Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 10 Aug 1932, p.6

Editorial.

Kesatuan Negeri-Negeri Melayu.

Pada muka 7 di dalam bilangan Saudara hari ini, ada kita muatkan satu rencana yang panjang oleh Tuan Pengarang Pengasuh di atas perkara kesenangan negeri-negeri Melayu.

Daripada membaca tulisannya itu, dapatlah kita faham bahwa ia bersetujulah disatukan negeri-negeri Melayu itu kesemuanya, tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat pemerintahannya seperti bagaimana yang dibentangkannya itu pula; iaitu pemerintah-pemerintah hendaklah mendirikan Kesatuan Negeri-Negeri Melayu dengan suatu Treaty yang baru dan Undang-undang Tubuh baru yang berasaskan "Bumi Melayu Bagi Melayu".

Diadakan satu Kongress Melayu yang mengandung:

1. Majlis Orang Ramai daripada orang-orang Melayu yang dipilih oleh rakyat isi negeri.

2. Majlis Orang Pilihan daripada Melayu atau lainnya.

Segala undang-undang dan estimate perbelanjaan hendaklah disahkan oleh Kongress ini.

Yang diPertuan ialah Raja-Raja Negeri Melayu bergilir menurut umurnya. Kongress ini di bawah rakyat Tuan High Commissioner Negeri-Negeri Melayu.

Bagi pihak kita, kita tidak dapat suatu perkara yang boleh melarang kita daripada mempersetujui fikiran Pengasuh itu, bahkan inilah yang sebaik-baik jalan bagi memulihkan semangat Negeri-Negeri Melayu dan menguatkan ikatan Persekutuan, tetapi melihatkan kepada kebesaran perubahan ini; sebab jikalau diturut seperti bagaimana cadangan Pengasuh itu, nescaya terpaksalah menghapuskan Federal Council dan Legislative Council yang ada sekarang ini, dan diganti dengan Kongress yang dicadangkan ini.

Kita di dalam khuatir hendak mengatakan bahwa kerajaan akan sedia menerima cadangan yang seumpama ini, dan jikalau sekiranya ia mendapat persetujuan daripada government sekalipun, adakah pada fikiran kita orang-orang Melayu, mempunyai kelayakan menjadi anggota-anggota di dalam Kongress yang bermakna seperti Parliament yang hendak dicadangkan itu.

Dan bagaimanakah memilih anggota-anggota itu? Adakah mereka itu dipilih daripada orang-orang Melayu yang tidak berkat, seperti kata Pengasuh itu? Sebab kita hingga ini belum mendapat ketetapan di atas takrif Melayu yang benar yang boleh dipilih daripadanya anggota-anggota itu.

Jangan pula Melayu itu dimaknakan di belakang jadi Malayan.

Atau pun adakah ia mesti daripada anak-anak jati daripada tiap-tiap satu negeri di dalam Semenanjung ini sahaja, iaitu jati seperti yang ditetapkan oleh Majlis Orang-orang Besar dan Ulama Perak itu.

Inilah beberapa musykil yang menggalang fikiran kita pada masa ini, Insha´Allah akan kita tulis lebih panjang lagi di dalam Saudara yang akan datang.