Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 20 Aug 1932, p.6

Editorial.

Sungutan Melayu di atas Pekan Ahad Perak.

Barangkali tentu orang-orang Melayu kita umumnya telah mengetahui bahwa adalah pekan-pekan mingguan yang diadakan pada merata-rata tempat di dalam negeri Melayu ini tujuan dan maksudnya ialah kerana membantu orang-orang Melayu di dalam masa kepicikan ini, serta mengajar dan melatih mereka itu kepada memulakan masuk ke pintu perniagaan dengan bertatih-tatih menjual dan membeli barang-barang dengan modal yang sehabis-habis rendah ataupun dengan tiada modal sama sekali, iaitu dengan berniagakan hasil tanam-tanaman sendiri ataupun pertukangan sendiri.

Maka supaya jangan terbantut perniagaan yang baru ini daripada kecilnya dan supaya jangan menjangkit kepadanya penyakit perniagaan kita di bandar-bandar yang besar itu, pihak-pihak yang berkuasa pada urusan pekan-pekan itu telah mengadakan peraturan bahwa tiada dibenarkan masuk berjual di dalam pekan-pekan yang tersebut itu melainkan daripada anak-anak Melayu sahaja; sebab bangsa-bangsa asing itu sudah terlebih bijak dan cekap pada selok belok perniagaan daripada anak-anak Melayu yang hanya baru sahaja hendak mencuba.

Dan jikalau dibenarkan bangsa-bangsa asing itu campur, maka serupalah makna yang demikian itu dengan mengkuburkan perniagaan anak-anak Melayu itu pada mula lahirnya.

Maka di dalam hal yang demikian, selalulah kita mendapat perkhabaran yang menyukakan daripada kemajuan pekan yang tersebut itu daripada seminggu ke seminggu tambahan pula orang-orang yang mengurus perjalanan pekan-pekan itu ialah daripada bangsa Melayu kita juga yang tentu sekali mereka itu berperasaan kasih sayang kepada bangsanya dan suka kepada kemajuan.

Tetapi di dalam empat lima hari yang lalu ini masa, kita balik ke Perak kerana satu kewajipan; kita telah mendengar sungutan yang banyak daripada anak-anak Melayu mengatakan Pekan Ahad yang diadakan di Simpang Lawin, Kuala Kangsar itu ada campur berjual di dalamnya daripada bangsa-bangsa Cina dan Benggali. Padahal, pegawai-pegawai Melayu yang menjaga Pekan itu ada bersama-sama di situ dan tidak pula kelihatan daripadanya apa-apa tanda yang menunjukkan bahwa ia tidak suka kepada keadaan bangsa-bangsa lain yang berjual itu, seolah-olahnya ia pun bersetuju pula dengan langgaran peraturan yang dilakukan oleh bangsa lain itu.

Jikalau begini juga halnya, maka tidaklah ada harapan kepada kekekalan anak-anak Melayu yang berniaga di Pekan-pekan yang diadakan khas bagi mereka itu, bahkan tak berapa lama lagi akan dipenuhi pula bangsa-bangsa yang seperti bagaimana keadaan bandar-bandar kita di dalam negeri kita ini.

Hal ini telah diceritakan oleh seorang penulis dahulu di dalam Saudara dan telah dijawab oleh Pembantu kita dari Kuala Kangsar, mengatakan sebab yang demikian itu ialah ketiadaan Melayu berjual kain-kain dan sirih; dagangan yang dijual oleh bangsa-bangsa asing itu.

Dan jikalau ada Melayu berniaga yang demikian itu, nescaya tidaklah dibenarkan oleh pihak yang berkuasa bangsa asing itu menjualnya.

Pada hal, mereka yang bersungut kepada kita itu tiga orang daripadanya ada berjual kain di Pekan yang tersebut itu, dan kata mereka ada pula orang-orang Melayu yang lain lagi berjual itu juga.

Demikian juga kita dengar darihal Pekan Ahad Batu Gajah banyak daripada bangsa Cina ada campur berniaga di dalamnya.

Di sini kita tidaklah dapat hendak kata melainkan menyeru dan meminta serta berhadap dengan harapan yang sangat-sangat tinggi kepada Tuan-Tuan Pegawai Melayu yang mengurus Pekan-pekan yang tersebut itu bahwa mereka itu mengambil berat dan berusaha sungguh-sungguh pada menjalankan peraturan Pekan itu seperti bagaimana yang telah ditetapkan dari mulanya.

Dan jikalau sekiranya terbantut kemajuan Pekan-pekan orang-orang Melayu ini dengan sebab dibenarkan bangsa-bangsa lain campur berjual di dalamnya, maka tidaklah lain lagi orang-orang yang menanggung kesalahan dan yang menyekat kemajuan ini daripada pegawai-pegawai Melayu yang mengawal Pekan-pekan itu sendiri.