambah maju beransur-ansur masuk ke hutan mendaki bukit buat mencari rezekinya. Sedang yang masih tinggal hiduplah mereka di dalam golongan melarat inilah bilangan yang banyak.
Dahulunya adalah menjadi tanah pesaka daripada datuk nenek masing-masing sebaliknya sekarang sudah dierti oleh anak cucu cicit berbuat-buat bangsa Tionghua ((Cina)) dan Indian. Rumah-rumah batu yang besar-besar dan molek pemandangan mata dan mengejek-ejek akan anak-anak mana bumiputera itu semuanya ada di tangan bangsa asing. Sebaliknya rumah-rumah yang kecil dan hodoh itulah kepunyaan bumiputera. Percayalah kalau kejadian ini terus menerus bumiputera kelak menjadi ... tempat yang sangat-sangat dihormati oleh bumiputera ialah masjid.
Ya, itu pun yang akan datang tempat melalaikan hati-hati dan memuaskan syurga dunia dikelilingi bakinya di salah satu masjid pekan yang tersebut tak berapa jauh perantaraannya sudah menjadi tempat kupu-kupu malam, tempat-tempat yang melalaikan hati pemuda-pemuda daripada semua golongan bangsa, Masyallah! Apakah yang akan jadi demikian hari itu atas pengetahuan Allah.
Kejadian yang keji semacam ini berhampiran di masjid Islam hanyalah menjadi ... sahaja di mana bumiputera tak ada yang mau mesyuarat buat menghapuskan agaknya leka dengan mengatakan dunia sudah tua. Dunia akhirul-zaman. Hidup bumiputera dengan berpecah-pecahan dan qiblat-qiblat bangsa asing, hidup dengan rezeki yang sempit, hidup dengan pencarian yang kecil, adalah penduduk-penduduk terbahagi tiga.
Tingkat pertama iaitu hidup senang, disebabkan kaya, dan bolehlah dianggap senang hidupnya. Dan bilangan ini hanyalah sedikit apa lagi kalau dibandingkan dengan bangsa asing.
Pangkat yang kedua hidup sederhana, bererti bumiputera yang bekerja dengan pemerintah, tetapi itu pun hanyalah kepada mata kasar, sedang kalau dihalus-halusi banyak benar tanggungannya, bukan sahaja anak dan isteri malah saudara daging pulak mintak bantuan daripadanya.
Pangkat yang ketiga hidup melarat, hidup susah dan sengsara, tak ada pekerjaan dan pencarian biar pun ada hanyalah tak mencukupi kepada keperluan, hidup dengan pencarian yang sedikit dan rezeki yang sempit, hidup dengan tak mendapat pelajaran yang sempurna, harta kehasilan daripada kampung halamannya tidak boleh malah kosong sama sekali, inilah golongan yang banyak buat bumiputeranya, buat zaman selam air, berkesedihan sahajalah yang ada kepada mereka, dan keluh-kesah, dengan hati yang sedih-sedihan, kalau kejadian ini hidup terus-terus apakah bakal terjadi itu tidak dapat tiada penulis katakan,
Tak diharapkan perbantuan daripada para Tuan-Tuan bangsanya supaya menolong mereka yang melarat laksana pungguk merindukan bulan: kerana mereka tidak lain hanyalah indah khabar daripada rupa, dan seperti gendang raya, dipalu berbunyi, dibelah kosong. Hanyalah mengaku sahaja hidup di dalam tujuan social atau socialism malah tak bererti sama sekali, sayang di sini bukan tempat kalau tidak tentulah penulis lukiskan apakah pengertian socialism supaya bangsa penulis mengerti gunanya persatuan yang berhaluan social.
Apakah artinya buat bumiputera yang melarat?
Seperkara lagi, anak-anak muda kita yang sudah tau bahasa Inggeris bukan sahaja di pekan tersebut malah di seluruh Malaya, banyak benar bilangannya tak ada pekerjaan itu pun menyusahkan benar kehidupan ibu bapa masing-masing yang hidup miskin, melarat yang berharap benar akan pertolongan anaknya yang mendapat pelajaran sekadar yang ditanggungnya.
Di sini penulis berfikir apakah nasibnya yang amat berat ditanggung oleh bangsa penulis sedang kehidupan mereka selalu berlawatan dengan bangsa asing iaitu Tionghua dan Indian.
Di dalam golongan ekonomi, sudahlah kaum Cina dan Indian yang memegangnya kenapa pula golongan pekerjaan sama pemerintah bangsa-bangsa yang tersebut mau turut juga, sedang mereka hidup senang yang bumiputera hidup susah?
((Maksud penulis ialah buat bandingnya bukannya hasad kerana kesenangan mereka)) tak dikata anak bumiputera masih bodoh, penyegan, pelatut, pemalas, dungu, walhal mereka sudah mendapat pelajaran atas kudrat, bukannya tiga puluh tahun dahulu.
Sungguh pun begini melaratnya bumiputera tak ada satu persatuan yang membawa berusaha buat berjasa kepada bangsanya, hanyalah leka dengan ... sahaja.
Pekan Ipoh makin bertambah-tambah besar dan maju biar pun zaman meleset. Tetapi apa yang penulis lukiskan ialah kejatuhan dan kelewatan bumiputeranya.
Penulis seorang daripada anak bumiputera mengemukakan hal ini di dalam Saudara yang cemerlang ini ialah sebagainya kewajipan buat peringatan di kemudian hari kepada berbuat-buat kita agar menjadi tauladan, oleh sebab melarat bumiputera dan tak ada yang mendapat pelajaran sempurna.
Maka itulah sebab-sebabnya bumiputera hidup senyap-sunyi laksana negara adalah musuh. Ya, cuba perhatikan di Kelantan, di Johor, Selangor dan Terengganu juga, tak putus kedengaran suara bumiputera buat mencari kemajuan bangsanya. Sebaliknya, buat kita ada ... sekarang perusahaan bumiputera tak ada yang mereka tak kemudikan kerana kelemahan, kesusahan, apalagi capital, "modal", sedang untuk bertanam jagung dan berkumpul pun tak ada.
Buat kaum yang kaya perkara hendak memajukan ekonomi dan menolong bangsanya ada jauh panggang daripada api. Pendeknya, tak menjadi salah kepada penulis apabila penulis katakan busut juga ditimbun oleh anai-anai. Dan bertimbang rasa itu kepada yang sudah menggali bererti senang menolong si senang, kaya menolong si kaya, dan susah dengan si susah, lebih jauh si melarat tak usah berharap pertolongan si senang.
Agaknya perkataan penulis ada luar biasa terdengar oleh kaum dan bangsa penulis, tetapi ini ada baiknya supaya mereka tak diberi masing-masing baik yang senang mau pun yang susah!
Wahai Bangsa! Sedarlah! Sedarlah!
Marilah kita bersatu buat bangsa dan tanahair kita.
Wahai bangsa wahai kaum bangkitlah, bangkitlah, sedarlah, sedarlah!
Marilah bersatu buat mencari kemajuan bangsa mencari kemajuan bangsa dan tanahair kita ingatlah! Ingatlah.
Buat bangsa dan tanahair kita bangun, bangunlah!
Setakat inilah dahulu penulis berhenti Inshallah akan di sambung lebih lanjut daripada ini.
top |