Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 12 Sep 1931, p.8

Feature Article.

Suara Mencari Kesatuan Melayu Perak.

Oleh S.M. Pengasih.

Bahwa tentulah terlindung lagi di sisi Tuan-Tuan Pembaca yang jauhari maupun rakyat-rakyat Perak yang bistari bahwasanya Ipoh ini gelaran dari Kinta satu daripada wilayah Perak, iaitu daripada Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu yang mana boleh juga dibilangkan bandar yang keempat terbesar dalam Semenanjung Malaya ini, tetapi sayang sedikit pekan ini kerana jika orang-orang luar yang baru datang melawatnya tentulah sahaja mereka-mereka itu boleh mengatakan barangkali Ipoh ini pekan Cina ...?

Seperti kata Dr. Rafie, pembantu suratkhabar Bintang Timor Indonesia semasa ianya melawat kepada Tanah Melayu dahulu, katanya: sayang! Sungguh pun negeri Melayu ini kotanya besar-besar tetapi tidak tampak anak-anak Melayunya bekerja. Tetapi apa boleh buat dan apa hendak dikatakan lagi, pada masa ini hanyalah tertanggung atas tengkuk Melayu apa-apa kepicikan yang sedang berlaku sementara mencari dan menolak apa-apa jua bahaya yang ditanggung oleh kita sekalian pada masa ini, dengan menjalankan apa-apa jua jalan kebajikan buat memajukan dan membangkitkan bangsa di tanahairnya yang sangat dikasihi dan dicintai dan dipusakai dari zaman yang bahari.

Maka sekarang yang pembaca semua telah ketahui telah beberapa lamanya sibuk segala suara pendita-pendita pena itu dalam semua suratkhabar-suratkhabar bangsa kita bahkan bangsa Eropah pun sama menyebutkannya bagaimana kelemahan dan kejatuhan yang terhadap kepada bangsa kita Melayu semata-mata dan jua bagaimana mereka itu menunjukkan jalan kemajuan yang perlu kepada anak-anak negeri di zaman sekarang, yang mana ditakuti kalau-kalau terjadi bagaimana bangsa ((Red Indian)) Dayak di tanah Amerika yang pada masa ini hanya tinggal namanya sahaja, mudah-mudahan Tuhanlah yang akan menjaga keselamatan bangsa dan tanahair Melayu dan menjauhkan dari bala yang tersebut itu, oleh sebab hal yang demikianlah maka terdapat oleh beberapa orang yang ahli akal bahwa maksud, cita-cita dan suara yang ada di dalam suratkhabar-suratkhabar itu semuanya asas dan semangatnya ialah semata-mata menuju dan menggerakkan serta mengingatkan segala hati-hati bangsa kita Melayu yang telah binasa oleh sebab kelalaian, kelemahan dan keletihan masing-masing yang belum ada berperasaan kasihkan bangsanya ...!

Maka adalah sekalian butir yang ada tersebut di atas ini semuanya masih banyak lagi tersemat dan terselit di celah-celah kulit ari pemuda-pemuda kita Melayu Ipoh ini siapa yang masih belum mengenali bagaimanakah kelopak ari kemajuan itu?

Dan bagaimana yang orang-orang berkata tolonglah bangsa? Hingga dewasa ini bahwa penulis dan lain-lain orang yang bijaksana akan dapat menyiksakan bagaimana kecualian, kejalinan, kebesaran, dan kesumbangan yang tiada langsung mereka berperasaan malu kepada bangsanya dan bangsa asing yang sedang mencolong akan budi pekerti kelakuan mereka itu setiap-tiap hari, teristimewa menolong bangsanya pun tiada sekali-kali tersemat di hati mereka itu siapa barangkali yang telah ada berasa dan melihat bagaimana kemelesetan dan kepapaan bangsanya Melayu, yang perjalanan mereka itu semata-mata menuju terus ke lubuk kepapaan dan kealpaan yang akhirnya mesti terjerat ke atas nama bangsanya Melayu sendiri jua yang tak dapat hendak dielokkan lagi, akhirnya terjerumuslah bangsanya sendiri, (( "sut-sut" kata orang Kelantan)) tarik layar dan pusing haluan langsung lari, ke mana ... ?

Fikirlah wahai saudara-saudaraku! Tak usahlah kiranya dicolongkan lagi atas apa-apa bunyi suara pena ini, hanya yang dikehendaki sekarang Cuma kitalah sendiri memperhatikan dalam masa kita berjalan-jalan seperti [illegible] pekan baru dan lama dan tiliklah dengan mata hati dan mata kepala serta kita toleh ke kanan dan ke kiri dalam perjalanan kita itu ((jangan pulak dipandang perempuan-perempuan yang disebutnya seperti tudung periuk pulak!)).

Kemudian barulah kita tanya diri kita sendiri dengan memancarkan dan menggunakan otak kita supaya dapat kita perhatikan berapa banyaklah bangsa kita Melayu yang masih ada duduk berumah tangga dalam pekan atau town, lihat Ipoh ini? Melayu berniaga ada berapa pintu kedainya? Berapa banyakkah Melayu sudah menolong mengkayakan bangsa Melayu!!! Barangkali jawabnya tentulah ada sedia kepada Tuan-Tuan yang bijaksana lagi, masa itu barangkali barulah kita berkata dalam hati -- kasihan bangsa Melayu!!!

Sungguh pun ada bangsa Melayu yang ingin hendak berniaga yang semata-mata harapannya akan bangsanya akan menolong, itu pun berhimpit-himpit mereka menumpang di kedai bangsa-bangsa lain yang masih ada belas kasihan lagi hendak memberi tempat tumpangan itu sementara nanti orang-orang Melayu menolong menyokong itu pun ... wallahualam; Melayulah membakarnya, oleh hal yang demikian dan lain-lain hal yang tidak penulis sebutkan di sini lagi, maka hanya yang mempunyai helah yang akan mengetahuinya dan menimbangnya buat menolakkan jalan kejatuhan dan memilih jalan kebajikan.

Maka oleh sebab itu Tuan-Tuan sekalian telah sedia maklum bagaimana kemelesetan perjalanan bangsa kita sekarang, maka patutlah kiranya bagi kita sekarang menghalakan haluan kita tadi arah ke Tanjung "Persatuan" iaitulah "Persatuan Melayu" yang Melayu boleh dikatakan semua negeri yang besar-besar dalam Semenanjung ini telah mendirikannya persatuan yang dicita-citakan itu, sekarang apa macam pula fikiran Ipoh?

Tidakkah kita bangsa Melayu penduduk Ipoh khusus dan putera Melayu Perak umum berasa keinginan dan iri hati buat meniru dan mengadakan terus sebuah persatuan Melayu bagaimana contoh yang sangat-sangat memberi faedah yang telah dijalankan oleh sekalian saudara-saudara kita di Singapura, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur?

Pendeknya, cubalah Tuan-Tuan Pembaca perhatikan dalam Warta Malaya yang bertarikh 11 August, yang mana ada menyebutkan "Kesatuan Melayu" ada bekerja cukup keras menunjukkan jasanya kepada menolong bangsa dan tanahairnya yang dikasihi dengan sebenarnya, demikian jua di Pulau Pinang "Persatuan Melayunya" juga bekerja dengan cergas pada menolong bangsanya yang masih dalam kelemahannya itu, maka kerana ketuahan dan kemajuan "Persatuan" itu, telah tertampak serta memberi bekas kepada semua kaum bangsanya itu, maka dalam Kuala Lumpur pun telah diberikan pula oleh saudara-saudara kita sebuah lagi "Persatuan Melayu" di masa dua tiga bulan yang lalu, tetapi sebaliknya dalam Perak tak usahkan bekerja, bersaudara pun jarang di dengar ... bila lagi?

Maka sekarang patut benar bagi kita orang-orang Melayu maupun pemuda-pemudanya Perak ini berfikir dan merenungkan serta disematkan dalam hati sanubari masing-masing tentang jalan "Persatuan Melayu" yang dimimpi-mimpikan oleh penulis yang kurang berpengetahuan ini supaya mudah-mudahan terdapat pula satu lagi "Persatuan Melayu" Perak dalam salah satu pekan-pekan yang di dalam jajahan Perak ini yang akan datangnya boleh menjadi satu tunjangan bagi kaum Melayu Perak umum yang sangat berguna di belakang hari kelak siapa tahu ??!!

Sekarang penulis suka rasanya hendak membentangkan apa-apa yang penulis telah dapat mendengar akan hal-ehwal "Persatuan Melayu" yang sekiranya bersetuju bagi Perak hendak mendirikannya, sesungguhpun penulis bukan ahli bagi perjalanan itu kiranya tetapi sangatlah gemar rasanya jika dapat melihat atau mendengar akan khabaran "Persatuan Melayu" yang akan berasas dengan jalan yang sebenar tidak melanda ke atas batas yang dilorongi pemerintah itu telah didirikan di sana? Atau di sini?