![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 9 Apr 1932, p.8
Editorial.
Kesempitan Hidup Masa Sekarang.
Tiadalah terhajat kita menerangkan satu persatu hal-ehwal kesempitan kehidupan pada masa sekarang ini kerana perkara ini sangat-sangat terasa oleh tiap-tiap seorang. Tetapi hendaklah kita mengambil peringatan bahwa kita ini hidup sekarang di dalam watan tanahair datuk kita tiada tempat yang boleh kita lari dan tiada siapa yang boleh menghalaukan kita daripada watan datuk nenek moyang kita kerana bahaya ini.
Maka hendaklah kita menyimpan keyakinan di dalam hati kita daripada masa ini bahwa kaum yang berdagang di dalam negeri kita ini akan meninggalkan kita dan tanahair kita lari kembali ke negeri masing-masing kerana kesempitan ini; dengan terpaksa atau dengan kesukaan hati masing-masing.
Maka tentulah sekali akan tertinggal kita dan tertinggal tanah-tanah yang telah dimiliki oleh mereka itu kemudian daripada pecah harapan mereka itu daripada dapat memerah susunya lagi, seumpama tertinggal pusaka daripada orang-orang kaya yang mati, tetapi adapun orang-orang kaya yang mati itu meninggalkan pesakanya kepada sekalian orangnya, dan orang-orang kaya watan kita ini kelak meninggalkan pesakanya kepada anak-anak watan.
Maka dengan sebab ini janganlah kita lalu dan janganlah kita meringan-ringankan lagi bagaimana yang telah-telah lalu, wajiblah daripada sekarang ini kita bersedia bagi menerima pesaka itu; sama ada pesaka pekerjaan atau perkebunan; kerana memang hak ini hak kita yang semulajadi dikurniai oleh Tuhan di dalam watan kita.
Pekerjaan itu akan berkehendak kepada orang-orang bekerja dan bumi-bumi kita yang bertinggal itu akan berkehendak dengan orang-orang mencucuk-tanam di atasnya, dan pertanaman-tanaman yang sedia akan berkehendak orang-orang yang memiliki dan mengeluarkan hasilnya, bermula orang yang datang menyelenggara kepada negeri kita ini tiada upaya mereka itu mengerjakandia, jikalau tiada dengan keuntungan atau pendapatan yang besar, tetapi kita ahli-ahli watan ini sangat-sangat berkuasa mengerjakan dia dengan kadar yang boleh melepaskan kita daripada menanggung kelaparan sahaja.
Hendaklah sekalian saudara-saudara kita mengetahui apakala kita menyambut kerja-kerja yang tertinggal itu dengan pendapatan yang boleh melepaskan kita daripada kelaparan sahaja pada masa ini. Maka pada maknanya kita telah memiliki Tuan-punya watan kita bagi masa yang akan datang, kerana dunia ini senantiasa di dalam peredaran tiada kekal di dalam satu hal selama-lamanya sekali.
top |