Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 9 Apr 1932, p.6

General Article.

Zaman Meleset dan Doa.

Oleh Y.Y. Perak.

Pada kali ini penulis teramat susah hati dan dukacita. Kerana pemandangan penulis yang alam dunia ini makin hari makin bertambah-tambah kering dan kemarau.

Yang dikatakan kering kemarau itu ialah bagi pihak kehidupan hamba Allah ta`ala. Daripada serba perkara pencarian yang akan jadi nafkah kehidupan masing-masing dan bagi pihak orang-orang makan gaji kepada kerajaan pada tiap-tiap bulan yang mereka itu tiada berhati di dalam perut ((susah hati)) dan bagi pihak kerajaan senantiasa menilik pemandangan kepada orang-orang yang tersebut itu akan dipensionkan atau diberhentikan daripada jawatannya.

Di dalam hal yang demikian itu, hampir-hampir beribu-ribu orang yang telah diberhenti daripada jawatannya.

Dan bila kita celikkan mata kita memandang suratkhabar-suratkhabar, didapati terus terang yang gelap gelita zalimat kesusahan itu akan meliputi tubuh badan sekalian hamba Allah di dalam dunia ini. Dan juga tiap-tiap berpusing jarum jam itu dan bertukar matahari dan bulan itu, bagi gelap zalimat kesusahan itu makin bertambah sahaja. Yakni tidak undur dan tidak bergerak satu inci jua pun.

Maka berpanjanganlah masanya yang tidak dapat diukur itu. Hal keadaan yang telah jadi itu tidakkah ada ubat penawar yang boleh memberhentikan gelap zalimat kesusahan yang tersebut itu. Dan patutkah kita biar sahaja dengan duduk berpeluk tubuh berdiam diri?

Tetapi pada fikiran penulis, tidak patut kita diamkan dan tidak patut kita biarkan. Kerana penulis banyak ada ikhtiar yang boleh menghapuskan gelap zalimat kesusahan itu. Dari sebab itu penulis berusaha berikhtiar menjalankan kalam ini. Penulis telah melihat beberapa pula kali bila-bila musim panas tidak turun hujan berbulan-bulan, maka muafakat kaum ... itu bersembahyang berdoa meminta hujan, makbul atau tidak, wallahualam.

Dan apabila banyak penyakit di dalam negeri itu, muafakatlah kaum itu ratib bertahlil beratus-ratus orang menolak bala konon dan tertolak .... Dan apabila dapat kesusahan kepayahan kehidupan, muafakatlah kaum ... berdoa bersungguh-sungguh dengan apa macam rupa doa, supaya terlepas daripada bahaya itu ((waras)) kerana doa itu konon wajib memberi bekas kepada pihak kaum,,,, masyallah!

Inilah yang patut tempat kita bersaudara berseru minta tolong kepada kaum ... itu.

Pada fikiran penulis, masa gelap zalimat kesusahan itu, patut sangat kita muafakat bermesyuarat beramai-ramai memohonkan kepada ketua-ketua kaum ... itu supaya ketua-ketua mereka itu berdoa bersungguh-sungguh dengan doa yang panjang beratus-ratus depa itu, memohonkan kepada Tuhan supaya getah-getah di dalam alam kita ini boleh naik harganya ((berharga tinggi)). Maka tidak dapat tiada tentu sekali doa kaum ... akan dimakbulkan Tuhan. Ialah mengikut bagaimana peraturan syarak-syarak daripada guru-guru dan ketua-ketua ugama kaum ... maka inilah jalan ikhtiar penulis yang boleh menolak atau menghapuskan gelap zalimat kesusahan yang tersebut itu.

Demikianlah berbanyak-banyak terima kasih kepada Pengarang Saudara kerana ruangannya. Was-salam.