![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 31 Dec 1932, p.6
Editorial.
Tahun 1933.
Hari ini ialah hari penghabisan kita di dalam tahun 1932 yang telah kita ketahui bagaimana perubahan zaman padanya dan jua telah kita rasai bagaimana tampaknya ke atas kita semua. Barangkali jarang ada daripada kita yang meninggalkan peringatan yang baik dan yang menyukakan daripada apa-apa yang berlaku padanya selama tahun 1932 yang telah lenyap ini.
Jikalau adapun apa peringatang yang susah boleh dilupakan, maka barangkali tidaklah lain daripada berbagai-bagai kesusahan yang disebabkan oleh kepicikan hal yang menghimpit daripada serba-serbinya.
Zaman meleset, dan manusia yang terkandung di dalam zaman ini pun meleset sama, dengan tidak membezakan siapa-siapa jua walau ia daripada sebesar-besar pangkat orang kepada sehina-hinanya. Semuanya merasa akan kekerasan paluannya jika tidak banyak sedikit ada juga.
Daripada sebulan ke sebulan dan daripada setahun ke setahun, orang-orang menanti-nantikan masa zaman meleset ini tamatnya, supaya disambung pula akan dia oleh zaman kesenangan hingga terharap-haraplah mereka itu pada akhir tiap-tiap bulan dan tiap-tiap tahun akan perubahan ketika yang sangat-sangat dicitai itu. Tetapi lamalah sudah bulannya dan tahunnya belum juga lagi sampai.
Dan sekarang kita hampir-hampir hendak masuk ke dalam pintu tahun 1933 yang banyak orang-orang mengatakan bahwa ialah pintu kesenangan dan kemakmuran ataupun sekurang-kurangnya ialah permulaan perubahan daripada kesakitan yang dirasai sekarang ini kepada kesenangan yang akan didapati dengan beransur-ansur kepada beberapa tahun ke hadapan kelak.
Oleh kerana kita semua sudah cukup menanggung paluan meleset ini, maka kita pun suka jua akan berpindah daripada segala gugusan tahun 1932 ini kepada ketenangan dan kelipuran tahun 1933 yang sangat-sangat kita cita-cita itu.
Tetapi janganlah pula dengan kerana berharapkan kebuahan tahun baru ini kita kurangkan usaha kita tentang pencarian kehidupan atau bekal bagi menolakkan segala bahaya tahun yang akan datang ini. Jika ia tidak timbul betul seperti bagaimana yang disangka-sangka, seharusnya hendaklah kita mengandakan tenaga kita dalam apa-apa jua perusahaan yang kita kerjakan supaya senang hati kita mengadap segala yang dibawa oleh tahun 33 ini, sama ada kesusahan dan kepicikan ataupun kesenangan dan kemakmuran.
Maka dengan harapan yang baik, saya ucapkan tahniah kepada Tuan-Tuan Pembaca Saudara yang dihormati di atas kemasukan kita ke dalam tahun baru ini serta saya ucapkan pula al-wadah "Selamat Tinggal" kepada Tuan-Tuan di atas keberhentian saya daripada mengedari Saudara ini daripada akhir tahun 1932 ini. Was-salam.
top |