Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 6 Aug 1932, p.1

Leader Article.

Takrif Melayu Sangat-sangat Dikehendaki Terlebih Dahulu.

Berbagai-bagai fikiran Tuan-Tuan Penulis yang bijaksana yang telah kita dapati tersiar di halaman suratkhabar-suratkhabar pada menerangkan perenggan yang lain dan patut dijadikan takrif Melayu ini, di dalam begitu banyak macamlah.

Maka satu pun belum kita dapati yang diaku dan dipersetujui oleh perhimpunan yang am akan benarnya serta ditetapkan dia di dalam suatu keputusan yang dapat digunakan rasmi oleh tiap-tiap orang yang membahas atau bangsa berkehendak menggunakan dia di dalam sesuatu perkara yang mustahak bagi faedah-faedah perhimpunan kaum kita yang dikasihi ini di dalam watannya.

Perkara yang tidak patut sangat-sangat diringan-ringankan dan tiada patut sekali-kali diam tiap-tiap orang yang ada mempunyai jikalau setitik pun berjalan di dalam urat-urat badannya darah Melayu.

Betapa tidak! Kerana tiada boleh didapati suatu bangsa pun di dalam dunia ini yang tiada mempunyai takrif bangsanya. Maka oleh sebab bangsa Melayu ini daripada mula mereka itu memeluk agama Islam telah mereka itu melontarkan jauh sama sekali perikatan kebangsaan dan berpegang kuat tiap-tiap suatu puak daripada mereka itu dengan perikatan persaudaran agama dengan tiada membezakan kaum Islam ini daripada apa jua bangsanya.

Jadi telah terlontarlah tinggal jauh takrif bangsa mereka itu hingga payah dan sukar sangat-sangat hendak mencari akan dia kembali lagi.

Barang siapa juga yang hendak mengetahui benar ataupun salah perkataan kita ini, maka bolehlah mereka itu menyiasat tarikh perjalanan kaum yang dikasihi ini kemudian daripada Islam rajanya di Melaka bagaimana keadaan rajanya itu dengan bangsa-bangsa luar yang Islam istimewa bangsa-bangsa India, Jawa dan Sumatera.

Kita sekalian pada masa ini telah bergerak hendak berjalan kepada perubahan perhimpunan yang dicita-cita oleh tiap-tiap orang yang ada kepadanya nafas manusia yang sejati, maka sebelum kita menggerakkan langkah kita dengan seterusnya itu ini, eloklah kita berbekal senjata kita bagi memeliharakan kita daripada seteru yang menyekat dan mengadang perjalanan kita di pertengahan jalan.

Bermula, semenjak yang demikian itu tiadalah harus sekali-kali kita pergunakan menjadi bekal perjalanan kita itu melainkan kemudian daripada mendapat kebenaran pemerintah kita dengan suratan yang tiada sekali-kali dapat siapa-siapa pun mengingkarkan kekuasaan kita bagi menggunakan dia.

Kita menulis rencana ini dengan sehabis-habis ringkasnya tetapi sangat-sangatlah besar pengharapan kita bahwa saudara-saudara sejawat kita memanjangkan dia dengan perhatian dan huraian yang dituntut daripada perhimpunan kaum yang am supaya mereka itu bekerja memperolehkan takrif yang dicita-cita itu dan diaku benarnya oleh pengawas-pengawas negeri Melayu dahulu daripada pengawas-pengawas alam yang luas ini dengan tiada berbeza di antara satu dengan lain di dalam takrif yang alam sama sekali.

Kerana adalah perjalanan yang ada sekarang ini ialah dengan fikiran-fikiran yang khas bagi ahli-ahli yang berkehendak menjadi ketua-ketua yang telah kita dapati pada masa ini sangat-sangatlah ditakuti akibat pendapatan yang akhir bagi perhimpunan kaum kita yang dikasihi ini.