Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 Apr 1932, p.7

General Article.

Watan Melayu Bagi Melayu. Kasihkan Watan Daripada Iman.

Oleh al-Syed Sheikh al-Hadi.

Tiadalah berhajat kepada huraian yang panjang bagi mengesahkan perkataan yang tersebut di kepala rencana ini kerana perkara ini telah sedia maklum kepada alam manusia yang bersifat dengan kesempurnaan sifat-sifat yang dikehendaki oleh kejadian manusia yang mempunyai perasaan bagaimana yang dikehendaki oleh Tuhan di dalam kehidupan mereka itu, kerana dengan sifat dan perasaan manusia inilah telah makmur alam ini dan timbul sebutan tiap-tiap suatu kaum dan bangsa itu di bibir mulut dan di dalam peringatan hati tiap-tiap orang yang memperhatikan peredaran alam yang luas ini.

Bahkan pada bumi alam yang luas ini telah mengenal atau mendengar alam Melayu dan Semenanjungnya serta segala gugusan pulau-pulaunya, tetapi dalam sangat-sangat susah hati kita menuliskan adalah pendengaran atau pengenalan mereka itu ialah seumpama pengenalan atau pendengaran sekalian penjaring-penjaring dan pengail-pengail akan nama lautan itu ada berisi bermacam-macam ikan dan bermacam-macam perbendaharaan yang telah dapat dijaring atau dikail ikannya atau dikeluarkan khazanah-khazanahnya yang telah disimpankan di dalamnya oleh kudrat kuasa yang menjadikan alam ini, tetapi segala isi lautan itu tidak ada sekali-kali baginya kehormatan atau kegunaan bagi dirinya sendiri selain daripada diputus-putuskan dan dikupas atau dihempaskan dan dipecahkan menurut apa-apa jua muslihat sekalian penjaring-penjaring atau pengail-pengail ataupun penyelam-penyelam perbendaharaan itu.

Apa redhakah kita wahai sekalian saudara menjadikan watan kita ini seumpama lautan yang memang dijadikan oleh Tuhan dan diaku oleh Raja-Raja yang memerintah dunia ini akan kebebasannya bagi sekalian bangsa manusia menggunakan dia? Serta kita jadikan diri kita yang ada mengandungi jikalau setitik sekalipun darah ahli watan Melayu yang asli ini seumpama segala isi lautan itu tiada mempunyai sedikit pun kehormatan di mata sekalian pengail-pengail dan penjaring-penjaring atau penyelam-penyelam perbendaharaan itu?

Jikalau tidak, maka apakah yang telah kita perbuat bagi perjalanan memeliharakan kehormatan perhimpunan kaum kita dan watan kita dan melepaskan diri kita masing-masing daripada termakan umpan yang di mata kail sekalian pengail-pengail atau tergenggam ke dalam tangan penyelam-penyelam perbendaharaan yang di dalam watan kita ini daripada mula dibukakan oleh Allah s.a.w. akan pintunya di dalam penjagaan kerajaan yang mempunyai bendera tiga warna yang telah memberi cukup kebebasan dan telah membukakan mata telinga kita sehingga dapat kita mendengar apa-apa yang berlaku di dalam alam yang luas ini daripada masyrik ke maghrib pada tiap-tiap hari atau tiap-tiap jam atau tiap-tiap minit atau tiap-tiap second: segala perkhabaran yang telah memberi kita pelajaran atau petunjuk bagaimana sekalian manusia yang telah mengerti makna kemanusiaan yang dijadikan oleh Tuhan ((bukannya berupa dengan gambar manusia sahaja)) telah menjalankan perasaan kemanusiaan yang dikehendaki oleh Tuhan bagi kejadiannya pada bekerja dan berusaha dengan nyawa dan harta bendanya bagi faedah-faedah watan dan perhimpunan kaum bangsanya?

Bukankah sudah kita dapati daripada perhatian dan pendengaran ataupun pemandangan kita di dalam peredaran alam yang luas ini bahwa tiap-tiap suatu kaum atau bangsa itu dengan tidak terkecuali apa jua bangsanya atau warna kulitnya tiadalah boleh dapat kesempurnaan ataupun tiada boleh hidup kekal sebutan kemuliaan dan kehormatan perhimpunan kaum dan watan mereka itu dengan senang sentosa hidup menjadi manusia yang dipandang oleh isi alam ini dengan rupa manusia yang sebenar di dalam watannya melainkan dengan tiga perkara:

1. Dengan Pengetahuan :

2. Dengan Kekayaan :

3. Dengan Muafakat bersekutu pada memelihara perikatan kaum bangsa dan watan.

Maka tiga-tiga perkara ini ataupun katalah satu daripada tiga perkara ini pun sahaja kemudian daripada telah dibukakan oleh panji-panji tiga warna ini selama lebih kurang 100 tahun lamanya sudah akan segala pintunya boleh masuk dengan bebasnya siapa-siapa yang berkehendak masuk ke dalamnya, apa adakah kaum kita ataupun katalah terus terang sekali bangsa-bangsa kita Melayu ini berbuat-buat ataupun katalah sekurang-kurangnya bertanding sahaja dengan sekalian anak-anak bangsa yang datang mengail atau menjaring-jaring ataupun menyelam perbendaharaan di dalam watan kita ini masuk ke pintu itu??

Tentulah sekali soal yang tersebut di atas ini boleh jadi muafakat sekalian ahli-ahli akal daripada kaum kita menjawab mengatakan tidak! Tidak! Tidak!!! Tetapi disambung oleh mereka itu menyatakan keuzurannya pula, iaitu sebabnya tertinggal kaum kita Melayu ini di dalam kelalaian daripada melakukan yang demikian itu ialah kerana kekuatan setia dan taat dan kepercayaan mereka itu ke atas Raja-Raja atau Ketua-Ketua mereka itu bagi menjaga akan muslihat kaum bangsa dan watan bagaimana yang telah dipusakai oleh mereka itu daripada turun-temurun datuk nenek moyang mereka itu beberapa ribu tahun sudah.

Perjawapan yang sangat-sangat benar dan patut sangat-sangat diterima oleh tiap-tiap orang yang mengetahui tarikh kehidupan kaum Melayu ini, kerana sebenar-benarnya taat setia serta kepercayaan mereka itu kepada Raja-Raja dan Ketua-Ketua mereka itulah telah menjadikan kehidupan perhimpunan kaum dan watan mereka itu demikian hal!

Maka Raja-Raja dan Ketua-Ketua itulah yang menanggung dosa kesalahan pecah harapan beberapa lama sudah! Kerana dengan sebab kelalaian mereka itulah jikalau tiada kasihan belas dan keadilan penaung yang mempunyai panji-panji tiga warna ini nescaya tiadalah boleh didapati daripada 1000 orang kaum bangsa Melayu ini satu orang pun yang mengerti menulis namanya apalagi mengetahui sedikit-sedikit akan kegunaan kehidupan yang diliputi oleh tiga-tiga perkara yang tersebut di atas tadi.

Tetapi di sini kita menumpang bertanya pula, kemudian daripada telah diketahui oleh kaum bangsa kita yang dikasihi ini akan ketaksiran bergantung semata-mata kepada Raja-Raja dan Ketua-Ketua yang tiada memperendahkan roh kehidupan perhimpunan kaum, bangsa dan watan.

Maka apakah yang telah diperbuat atau dilakukan oleh orang-orang yang telah mencuba sedikit nikmat pengetahuan yang telah mengetahui dengan pengetahuannya itu akan faedah yang umum yang digunakan oleh semua bangsa yang hidup di dalam alam yang luas ini iaitu ((bermula rahsia kemenangan itu bergantung kepada diri masing-masing sendiri))!

Apa adakah boleh memada menunjukkan petah berkata-kata dan mengatur huruf tulisan sahaja dengan tiada berhati berani melakukan pekerjaan? Oleh takutkan kehilangan pangkat atau kata nista orang-orang yang bodoh-bodoh.

Benarlah seruan dengan mulut atau dengan seruan itu dikehendaki sangat-sangat oleh sebab kebesaran sangat-sangat kegunaannya bagaimana yang telah termaklum, tetapi mengapakah kita dan ahli-ahli penyeru kaum kita ini telah hampir-hampir menjadi bagaimana menyeru orang yang mati di dalam kuburnya atau bagaimana orang yang menjerit memekik di tengah-tengah padang yang luas dan sunyi daripada manusia?

Wahai sekalian saudara! Apa sukakah Tuan-Tuan menjadi ahli-ahli kubur sebelum mati? Atau pun menjadikan watan kita ini umpama padang-padang yang sunyi sama sekali isinya daripada ahli-ahli iman yang kasih akan watannya?