![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 12 Sep 1931, p.1-2
Feature Article.
Kebimbangan Orang-Orang Cina. Syarah Yang Berhormat Mr. Lim Cheang Ean.
Yang Berhormat Lim Cheang Ean, ianya telah bersyarah di dalam Y.M.C.A Singapura pada hari Sabtu 29 haribulan August yang lalu, Mr. Chew Kwan Seng telah menjadi pengerusinya. Hanya sedikit sahaja bilangan orang yang hadir mendengarnya: kata Straits Times:
Ia telah berkata perkara yang disyarahkannya itu sangat mustahak bagi orang-orang yang betul kasih dan sayangkan bangsa Cina. Ia telah menyatakan bagaimana bangsa Cina itu telah merebak pada serata benua Asia.
Berkenaan dengan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, ia berkata yang ia harap perubahan-perubahan perintahan dan cadangan-cadangan hendak menambah kuasa dan pekerjaan State Council dalam negeri-negeri itu tidak akan menutup peluang orang-orang Cina yang telah diperanakkan dalam negeri-negeri itu dan yang telah diberi pelajaran dari sekolah-sekolah yang ditanggung belanjanya ((baik kesemuanya ataupun separuh)) dari wang hasil yang dipungut dari orang ramai.
Ia berharap yang kerajaan di dalam tujuannya hendak menolong menjayakan anak-anak Melayu tidak akan melupai kesusahan budak-budak Cina yang diberi pelajaran dalam sekolah-sekolah di negeri itu.
Budak-budak Cina itu katanya leka dan asyik dengan hal kesusahan pertandingan hidup sehingga mereka itu tiada mempunyai peluang ataupun kemajuan hendak membuat propaganda bagi mengembangkan tuntutan-tuntutan dan haknya.
Niat dan cita-cita mereka itu semata-mata hendak menahankan ((menggenggam)) dan menambah lagi dengan seberapa daya upayanya akan apa-apa yang telah diperoleh oleh nenek moyangnya dalam negeri itu.
Ia percaya dalam State Council yang akan diubah dan dipinda itu, orang-orang yang akan mengemukakan sekalian hal mereka itu akan dipilih daripada orang yang pandai yang boleh membezakan di antara orang-orang Cina dagang dan orang-orang Cina yang bukan dagang.
Kemajuan hak-hak politik orang-orang Cina yang bukan dagang itu dalam negeri anggotanya boleh jadi tertahan katanya oleh keinginan yang kuat dan kurang cermat daripada negeri Cina yang hendak mengaku sekalian orang-orang Cina di dalam negeri Raja-Raja Melayu itu supaya tertakluk kepada negeri Cina.
Baru dalam sedikit tahun ini sahaja telah kedengaran suara yang mengatakan Melayu bagi Melayu katanya, belum lama lagi setia usaha kepada kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu telah memberi tahu orang-orang ramai dalam suratkhabar mengatakan yang tujuan kerajaan itu hendak melebihkan anak-anak Melayu pada tentang timbangan memberi jawatan-jawatan kerajaan. Penasihat British Negeri Kelantan pula dalam kenyataannya yang akhir telah berkata yang kontrak-kontrak pekerjaan raya negeri itu tidak diberikan kepada orang Cina.
Committee bagi memajukan tanaman padi itu baru lagi mengeluarkan kenyataannya dan di dalam kenyataan itu boleh didapati yang cadangan-cadangan hendak memberi tanah padi kepada orang-orang Cina itu telah ditolak dan tiada dibenarkan barang ke mana pun kamu pusingkan mukamu, katanya. Kamu akan tampak benda-benda yang terang yang menunjukkan tiada percaya dan bimbang kepada orang-orang Cina itu.
Apakah sebabnya maka jadi sekalian ini? Adakah iaitu dengan propaganda orang-orang Cina yang kasihkan watannya. Negeri Cina! Dalam negeri ini?!
Sebarang apa pun sebabnya itu tidak syak lagi bahwa yang menanggung kesusahan itu bukannya orang-orang Cina yang telah diberi pelajaran di sekolah-sekolah Cina tetapi ialah orang-orang Cina yang bertambah-tambah ramai tiada tahu menulis dan membaca bahasanya siapa yang pergi ke sekolah-sekolah Inggeris dari umur 7 atau 8 tahun dan belajar bahasa Inggeris di situ selama lebih kurang sepuluh tahun, kerana pengetahuan Inggeris itu difikirkan mustahak buat bekerja dalam gudang-gudang orang putih dan pejabat-pejabat kerajaan.
Tampaknya telah menjadi pension sekarang ini menyuruh orang-orang Cina yang seperti itu balik kepada negeri Cina; jika mereka itu tiada puas hati dengan hal-hal keadaan yang bertambah-tambah payah dan susah itu.
Kemudian, ia telah mengenakan peraturan beristeri banyak atau peraturan memakai gundik di antara orang-orang Cina itu kononnya menjadi suatu halangan yang menahankan percampuran di antara pembeli-pembeli orang-orang putih dan ia meminta orang-orang Cina itu membuangkan adat itu.
Kononnya supaya dapatlah bercampur gaul dengan bebas dan sama taraf dengan orang-orang putih bangsa pemerintah itu.
Kemudian pula ia telah mengatakan dengan berterus terang perasaannya yang memikirkan tiada patut sekolah-sekolah Cina itu tidak ditanggung dan dimajukan oleh kerajaan seperti sekolah-sekolah Melayu.
Ia dukacita benar tampaknya yang wang-wang hasil yang dipungut dari orang ramai itu digunakan beberapa banyak untuk memajukan sekolah-sekolah Melayu dan Kolej Sultan Idris di Tanjung Malim. Di sini tampaknya Mr. Lim Cheang Ean telah lupa bahwa wang yang bermillion-million dibelanjakan daripada hasil-hasil negeri tiap-tiap tahun dalam Tanah Melayu ini di atas jel, hospital, rumah sakit gila, tempat orang kena sakit kusta, dan lain-lain itu 90 persen faedahnya didapati oleh orang-orang Cina. Ia lupa barangkali yang orang-orang Melayu yang lebih ramai dalam Semenanjung ini pun membayar cukai jua di atas tanah-tanah sawah dan getahnya.
Ia telah mengatakan pada awal syarahannya bahwa cita-cita yang bukan dagang itu tiada belajar bahasa Cina melainkan pergi belajar bahasa Cina melainkan pergi belajar bahasa Inggeris di sekolah Inggeris.
Adakah tujuan Mr. Lim Cheang Ean itu hendak meminta kerajaan supaya menanggung dan memajukan sekalian sekolah-sekolah Cina di mana murid-murid dan guru-gurunya itu sangat kuat kasihnya dan ketaatannya kepada negeri Cina?
Wang kerajaan selama ini yang bermillion-million ringgit termasuk wang-wang kerajaan negeri-negeri Melayu yang dibelanjakan di atas sekolah-sekolah Inggeris pada serata Semenanjung ini siapakah yang lebih sekali mendapat faedahnya?
Jikalau diperhatikan bilangan anak-anak Cina yang memenuhi dan mengambil faedah dalam tiap-tiap persegi kaki bilik-bilik sekolah itu tampaklah yang mereka itu ada dapat lebih hasil dari sekolah-sekolah Inggeris yang mahal dan besar belanja itu.
Adakah anak-anak Melayu itu berasa iri hati atau sakit hati seperti Mr. Lim Cheang Ean selama 35 tahun yang lalu?
Kita tahu yang Mr. Lim Cheang Ean tidak akan jemu daripada menanamkan perasaan hatinya itu ke dalam fikiran anak-anak Cina di Semenanjung ini selagi ada umurnya.
Iaitu seperti bagaimana ucapannya yang telah dikeluarkannya dalam Pulau Pinang sedikit masa dahulu. Tetapi sebaliknya ia patut berfikir yang beberapa orang anak-anak Melayu tidak akan jemu daripada mengemukakan hak-hak bangsanya pula selagi ada nyawa di badan mereka itu.
Orang-orang Melayu dari semenjak mereka itu berkenalan dengan bangsa Cina di negeri ini telah hidup dengan baik dan ramah mesra dengan orang-orang Cina itu baik orang-orang Cina itu peranakan Semenanjung ataupun mereka itu anak totok dari negeri Cina. Tetapi apabila orang-orang Melayu itu telah celik sedikit dan telah mencuba pula bersayang-sayang hendak membuka kedai-kedai kecil di dalam kampung-kampung dan apabila didapatinya rupanya orang-orang Cina yang berniaga itu busuk hati dan hendak menekan dan menjahanamkan percubaan-percubaan Melayu itu.
Maka pada masa itu baru mereka itu tahu bahwa rupanya kasih sayang dan ramah mesra yang disangkakan benar oleh orang-orang Melayu selama ini ialah kasih sayang dan ramah mesra yang hendak melitupkan kepala Melayu selama-lamanya?
Janganlah ada mana-mana hendak mencuba berkedai pula atau pun hendak mengambil sewa motorbot di sungai negeri nenek moyangnya.
Maka dilawanlah oleh Cina-Cina itu mereka itu bermusuh. Itulah sebabnya yang terutama sekali; maka jadi perasaan Melayu itu seperti sekarang ini. Orang-orang Melayu tidakkan selamanya boleh ditekan-tekan dan dikikis oleh orang Cina.
Pada fikiran kita jikalau sebenarnya ada anak-anak Cina peranakan itu yang tidak memperdulikan lagi akan negerinya melainkan semata-mata kasih dan mengingatkan negeri ini seperti watannya; dan bilangan mereka itu yang seperti itu kita percaya sedikit benar.
Terlebih baiklah mereka itu lebih-lebih meramahkan diri dan berbuat baik kepada Melayu dengan tidak mencuba hendak menarik pula sekalian anak-anak Cina yang lain itu supaya bermusuh dan bencikan Melayu.
Ucapan Mr. Lim Cheang Ean yang hendak mengasingkan Cina-Cina peranakan dagang daripada Cina-Cina yang disambil-sambilkan pula dengan perasaan iri hati dah hasad kepada Melayu itu akan membangkitkan kebencian orang-orang Cina totok dan jua anak-anak Melayu kepada Cina-Cina peranakan itu.
Sepatutnya cita-cita peranakan itu jikalau betul-betul hendak menjadi anak negeri ini mahulah membuangkan bahasa adat dan perhubungan kasih yang dipusakainya dari negeri Cina dan penat lebih-lebih rapat dan ramah mesra dengan segala cita-cita dan tujuan-tujuan Raja-Raja dan rakyat Melayu negeri ini.
Tidak berfaedah mereka itu membuka teromba ((tawarikh)) mengatakan Cina nenek moyangnya sudah ada di negeri ini beratus-ratus tahun atau beribu tahun dahulu, padahal kita orang semuanya tahu berapa banyak benar dan bagaimana benar kuasanya Cina-Cina itu di Pahang pada zaman Tuan Clifford, di Selangor pada zaman Sultan Muhammad, di Negeri Sembilan pada zaman belum bersekutu negeri-negeri yang sembilan itu. Dahulu daripada zaman Kapitan Light dan Tuan Raffles berapa kerat adanya Cina-Cina di dalam negeri-negeri Selat dan negeri-negeri Melayu ini?
Sungguh pun orang-orang Cina itu telah berserak pada seluruh benua Asia hingga kebahagiaan dunia-dunia yang lain pun, tetapi pelatlah mereka itu mengubah adat, bahasa, ugama dan fikiran mengikut negeri-negeri yang didiaminya.
Mereka tidak boleh berniat yang seluruh benua Asia ini atau di mana-mana bahagian dunia ini hendak dijadikan bahagian jajahan Cina.
Apa sebabnya orang-orang dagang dalam kawasan dagang disinggahi pada masa ini tiada berapa ingin hendak membantu kemalangan air bah yang dahsyat di negeri Cina sekarang. Apa sebabnya orang di Mexico sekarang hendak menghalaukan orang-orang Cina itu keluar dari negerinya?
Sekaliannya ialah oleh sebab orang-orang Cina itu hendak memboleh dan hendak mengena sahaja dengan tidak memikirkan dan menimbangkan perasaan orang lain.
Orang-orang bangsa lain yang diam dan mencari kehidupan di negerinya hendak dihalaunya dan ada yang dibunuhnya dan cita-cita mereka yang di negeri orang lain hendak merampas pula hak orang lain!
Jikalau dibiarkan oleh mereka itu seperti yang demikian, maka akan jadilah anak-anak Cina yang berdagang kepada negeri orang itu dibuatkan orang seperti kaum Yahudi yang hanyut dan disakiti orang pada merata-rata negeri yang mereka itu jajahi.
Pada penghabisan syarah Mr. Lim Cheang Ean, Mr. Chua Khek Hai semasa mengucapkan terima kasih kepada pensyarah itu telah berkata yang mereka itu patut tidak berasa kesal hati kepada orang-orang Melayu dalam kelebihan yang diberi oleh kerajaan.
Dari dahulu sampai sekarang orang-orang Cina itu telah menjadi kawalan dan sahabat kepada Melayu dan pada fikirannya adalah peraturan yang hendak dijalankan oleh kerajaan itu sepatutnya tidak menjauhkan dan mengecilkan hati mereka itu tetapi pada fikirannya orang-orang Cina itu patut mencuba dengan seberapa daya memperoleh nama yang baik dan memperoleh kasihan kerajaan iaitu dengan menunjukkan dengan cukup kepada kerajaan supaya tampak olehnya yang barangkali orang-orang Cina itu ada berhak menuntut seperti orang-orang Melayu itu jua.
Kerana jika orang-orang Melayu itu telah ada di negeri ini, mereka itu telah ada dengan tidak sengaja, tetapi orang-orang Cina itu boleh menuntut mengatakan mereka itu telah di Tanah Melayu sama jua lamanya seperti orang-orang Melayu.
Kita bersetuju dengan separuh daripada perkataan Mr. Chua Khek Hai itu iaitu pada tentang orang-orang Cina itu tidak patut berjauh hati sebab kelebihan yang diberi kerajaan kepada Melayu itu, kita tambahi lagi iaitu mereka itu ((orang-orang Cina)) patut suka dan menyokong cita-cita Melayu bahkan mana-mana daripada mereka yang mengatakan telah putus dengan negeri Cina itu patut mempelajari dan mengambil adat resam dan ugama Melayu supaya lebih-lebih rapat dan ramah mesra cita-cita peranakan itu dengan bumiputera Semenanjung dan pulau-pulau Melayu ini.
Tetapi kita tidak bersetuju dengan perkataan Mr. Chua Khek Hai yang mengatakan orang-orang Cina boleh menuntut mengatakan sama jua lamanya diam di negeri ini dengan Melayu. Tahukah ia atau bolehkah ia menunjukkan keterangan berapa banyak orang Cina dan Orang Melayu di Singapura pada zaman kerajaan Melayu Melaka, Temasik dahulu jua di Melaka pada zaman Sultan Mansur Shah, iaitu sebelum orang-orang Portugis datang ke sebelah Timur ini? Berapa kiranya orang-orang Cina di Kelantan dan di Terengganu sekarang yang boleh menunjukkan turun dari nenek moyangnya selama tujuh ratus tahun?
Jikalau orang-orang Melayu itu tidak sengaja datang ke Tanah Melayu ini dari pulau Sumatera dan Jawa dan Bugis dan lain. Apa tidak sengajakah orang-orang Cina itu telah datang ke Hong Kong atau Hainan atau Pulau Formosa yang terletak di seberang negerinya? Lupakah ia yang bangsa Melayu ada hampir-hampir 60 milyun bilangannya di dalam dunia ini -- bukannya dua milyun sahaja hanyut dengan tidak tentu arah, ke Tanah Melayu ini seperti yang disangkakannya!
top |