Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 12 Sep 1931, p.8

Editorial.

Pergerakan Syarikat Bekerja-Kerjasama Cooperative Movement.

Perjalanan Syarikat-Syarikat ini di dalam perhimpunan kaum kita Melayu di segenap negeri tampaknya tidak patut dan tidak layak dengan nisbah kebajikan dan kegunaan yang sangat-sangat besar di dalam perdiriannya dan dengan kebesaran belanja-belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengembangkan syarikat-syarikat itu dengan kemajuannya yang ada sekarang.

Barang siapa yang memperhatikan perjalanan syarikat yang sangat-sangat besar gunanya bagi perhimpunan kaum ini nesaya mengetahuilah ia bahwa kaum kita Melayu ini belum mengerti betul ataupun tidak hendak mengambil pengertian betul apa guna dan apa faedah bersekutu di dalam syarikat bekerja-kerja sama ini bagi faedah-faedah kehidupan yang khas dan faedah-faedah perhimpunan kaum yang am.

Bahkan ada sedikit-sedikit kesuaraan yang kita tampak di dalam syarikat-syarikat orang-orang yang bergaji ataupun katalah di dalam syarikat-syarikat yang bercampur di dalamnya banyak bangsa-bangsa lain tetapi syarikat-syarikat kampung atau syarikat-syarikat yang khas bagi pekerjaan orang-orang Melayu tidaklah sekali-kali memberi puas hati atas kesuburan perjalanannya, apakah sebabnya?

Tidakkah juga mengerti lagi kaum kita Melayu ini akan keadaan kehidupan perhimpunan kaum mereka itu dan kehidupan yang khas bagi masing-masing itu pun sama telah hampir-hampir jikalau tidak boleh dikatakan sudah lebur dan hancur binasa oleh bangsa-bangsa apa yang mengisap darahnya beberapa lama sudah ini.

Dan bahwa kerajaan telah terfikir sekarang ini adalah keleburan atau kehancuran kaum Melayu ini di dalam watannya dengan berganti kaum bangsa yang lain bermaharaja lela di dalam negeri-negeri ini bukannya suatu muslihat yang memberi kebajikan bagi perjalanan pemerintahan kerajaan pada akhirnya. Maka dengan sebab ini telah dibangunkan oleh kerajaan beberapa banyak syarikat-syarikat kampung dan syarikat-syarikat pekerjaan orang-orang Melayu kerana memeliharakan mereka itu daripada tipu-daya saudagar-saudagar wang dan dijadikan pula oleh kerajaan pegawai-pegawainya daripada bangsa kaum Melayu yang berpengetahuan serta dibelanjakannya daripada hasil negeri beberapa banyak pada tiap-tiap tahun dan dibukakannya peluang yang boleh kaum Melayu ini mempunyai nama di dalam beberapa cawangan perniagaan kelak dengan aman dan sentosa daripada kacau dan diharu oleh Tuan-Tuan punya wang daripada bangsa-bangsa yang berniagakan wangnya.

Kita tidak percaya lagi kelemahan perjalanan syarikat-syarikat ini di dalam perhimpunan kaum Melayu kerana persungutan fasal riba kemudian daripada telah diterangkan oleh orang-orang alim yang terbilang di dalam negeri-negeri Melayu Kedah dan lainnya, tetapi yang tersangka kepada kita agaknya ialah kurang seruan yang am bagi memasukan ke dalam perhimpunan kaum akan kegunaannya daripada orang-orang yang mengerti betul akan tujuan-tujuan syarikat ini yang boleh memberi cukup puashati orang-orang yang mendengarnya, iaitulah orang-orang yang lain daripada pegawai-pegawai yang makan gaji kepada syarikat ini daripada orang-orang yang ada alim ugama.

Kita dengan sifat kita suratkhabar Melayu, maka sangatlah suka kita mengembangkan perkara ini di dalam halaman Saudara apa-apa hal yang patut dikembangkan bagi mengemarkan orang-orang Melayu bersekutu dan bersungguh-sungguh memeluk syarikat ini di dalam alam Melayu Semenanjung ini, jikalau pejabatnya di Kuala Lumpur, suka memberi apa-apa perkhabarannya dan memberi tahu kepada kita dengan amnya atau di mana-mana satu daripada syarikat-syarikat itu mendapat penyakit kelemahan dengan segala sebab-sebab yang patut bagi suratkhabar Melayu yang am mengetahuinya.

Kita sangat-sangat percaya kebangunan syarikat bekerja-kerja sama ini sangat-sangat dikehendaki oleh perhimpunan kaum Melayu dan sangat-sangat besar faedahnya bagi perhimpunan kaum.

Maka sebab ini sangat-sangat wajib ke atas sekalian ahli-ahli akal daripada kaum yang telah sifat kehidupannya di dalam watan tanahairnya sendirinya ini berusaha dan membantu pada mengembangkan dia sehingga terbangun satu Bank Melayu yang khas di dalam negeri ini daripada wang perhimpunan kaum Melayu yang dihimpunkan oleh syarikat yang berkat ini.