![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 13 Aug 1932, p.6
Editorial.
Bilakah Suratkhabar-suratkhabar Melayu Boleh Teguh Pendirian Dan Suaranya Terpaksa Didengar?
Di dalam suratkhabar Pengasuh bilangan 363, Tuan Pengasuhnya ada menulis suatu rencana yang berkepalakan di atas ini dan pada akhirnya ia ada bertanya fikiran kita pula di atas perkara itu.
Maka menunaikan pertanyaan Saudara kita yang dikasihi ini, ialah satu kegemaran kita walaupun dengan qadar pengetahuan kita yang singkat dan yang barangkali tidak boleh memuaskan hati.
Kemudian daripada Tuan Pengarang Pengasuh telah menceritakan bagaimana kebanyakan suratkhabar-suratkhabar kita telah terpaksa diberhentikan daripada melanjutkan pengeluarannya dan jua bagaimana suratkhabar-suratkhabar Melayu itu jarang-jarang sangat diambil endah atau didengar oleh pihak yang dihadapkan oleh pengarangnya dengan pemandangan yang patut ditimbang, ia telah menyatakan pula bagaimana segala penyakit-penyakit ini boleh diubati.
Katanya, perkara ini terkehendaklah kepada tiga syarat: pertamanya dan yang terutamanya sekali ialah sebelum mengeluarkan suratkhabar-suratkhabar atau majalah hendaklah diadakan satu syarikat atau jemaah atau hazab di atas apa-apa tujuan yang dikehendaki pada muslihat kebangsaan kita Melayu iaitu dengan meletakkan medannya atau tujuannya.
Kedua, di atas midaq itulah dizahirkan suratkhabar atau majalah yang bertutur dengan lidahnya. Maka modal bagi menjalankan suratkhabar itu tertanggunglah di atas harzab itu pada serba-serbinya.
Ketiganya, wajiblah anak-anak Melayu menyokongnya dengan jalan berangkatan dengan dia.
Kemudian katanya: maka dengan tiga syarat yang tersebut di atas ini, barulah suratkhabar atau majalah-majalah itu terpaksa didengar dan dilayani dan barulah perdiriannya teguh dan maju.
Ketiga-tiga syarat yang dikeluarkan oleh Tuan Pengarang Pengasuh ini kita setujui, tetapi pada fikiran kita, ada lagi satu syarat yang terlebih mustahak, iaitulah Tuan Pengarang atau Tuan Pengemudi suratkhabar atau majalah itu hendaklah ia seorang yang bijak dan mahir di dalam ilmu al-muhafat ((Journalism)) yang tahu bagaimana melayan kemahuan pembaca-pembacanya dengan perkataan-perkataan yang boleh menarik pemerhatian mereka kepada apa-apa yang ditulisnya.
Dan jikalau boleh, hendaklah ia mengetahui pyschology orang-orang Melayu supaya tahu ia dari penjuru mana ia masuk tatakala menyeru mereka itu.
Pada fikiran kita inilah satu pekerjaan yang amat susah sebab segala umat itu bukan satu sahaja kehendaknya. Sepuak suka kepada membaca, perbahasan ugama, sepuak suka kepada politik, sepuak suka kepada ilmu-ilmu, dan lagi sepuak suka kepada permainan-permainan; dan begitulah sehingga akhirnya.
Dan jikalau kandungan sesuatu suratkhabar atau majalah itu khas kerana satu macam sahaja, maka orang-orang yang membaca pun khaslah kepada orang yang suka kepada yang demikian itu sahaja.
Dan jikalau berkehendakan semua orang suka kepada sesuatu suratkhabar-suratkhabar atau majalah itu, hendaklah disiarkan serba sedikit ke dalamnya, dan lagi seseorang Pengarang itu pada masa ini tampaknya berkehendaklah mengetahui bahasa-bahasa asing sebab jikalau dipadakan dengan Melayu sahaja kuranglah banyak punca perkhabaran yang boleh ia bertumpu kepadanya.
top |