Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 19 Sep 1931, p.1

Leader Article.

Permulaan Saudara Tahun Yang Keempat.

Bagi Tuhan syukur atas segala nikmat kemurahannya yang telah menyempurnakan perjalanan Saudara ini tiga tahun dan membenarkan keluarannya yang pertama ini bagi perjalanan tahunnya yang keempat yang dipenuhi oleh angan-angan dan cita-cita hati segala anggota-anggota yang bekerja mengedari perjalanannya dengan segala harapan bahwa Tuhan yang fa`al mairid itu mengurniakan topik di dalam segala tujuan yang dihadapinya bagi masa yang akan datang tidak berselisih daripada yang telah lalu pada menghalakan mata sasaran yang memberi manfaat kaumnya dan sekalian saudaranya yang mengambil di dalam tiap-tiap perkara yang dituntut kepada kebajikan perhimpunan kaum muslimin yang umum di dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Telah lalu bagi Saudara tiga tahun perjalanannya diperedari oleh dua orang pengarangnya yang dikasihi dan kedua-duanya pada masa ini telah terpaksa menghadapi pekerjaan masing-masing bagi muslihat kehidupan yang wajib di atas keduanya menurut peredaran masa dan waktu, maka sungguh pun demikian, tiadalah juga keduanya memutuskan tali perhubungannya dengan saudaranya, maka bagi keduanya terima kasih serta doa daripada saudaranya dengan taufik.

Dilihat oleh sekalian pembaca-pembacanya adalah Saudara di dalam tahunnya yang ketiga ini telah banyak membahas dan menyalin dan mengeluarkan fikirannya di dalam segala perkataan yang dikeluarkan oleh kaum Cina, maka hendaklah diketahui oleh Tuan-Tuan Pembaca adalah segala perkataannya dan bahasnya yang telah lalu dan yang akan datang lagi dalam perkara itu bukanlah sekali-kali maksudnya hendak menyeru atau menggemarkan kaum kita Melayu kepada memperseterukan sekalian bangsa-bangsa dagang yang telah datang ke dalam negeri kita dan yang telah menyebabkan kemakmuran ke dalam negeri.

Tetapi hanyalah segala tulisan yang telah ditulis dan disalinkan daripada perkataan-perkataan sekalian bangsa-bangsa itu yang berkenaan ke atas watan tanahair kaum bangsa Melayu dan hal-ehwal kewajipan perhimpunan mereka itu ialah semata-mata menurut kewajipan suratkhabar di dalam satu-satu bangsa bagi mengingatkan bangsanya apa-apa kelalaian yang telah lalu yang akan menyebabkan kehilangan maruah kehormatan kehidupan kaum bangsanya di dalam tanahair watan datuk nenek moyangnya.

Ketakdiran kaum bangsa kita Melayu di dalam perikatan kehidupan perhimpunan bagi faedah-faedah kaum bangsa dan watannya ini tiadalah agaknya berkehendak kepada dihuraikan lagi kerana telah zahir kepada pemandangan mata bahwa harta punya kita dan tanah kampung hak punya kita telah berpindah bahagian yang terlalu banyak sekali ke dalam tangan kaum bangsa yang datang menumpang ke negeri-negeri kita dengan bermodalkan masa kedatangan mereka itu hanyalah semata-mata sehelai tikar dan sepinggang seluar baju yang di badannya sahaja, sehingga hampir-hampirlah jadi sekarang ini kita Tuan punya negeri yang asal, dagang menumpang dan mereka itu Tuan punya negeri yang asal boleh bersuara menuntut hak kepunyaan ahli-ahli negeri yang asli.

Maka tidaklah ada tinggal kepada kita melainkan kemuliaan wujud ada Raja-Raja kita di atas takhta masing-masing dan pengharapan yang besar ke atas keadilan dan bimbang rasa kerajaan Inggeris sahaja. Tetapi hendaklah pula kita ingat jangan dilupakan sekali-kali iaitu adalah segala jenis keadilan yang di dalam masa seratus tahun dahulu tidaklah boleh dinamakan semuanya adil pada masa ini, demikian juga segala keadilan yang pada masa ini tidaklah pula boleh kekal jadi adil juga sehingga hari Kiamat, kerana keadilan itu menurut peredaran muslihat pemerintahan bagi kesentosaan dan keamanan yang umum di dalam tiap-tiap masa.

Maka jikalau kekal juga kita sekalian kaum Melayu Tuan punya watan yang asli ini dengan hal yang demikian selama-lamanya, ditakutilah datang kelak masa yang muslihat pemerintahan bagi keamanan yang umum itu mewajibkan menerima suara-suara kaum dagang yang menuntut menjadikan tanah Semenanjung ini seumpama satu bahagian daripada jajahan negeri Cina yang di bawah pemerintahan kerajaan Inggeris.

Maka dengan sebab ini, diam kaum kita daripada menyeru dan memperingatkan kaum bangsanya daripada boleh menjadi kaum Australia yang asli atau kaum Amerika yang asli itu dosa yang maha besar.

Adapun Saudara ini maka tiadalah sekali-kali ia melepaskan kewajipan pemerintahan kaumnya ini jikalau pun sudah bersuara dan telah menarik orang-orang Cina beberapa iklan yang di dalamnya kerana marahkan Saudara menulis perkara yang di antara Cina dengan Melayu dan menyalahi ke pihak saudara-saudaranya Melayu, kerana Saudara ini akan bersuara bagaimana yang telah ditujukannya daripada permulaan jadinya jikalau pun terpaksa ia menulis di atas lawatan atau menyeru di tengah padang yang luas sekalipun, selama ada kudrat kuasa yang dikurniai oleh Tuhan kepada penguasanya dan ada setia amanah sekalian wakil-wakilnya menyempurnakan hak yang wajib ke atas masing-masing; demikian juga sekalian pembaca-pembacanya yang dihormati.

Alwi al-Hadi, Penerbit dan Pengarang.