Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 17 Aug 1932, p.6

Editorial.

Jawatan Malayan Civil Service Akan Terbuka Kepada Ramai.

Terkejut benar orang-orang Melayu mendengarkan yang tertulis di dalam suratkhabar-suratkhabar darihal Mesyuarat Legislative Council yang terbuka dengan persediaan Government hendak menerima orang-orang rakyat British yang bukan daripada bangsa Eropah masuk kepada dalam jawatan Malayan Civil Service, iaitu suatu perkara yang telah memenuhi beberapa ruangan di dalam suratkhabar-suratkhabar di dalam Semenanjung ini sama ada Melayu ataupun Inggeris.

Ada yang memuji ada yang benci; masing-masing menurut kumpulannya.

Adapun jawatan Malayan Civil Service ini dari dahulunya hanyalah dikhaskan bagi bangsa Eropah ((British)) dan bangsa Melayu sahaja, beginilah gamaknya yang telah diartikan di antara bangsa Inggeris dan Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu itu, tetapi orang-orang bangsa asing yang sudah diberi betis hendak paha pula itu rupanya tidak berpuasa hati daripada kemakmuran kekayaan dan kesenangan yang telah diperoleh oleh mereka itu di dalam negeri kita yang di bawah naungan keadilan British ini.

Maka berkehendaklah pula mereka itu kesenangan yang terlebih lagi daripada apa yang telah didapati oleh mereka itu, bahkan tidak difikirkan oleh mereka pelik hal mereka itu mengatakan negeri ini bukannya negeri Melayu!

Tetapi ialah negeri mereka sama!

Sebab konon merekalah yang menyebabkan kesenangan negeri dan kemakmuran negeri ini dan di atas mewah-mewah ini jugalah mereka telah membangunkan tuntutan mereka itu hendak memiliki hak di atas negeri kita ini sama serupa dengan hak kita anak-anak negeri sendiri.

Fikiran yang demikian itulah yang telah memberanikan mereka itu membawa dan meminta daripada kerajaan supaya hak yang telah dikhaskan bagi bangsa Inggeris dan Melayu di dalam jawatan Malayan Civil Service itu pun dibukakan pula kepada mereka itu, kita anak-anak negeri Melayu selama ini telah bersenang hati dan tidak takut diganggui oleh pengaruh luar akan keamanan dan keselamatan perhubungan kita dengan negeri kita selama kita di bawah tadbir pemerintah yang telah mengaku mengawal keselamatan kita dan negeri kita dan kita cukup percaya di atas keadilan dan ketetapannya pada segala perjanjiannya dengan kita itu.

Tiba-tiba waktu Legislative Council yang baru ini apakala permintaan bangsa asing supaya mereka dibenarkan masuk ke dalam jawatan Malayan Civil Service itu telah dikemukakan oleh jurukata mereka Dr. N.L. Clark, maka dengan senang sahaja pihak kerajaan telah memperkenankan permintaan itu dengan katanya bahwa suatu scheme sedang disediakan yang di dalamnya telah dicadangkan bagi pegawai-pegawai Malayan Civil Service pada masa akan datang akan dibukakan bagi orang-orang yang diperanakkan di dalam negeri ini yang bukan daripada keturunan Eropah, iaitu daripada bangsa Asiatik yang ada mempunyai pelajaran yang layak.

Apa tidakkah terkejut benar kita mendengarkan perkhabaran ini?

Dan yang terlebih menghairankan kita lagi ialah jawapan yang tersebut di atas ini telah dikeluarkan dengan tidak dimesyuaratkan terlebih dahulu dengan Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu; sebab menurut biasa, pegawai-pegawai jawatan Malayan Civil Service itu bukannya khas bagi Negeri-Negeri Selat sahaja, bahkan termasuk juga ke dalam pemerintahan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.

Maka dengan hal yang demikian, tidaklah kita faham apakah makna dan maksud Government pada memulangkan pemerintahan sesuatu negeri itu kepada rajanya jika suatu perkara yang berkenaan dengan pemerintahan negeri-negeri Melayu itu masih dijalankan oleh kerajaan dengan sendirinya tidak terlebih dahulu mengambil persetujuan daripada Raja-Raja Melayu.

Oleh ini, kita harap Sultan-Sultan, Orang-orang Besar dan orang-orang Melayu umumnya tidak berdiam diri di atas perkara yang maha besar ini!

Bahkan hendaklah kita semuanya bangun memegang akan perbuatan yang telah terkelencong daripada tujuan kerajaan yang asli itu, kemudian kita seru lagi dengan seberapa kuat saudara kita kepada sekalian saudara-saudara kita kaum Melayu Semenanjung ini dengan tiada endah kita akan perkataan orang yang berkata bahwa kita telah menyeru di tengah padang yang luas atau di medan perburuan, dan dengan tertentu sekali kita hadapkan seruan kita ini kepada Persekutuan Melayu Penang dan Persatuan Melayu Singapura yang telah dibangunkan kerana muslihat-muslihat bangsa Melayu, kerana sangat percaya kita bahwa kedua-dua Persekutuan ini ada hak berusaha mengadakan suara di dalam perkara yang maha besar bagi perhimpunan kaum Melayu ini terlebih lagi beberapa kali ganda daripada berusaha mengadakan Settlement Melayu yang telah dipermegahkan oleh ketua-ketua Persekutuan itu kerana suara yang keluar daripada Persekutuan ini di dalam perkara yang tersebut ialah maknanya keluar sesuatu daripada tampaknya yang asli.