Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 31 Aug 1932, p.6

General Article.

Anak Melayu Jangan-Jangan Jadi Anak Tiri Kerana Malayan?.

Oleh Abdul Majid Salleh al-Latiff.

Bahwa maka adapun pengetahuan-pengetahuan anak-anak Melayu ini, bukanlah boleh disangka orang atau dikatakan keseorangan sangat daripada pengetahuan-pengetahuan bangsa asing, istimewa lagi dinamakan Melayu itu.

Tetapi tentu juga kita semua tidak menyenangkan lebih daripadanya, dikecualilah masa yang telah lepas ke belakang itu, kerana masa itu memang pun tak faedah kita sebut, dan tak harus kita berkecil hati jika orang-orang mengata kita.

Lihatlah ketewasan kita oleh bangsa-bangsa asing itu masa dahulu, kerana adapun bangsa-bangsa asing yang datang menumpu dan menggasak melentik isi Tanah Melayu ini, bermacam-macam warnanya; ada yang terang, ada yang gelap, ada yang kuning, apa yang hitam berkelam, begitu juga kepandaian mereka itu tentu sahaja dari setinggi-tinggi hingga serendah-rendahnya. Al-maklumlah dengan bangsanya yang berbagai-bagai itu, dan hatinya pun berbagai-bagai juga.

Kita Melayu satu bangsa sahaja malang kita pula di masa itu sedang kelemahan benar menjadi ejek-ejek pun kepada mereka-mereka. Maka tercampunglah kita di tengah-tengah sedang mereka bersorak juga kiri dan kanan, hadapan dan belakang, sama juga ke atas ke bawah. Hendak pun orang-orang kita masa itu mencuba sebagai pergerakan atau pekerjaan yang digerak atau dikerjakan oleh mereka itu dengan pengetahuan tinggi-tinggi mereka itu. Maka tertentu sahajalah tidak upaya, melainkan tercicir juga di belakang beranilah kita berkata iaitu bukannya kesemua-semua Melayu kita yang dahulu itu terada sebagai tuduhan orang-orang bangsa asing yang menggelar kita Melayu bodoh, malas .. dan ... dan ... dan ... itu.

Tetapi, seperdua daripadanya tentu juga ada yang berfikir serta menaruh iri hati hendakkan sebagai bangsa-bangsa asing, upayanya, tetapi sebaliknya tidak berdaya upaya apakah hendak dikatakan atau hendak dibuatkan. Maka tercicirlah juga sudahnya, peratilah pula seperti pekerjaan yang dikerjakan oleh bangsa asing yang hitam kulit serta hatinya itu.

Berapa pekerjaan yang hina-hina sampai hemah mereka mengerjakannya, hingga memperbuat yang lain-lainnya pun sebarang pekerjaannya amat bodoh lagi lemah dari bangsa Melayu kita.

Orang-orang Melayu kita telah sempurna juga fikirannya masa itu. Sungguh pun dituduh mereka itu kita malas bodoh, tetapi tentang pekerjaan yang hina-hina sebagai mereka itu sekali-kali tidak teringin oleh orang kita.

Dari sebab bangsa yang bermacam-macam dan kepandaian mereka itu dengan masing-masingnya dari serendah-rendah hingga ke setinggi-tingginya, buat hal pekerjaan dunia ini, maka jadilah ia di Tanah Melayu ini umpama bunga-bunga yang kembang dan yang sedang bermadu ((masa yang lalu)).

Maka di setiap-tiap kuntum bunga itu, kumbang yang datang dari negeri asinglah juga menyerinya, hingga tak ada bunga yang akan diseri oleh kembang Melayu lagi, melainkan kuntum-kuntum yang telah mala ditutuh oleh kembang dagang itu juga. Atau pun umpama sia-sia ombak menghempas yang terhaluan ke tepi, barulah dihisap oleh Melayu kita. Patut ... patut ... patut ... sangat-sangat kita sampaikan di dalam buku kenangan kita masing-masing yang telah dijadikan mereka di atas bumi kita, dan kita juga, kerana sekarang ini sedang dihadapan kita apa tampaknya hal-hal mereka kemudian daripada negeri Melayu itu sudah tinggal hampas, bunga-bungaan semua sudah mala.

Bahwa sesungguhnya pada piam [?] ini boleh dikata kita semua sudah berani dan sudah ketahui. Pendeknya, tiap-tiap diri Melayu itu tentulah maklum akan hal-hal yang telah menepati ke atasnya dan bangsanya sekalian, yang datangnya tidak lain ialah dari bangsa asing yang tertentu jua.

Agaknya kalau kita tidak sedar juga daripada hari ini atau semenjak ini, harus-haruslah kita akan terbenam lebih-lebih jauh ke bawahnya lagi dari yang telah dikebelakangkan itu, susah mungkin bertambah-tambah, bangsa yang berbagai-bagai kuning, coklat, hitam itu beransur-ansur juga gulung tikar hingga hampir-hampir lapanglah negeri itu kelak. Jika bangsa-bangsa asing yang berdagang ke mari itu telah hilang semuanya dari Tanah Melayu kita ini, maka janganlah kita berlepas penat lagi atau mengatakan hendak duduk sebentar atau melapang-lapangkan hati, kerana ada lagi yang akan menghimpit kita, siapa dia? Malayan!

Dengarlah seperti pergerakan Malayan masa ini. Yang tak payah pun diuraikan di sini, kerana telah beberapa banyak siaran Tuan-Tuan Pengarang bijaksana serata-rata suratkhabar dari Inggeris hingga ke Melayunya, alangkah ngilunya di dalam hati barang siapa jua pun yang bernama diri Melayu bila mendengarnya.

Sekarang baru mereka mengaku diri yang negeri Melayu ini negeri mereka itu sama.

Maka jika telah sempurna maksudnya kelak disebabkan orang-orang kita diam-diam sahaja, tentulah mereka itu akan bermaharaja-lela akhirnya. Baik tak baik terus pula diakukan mereka negeri Melayu ini negeri mereka semua ((bukan sama-sama lagi!)). begitulah tampak-tampak keruncingan tujuan Malayan ini.

Sungguhlah sebagai kata Tuan Pengarang kita itu dapat betis tak paha dari bahu nak kepala pula mereka itu. Akan tetapi rasa-rasanya pemerintah-pemerintahan kita ataupun kita-kita tentu tidak mahu membiarkan sahaja akan apa-apa yang hendak dibuatkan mereka itu ke atas kita Melayu.

Ya, kata-kata orang bahari, jangankan bertengkar bersetegang urat leher lagi dengan mereka, malahan bersinsing lengan berkeras kepala berhunus parang lagikan patut dihadapi juga! Mahukah kita dijual-jual mentahkan mereka sahaja?

Sudahlah bumi Melayu ini tinggal kerak ditubinya! Ini sekarang kerak itu pun diuntir-untirkan lagi. Akhir-akhirnya periuk kita pula akan diliat gugunnya sekali. Mahukah juga kita melihatkan? Pada hati saya yang bebal ini, tentu sekali tidak.

Rasa-rasanya di sini yang memerintah kita mau pun kerajaan Inggeris yang maha adil yang menaungi negeri Melayu ini, tidaklah sampai hati membiarkan sahaja Melayu ini dikepitkan oleh Malayan itu. Tetapi jalannya tidak membiarkan ialah mahu dengan urusan Melayu yang ada berjalan juga, dan perusahaan Melayu yang makin bertambah jaya. Yakni, bukankah sahaja bilang hari Melayu hendak mengadukan hal begitu begini kepadanya, mengatakan asutan bangsa itu dan bangsa ini dari yang dinamakan Malayan itu.

Bahkan sepatutnya dengan kiraan Melayu sama-sama bersebulat kata, yang hak Melayu kita mesti kita juga memegangnya. Mata angin kita mesti kita tempuh. Kita bukan tamakkan harta atau hak mereka itu, yang berkuasa tentu akan menguatkan perbantahannya. Kita yang di bawah pemerintahan ini mesti bertambah-tambah taat, selama ini sungguh pun pemerintahan itu tidak juga kekurangan. Tetapi rasa-rasanya yang kita-kita menerimanya ini ada longgar sedikit, kita tidak gentar menyebut longgar itu kerana benda yang masing-masing kita sudah pandang betapa keadaan di masa yang sebentar sahaja baru tercicirnya ke belakang itu.

Bahwa dari masa ini ke hadapan tidaklah harus sekali-kali dilakukan begitu jua. Jika secara itu juga alamat akan kehujanan panjanglah geram Melayu kita. Itu pun kalau hujan sebagai yang telah sudah, sungguh pun begitu lebat, tetapi jika kita bawa masa ini tentulah ia hujan ajak-ajak ((olok-olok)) kerana tak akan menghabiskan geram kita lagi.

Mentelahan pula Melayu kita sedang terbangun.

Adapun hujan yang telah menggalangkan langit di masa ini kalau tertumpah ia ke bumi kita, tidaklah mungkin lagi akan tinggal, bungkuslah gamaknya geram kita akan puji-puji sekaliannya, kita jadi apa?

Adapun jalan-jalannya jika hendak diberi Melayu supaya jangan senang dipermudah-mudah sahaja oleh mereka Malayan itu, pada bilangan secara kasar-kasarnya pertama sekali mahulah kita masing-masing menghargakan kepandaian Melayu, perusahaan Melayu, pertukangan Melayu, dan adat resam Melayu.

Keduanya, tak boleh sekali-kali dimamangkan atau gentar dari menimbulkan mutu kebangsaan dan mencapai hak-hak kita, pendeknya masing-masing berdiri dengan kebenaran masing-masing berpukul kerana bangsa sendiri dengan lurus benar itu juga kita baru berdiri betul. Tetapi bukan berlain-lain: seorang begini, akhirnya takutlah kalau sebagai yang lalu itu juga.

Ketiganya, tidak boleh sekali-kali kita mengagakkan Melayu kita lemah dari mereka itu Malayan, sepatutnya mahu dipandang Melayu lebih tegap daripadanya, bahkan bukannya pula kita silap perhati atau menyangkakan lemah itu kuat. Tegap tidak sekali-kali kerana boleh dibandingkan pihak Melayu dengan Malayan itu. Betapa pengetahuan-pengetahuan Malayan itu sedang juga terada* di sisi Melayu masa-masanya boleh kata lebih sisi Melayu kita lagi daripada mereka itu.

Dan juga, pergerakan Melayu itu tidak sebagai pergerakan anak-anak Tongsan atau anak-anak India yang telah berhimpun ke mari itu sungguh pun benih ini juga yang menerbitkan biji-biji mata Malayan itu, hanya adalah ia hampir-hampir serupa dengan pergerakan Melayu kita dengan halusnya. Tetapi takutlah halusnya itu kelak sebagai bubuk makan di dalam. Tak berupa sahaja kayu yang licin lecer itu tup-tup rupa-rupa patah sahaja dibuatnya!

Yang keempatnya, mestilah hendak bersegera sedikit tentang arah menyekat apa-apa satunya juga umpama akar pohon Malayan itu jangan diempukkan kepada pohon Melayu jati itu. Adapun perkara penahankan ini tidak layak yang tempat pergantungan kita hanya sebagai pembesar-pembesar Melayu kita juga.

Jika dikenang-kenang di dalam hati yang sunyi dari berbagai-bagai itu akan hal diri Melayu itu. Maka oleh lapang sedikit di dalam perut ataupun meluaskan jalan nafas tidak tersangkut-sangkut keluar masuknya, iaitu adapun Melayu ini sudah tertentu sekali anak kandung bumi Melayu yang diperintahkan oleh Raja-Raja Melayunya, dan difikirkan kerajaan Inggeris itu tentu lebih sayang kepada anak-anak kandung Melayu dari anak tirinya yang bergelar Malayan itu.

Tetapi takut! Takut! Takut! Entahkan anak kandung pula jadi anak tiri di masa yang ke hadapan ini, walau disamakan sekalipun manjanya tidak ditukar diubahkan atau kandung dengan anak tiri, bahkan tentu jua anak kandung akan merasai dukacita yang tidak bersudah! Apa tidaknya! Kerana lepas satu diganti satu yang akan menimpa ke atasnya masing-masing yang tiada tampaknya di satu masa pun Melayu akan bersenang fikiran, nama sahaja tertuah-tuah anak Melayu dengan negerinya, dengan perintahan adilnya, pada hal terasa-rasa sahaja.

Kata di dalam Hikayat Cindur Mata, sia-sia menjaring angin, terasa ada dapatnya tidak. Kita berkata begini tidaklah kerana berejek-ejek, tetapi adalah yang sama juga merasai pedih umpama luka melelehkan darah di badannya. Melayu begitulah juga sakitnya yang ditanggung diri disebabkan satu golongan juga.

Demikianlah di hati saya sungguh pun saya ini boleh dikata tidak jauh ubahnya dari umpama semut hitam halus hinggap di batu yang hitam pula. Jika tidak diperatikan sangat-sangat tidakkan tampak. Begitulah pendeknya. Akan tetapi, disebabkan daging Melayu itu tidakkan hilang jika selagi roh ada terkandung di dalamnya, tentulah terjerit-jerit di dalam kenangan atau pun bernafas panjang seorang-seorang, apalagi jauh-jauh pemerhatian bila terkenangkan pergerakan Malayan ini.

Sungguh pun diri yang sepi itu tidakkan tersimpang kepada perkara itu, sedikit pun, tetapi masih terkenang akan hal-hal bangsa sendiri yang muda-muda yang sedang bertenaga dengan berbagai-bagai pelajaran masa ini di dalam sekolah-sekolah, mahu pun saudara-saudara itu tidak terlintas dihatinya akan diri yang seni itu, tetapi kepadanya tidak saya lupakan dukacitanya itu terasa juga dalam diri, sudahlah berpuluh-puluh mata angin yang tumpat ialah Malayan sama-sama, malahan yang sebentuk dua lagi pun akan terhapus pula.

Disudahi dengan berdukacita sama, harap harap ampunnya dengan maaf. Was-salam.