Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, Oct 1931

Surat Kiriman.

Zaman Moden.

Al-Mukarram Tuan Pengarang Saudara,

Ihsan apalah kiranya Tuan menyelitkan rencana saya ini di mana-mana celah ruangan akhbar Tuan yang permai itu. Moga-moga kelak datanglah pada tiap-tiap hati bangsaku itu perasaan yang menayangkan mutu bangsanya pada setinggi-tinggi darjat kemuliaan dan kemanusiaan.

Sanya, tampaknya adalah kehidupan manusia ini jika dibandingkan dengan kehidupan manusia pada kurun yang telah lalu sangatlah berbezanya dengan kehidupan manusia pada hari ini.

Perbezaan itu bukanlah dikenakan pada sisi seseorang sahaja. Bahkan meliputi pada semuanya ialah pada sebarang apa-apa perkara pun.

Baik tentang pekerjaan, baik tentang pergaulan hidup, baik tentang pertuturan di dalam perbahasaan yang mengandungi adab kesopanan dan lain-lain jua ... tampaknya di dalam sepanjang-panjang masa yang telah ditauladani serta diperbuat oleh bangsa-bangsa kita itu bolehlah dikatakan bahwa bangsa-bangsa kita ini sudah bererti bagaimana kegunaan hidup yang berfaedah ini.

Sungguh pun di dalam masa yang kesusahan ini didapati bangsa-bangsa Melayu kita ini ditimpa oleh bermacam-macam kesusahan. Tetapi tampaknya belumlah ada lagi semacam bangsa-bangsa asing ((Cina)) itu sehingga menghabiskan ikhtiar masing-masing hingga redha mereka itu membenarkan kaum-kaum perempuannya menjualkan maruahnya dimerata-merata kedai-kedai kopi oleh kerana terasa sangat kepedihan kesusahan itu pada sisi mereka itu ((Cina)). Jika tidak, digalangkan oleh undang-undang yang keluar dari pejabat kesihatan baru-baru ini, tentulah beberapa banyak daripada anak-anak perempuan mereka itu yang sudah mencapai setinggi-tinggi pelajaran di dalam segenap-genap sekolahnya kelak pergi menjualkan dirinya di merata-rata kedai-kedai kopi dengan tidak ada harga pun.

Tetapi sungguh pun begitu di atas hal mereka itu sekali-kali tidak boleh dihairankan bagi perjalanan nazamnya, tetapi mengapa pula selalu penulis dapati yang bangsa-bangsa kita ini ((Melayu)) sangat lekas meniru atau mentauladani bangsa-bangsa itu ((Cina)) dengan tidak tilik pandang serta melanjutkan fikirannya di atas tipu helah mereka itu ((Cina)) ialah jalan membawakan bangsa-bangsa kita kelak ke dalam lembah kemajuan dan kehinaan.

Kerana jika diluaskan pemandangan nescaya kita dapati beberapa buah kedai-kedai bangsa kita ((Melayu)) sama ada besar atau kecil perniagaannya di merata-rata Semenanjung ini, tampaknya perniagaan itu semuanya maju, bahkan bertambah-tambah lagi majunya daripada kedai-kedai bangsa-bangsa asing ((Cina)) yang bermodalkan kaumnya perempuan itu.

Sesungguhnya begitu, tetapi kedai-kedai bangsaku ((Melayu)) yang dan lain-lain daripada tempat yang akan penulis sebutkan ini belumlah lagi agaknya mendapat gelaran dari orang-orang ramai dengan sebutan Seri Panggung ... tetapi di salah suatu bandar yang terbesar sedikit semacam di Gopeng, kerapkali penulis terdengar suara-suara dari orang ramai menyebutkan Seri Panggung Gopeng, penulis fikir barangsiapa jua pelawat-pelawat yang sudah sampai di bandar Gopeng ini tentulah sudah mengetahui bagaimana keadaannya rupa yang digelarkan .... oleh pemuda-pemuda itu.

Bukan sahaja pemuda-pemuda Melayu maulah bangsa-bangsa asing ((Cina)) pun tahu menyebut di atas gelaran itu.

Selalu jua terdengar pemuda-pemuda bangsa itu berkata sama sendirinya atau mengajak kawan-kawannya itu berjalan dengan berkata "marilah kita pergi berjalan di kedai Melayu yang ada .... Itu, sekurang-kurangnya dapat kita memuaskan nafsu pemandangan, kerana masa perempuan-perempuan kita menjadi pelayan di merata-rata kedai-kedai kopi dahulu selalu pemuda-pemuda Melayu itu datang menghibur hatinya dengan bergurau-gurau.

Sekarang perempuan bangsa kita sudah berhenti menjadi pelayan di merata-rata kedai-kedai kopi itu. Marilah pula kita pergi bergurau dengan perempuan Melayu yang duduk seperti suatu penaung-penaung di kedai-kedai itu".

Beginilah rupanya bangsa-bangsa Cina itu mempalsukan di atas perempuan bangsa kita ((Melayu)) itu dengan tidak sedikit pun bangsaku itu menghiburkan ... sama ada isterinya atau orang gajinya. Di manakah perginya perasaan kemanusiaan itu yang akan menaikkan mutu bangsanya kerana menghormatkan agama Islam yang maha suci ini. Atau pun adakah bangsaku itu ... sudah membuang sama sekali daripada peraturan agama yang mulia ini?

Lazimnya hingga redha mencemarkan muka kaum perempuan itu dengan tidak ada harga sedikit pun. Had ini penulis merebahkan pena biarlah sedikit-sedikit dahulu lama-lama menjadi bukit berbanyak-banyak menuntut maaf pada sisi Tuan-Tuan Pembaca jika apa perkataan yang terkhilaf penulis keluarkan terlebih dahulu dan Tuan Pengarang kerana ruangannya.

Was-salam.

Mail Tram.