Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Sep 1932, p.7

General Article.

Persekutuan Orang-orang Negeri Melayu.

Yang diuntukkan bagi segala British Subject dan Rakyat Raja-Raja Melayu Yang tidak makan gaji dengan kerajaan.

Persekutuan yang seperti ini telah ada di Negeri Selat dan kita sekalian tahu bagaimana pengaruhnya; tentang politik negeri sungguh pun belum apa tampaknya pekerjaan-pekerjaannya itu yang besar yang telah dihargakan benar oleh kerajaan. Tetapi suara-suara mereka tidak putus-putusnya di dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Selat.

Sekarang bangsa-bangsa yang mengaku rakyat Inggeris itu, tetapi bukan bangsa Melayu, telah mengadakan pula Persekutuan seperti itu bagi Negeri Melayu ((yakni sekalian Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Yang Tidak Bersekutu)).

Lihat Malay Mail bertarikh 1.9.32, yang berkepalakan; Malay States Association. Now in position to meet Sir Samuel Wilson.

Tujuannya seperti yang telah dizahirkannya iaitu akan mengambil campur di atas hal-hal politik dan akan bersedia mengadap Sir Samuel Wilson berkenaan dengan perubahan pemerintahan negeri ini. Pendeknya, jikalau sekalipun persekutuan itu dicampuri oleh anak-anak Melayu yang lain sekali, kemahuan dan tuntutannya daripada anak-anak dagang itu, maka tentu sekali pekerjaan persekutuan itu akan mengemukakan 99 peratus kemahuan-kemahuan orang yang bukan Melayu. Persekutuan itu undang-undangnya melarang menerima orang-orang kerajaan masuk menjadi ahlinya.

Apa yang Orang Melayu patut buat sekarang ini? Tidak lain lagi adalah orang-orang Melayu yang tidak bekerja dengan kerajaan iaitu seperti orang-orang yang telah berpensiun dan yang bekerja sendiri mengadakan pula persekutuan seperti itu. Wajib sangat diadakan dengan segeranya, orang yang kita nanti sudah dekat hendak tiba.

Orang-orang Melayu Selangor, iaitu yang di tengah-tengah tempat dalam Semenanjung mesti mengadakan mesyuarat melantik pegawai-pegawai dan undang-undang dengan segera. Tidak payah ramai-ramai dan tidak payah mengadakan Congress. Biarlah sedikit suara, tetapi kerja lebih seperti perbuatan bangsa-bangsa lain itu, seperti bagaimana yang disyorkan oleh setengah suratkhabar-suratkhabar.

Orang-orang yang telah berpensiun dan tiada bekerja kerajaan seperti Tuan Haji Abdul Jalil CH Ulu Langat, Tuan Haji Muhammad bin Muhammad Amin ISM Setapak, Mahmud Amin bin Haji Muhammad Yusuf, Tuan punya Selangor Press Kuala Lumpur, Abdul Rashid yang terkenal di Kalumpang, Tuan Syed Bahauddin, Kajang, Ahmad bin Lamsah Kelang, dan beberapa banyak orang-orang yang telah berpensiun yang tiada bekerja lagi dengan kerajaan patut berjumpa sama sendiri, bermesyuarat dan mendirikan suatu Persekutuan Orang-Orang Melayu Negeri-Negeri Melayu. ataupun Persekutuan Orang-Orang Melayu Tanah Melayu.

Undang-undangnya patut dibuat cukup luas, iaitu meliputi bagi semuanya orang-orang Melayu yang akan meminta hendak masuk menjadi ahlinya.

Orang-orang yang bekerja dengan kerajaan tidak diterima dan demikian jua orang-orang yang bukan bangsa Melayu tidak sekali-kali boleh diterima.

Pada fikiran penulis, yurannya patutlah dibuat sehabis-habis ringan, iaitu $1 seorang setahun.

Persekutuan anak dagang yang bernama seperti di atas tadi yurannya Cuma $3, tetapi kita buat lebih kurang lagi.

Tujuannya persekutuan itu ialah hendak mempertahankan hak-hak anak-anak Melayu dan negeri Melayu ini seperti:

1. Menyokong dengan kuat kemahuan Raja-Raja Melayu dan cita-cita kerajaan hendak mengubah peraturan pemerintahan dan memulangkan kuasa-kuasa kepada masing-masing negeri Melayu.

2. Meminta lebih banyak tanah-tanah dikhaskan bagi orang-orang Melayu yang akan datang.

3. Meminta dan menguatkan lagi supaya hak-hak orang-orang Melayu yang di dalam jawatan kerajaan jangan diusik-usik atau disemput-semput oleh orang-orang dagang yang mengaku negeri ini negerinya.

4. Menerangkan dengan sekuat-kuatnya yang negeri-negeri ini negeri Melayu dan orang-orang Melayu tidak mengaku orang-orang Timur asing yang diperanakkan itu mempunyai hak yang sama, apalagi lebih daripada orang-orang Melayu.

5. Meminta, menyokong dan menguatkan kemajuan kampung-kampung, tanam-tanaman dan perusahaan orang-orang Melayu lebih daripada kemajuan kebun-kebun, lombong dan perusahaan orang-orang dagang.

6. Menjaga segala hal-hal muslihat yang mencucuk hak-hak anak Melayu.

Sekarang telah sampai masanya orang-orang Melayu yang tiada makan gaji dengan kerajaan itu mesti bekerja dan berusaha sendiri dengan tidak berharapkan menyeru-nyeru orang yang masih bekerja dengan kerajaan. Selagi suratkhabar-suratkhabar dan orang-orang ramai yang tiada bekerja dengan kerajaan itu semata-mata tahu menjerit dan menyuruh orang-orang kerajaan belaka semuanya membuat dan menyampaikan angan-angan dan mimpi-mimpinya.

Maka selama itulah pula mereka itu tinggal diam tiada membuat sendiri sesuatu apa pun dan selama itulah pula orang-orang bangsa asing yang tiada bekerja dengan kerajaan itu akan jadi lebih melonjak-lonjak menunjukkan dan mengada-adakan haknya di negeri kita ini.

Persekutuan yang penulis syorkan ini apabila telah ditetapkan undang-undangnya dan diregisterkan, maka akan dihebahkan dalam segala suratkhabar-suratkhabar diminta orang-orang Melayu sekaliannya merata-rata Semenanjung ini ((kecuali orang-orang yang bekerja dengan kerajaan)) masuk menjadi ahlinya dengan membayar yuran $1 ((seringgit)) setahun.

Kemudian kelak, bolehlah diadakan Sub-Committee pada merata-rata tempat dalam Tanah Melayu iaitu apabila telah ramai ahli-ahlinya.

Penutup tulisan ini, berserulah penulis kepada saudara-saudaraku. Insaflah dan bekerjalah dengan segeranya mengadakan persekutuan itu. Tak ada gunanya kita lagi mengeluarkan syor-syor hendak mengadakan itu mengadakan ini dan mengadakan Congress, tetapi suatu apa pun tiada buahnya adanya.

Melayu.

Pengarang: Perkhabaran yang akhir kita terima bahwa Sir Samuel Wilson itu akan bertolak dari Marseilles dengan kapal Rana Pura pada 21 Oktober bersama-sama dengan isterinya menuju Pulau Pinang dan akan berhenti di dalam Semenanjung kira-kira sebulan sahaja.

Dikhabarkan lagi jika tiada dipanggil balik ke England dengan segera, Sir Samuel Wilson itu berniat akan melawat Hong Kong.