Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 17 Oct 1931, p.1

Leader Article.

Kesedaran Perempuan Melayu Bagi Kemajuan Kaumnya.

Telah berulang-ulang di dalam Saudara ini kita muatkan rencana lawatan Encik Zainon binti Sulaiman ((Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Melayu Johor)) ke negeri-negeri di sebelah Utara Tanah Melayu ini.

Bagaimana telah dimaklumi, bahwa tujuan yang pertama sekali bagi sebab lawatan ini ialah kerana meluaskan pemandangan dan pengetahuan apa-apa jua keadaan dan peraturan pelajaran anak-anak kaum sejenisnya di dalam tiap-tiap pihak dan negeri bangsanya, bahkan untuk jadi pemandangan atau tunjuk teladan yang ia boleh bekerja dan bergeak lebih sempurna daripadanya kerana dipaksa oleh cita-cita keutamaan bangsa dan kaum yang di dalam dadanya.

Di dalam hal ini, tidaklah kita lupakan jasa pertolongan ketua jawatannya, iaitu Yang Berbahagia Tuan Jasmin ((Penguasa Jawatan Pelajaran Johor itu)) siapa yang telah memberi kelapangan dan pengetahuan baginya akan berkenalan dan mendapati kebenaran yang luas daripada ketua-ketua pelajaran tiap-tiap negeri yang dilawatinya bagi kesempurnaan cita-cita yang mulia itu.

Kita sangkakan daripada permulaan bahwa perhatian atau kemauan seseorang perempuan Melayu itu tidaklah boleh diharapkan memberi guna bagi pergerakan kaum jenisnya, khusus atau pun bangsanya umumnya.

Tetapi sangkaan yang demikian itu semenjak ini agaknya akan terhapus daripada tarikh umat Melayu kita di Semenanjung ini. Bahkan tiap-tiap kaum itu boleh bergerak dan boleh bekerja di dalam lingkungan khas atau umum apabila ia diberi keluasan yang berpatutan.

Di dalam perjalanan keretapi yang bilang ratus batu itu bersama dengan ibunya yang sudah tua dan seorang pembantunya yang masih muda, iaitu Encik Fatimah, Guru Pasukan Sekolah-Sekolah Perempuan Batu Pahat, datanglah Encik ini dari Selatan Tanah Melayu ke pihak Utara dengan bilang ratus batu lagi menaiki motokar kerana melawati sekolah-sekolah perempuan dan laki-laki diceruk-ceruk negeri bahagian Utara Semenanjung ini.

Di dalam pada itu, ia dapat jua mengadap dan menjumpai beberapa orang kaum isteri dan puteri-puteri bangsanya. Inilah suatu keteguhan hati yang tulus ikhlas dengan tidak mengenang akan kepenatan kesusahan atau kerugian diri sendiri oleh berkehendakan kesedaran kaumnya akan mencapai kepada kemajuan yang layak ia mendapati.

Sesungguhnya kita boleh berbesar hati lagi bahwa kita lihati kedatangan Encik ini telah diterima dan diraikan oleh kaum sejawat dengan sejenisnya pada mana-mana tempat itu dengan adat peraturan dan kesukaan yang sempurna, serta mendapat perbantuan daripada pihak-pihak laki-laki di dalam serba jawatan negeri bagaimana yang telah lalu rencana perjalanannya di dalam Saudara ini.

Maka besarlah pula kepercayaan kita, mudah-mudahan daripada hari perjumpaan yang tersebut pihak Encik-Encik Guru Perempuan dan Kaum Ibu kita yang terkenal dan ternama di negeri-negeri Utara Semenanjung ini telah semulai pula menyingsing lengan bajunya masing-masing kerana mengerak dan memimpin kaum sejenisnya bersama-sama bagaimana yang telah dilakukan oleh Kaum Ibu di Selatan ini kerana iaitulah mustahak bagi tiap-tiap bangsa yang hendak merebut tiap-tiap kemajuannya yang sebenar.

Kita harapkan di pihak Utara ini juga akan zahir "Encik Zainon" yang kedua atau yang ketiga hingga seberapa yang dikehendaki dengan bergerak dan bekerja bagi meluaskan cita-cita "Encik Zainon" yang pertama itu. Tidaklah harus tiap-tiap perhimpunan itu menaruh segan atau malu kepada sesuatu hal yang tidak patut disegan atau dimalukan mengikut kesucian ugama yang sebenar! Kerana daripada tiap-tiap Kaum Ibu yang penyegan dan pemalu demikian itu tidak sekali-kali akan dapat menzahirkan puteranya melainkan yang malas dan bodoh jua adanya.